Guna ejaan Makkah dalam penulisan - Utusan Malaysia

Guna ejaan Makkah dalam penulisan

MAKKAH adalah ejaan yang betul bagi merujuk kepada bandar terletaknya Kaabah yang menjadi kiblat tunggal umat Islam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APABILA ditulis nama Arab dalam huruf Rumi, perbezaan ejaan pasti suatu perkara lazim. Lihat sahaja perkataan al-Quran atau Nabi Muhammad. Setiap satu ada banyak variasi. Bagi al-Quran, terdapat kepelbagaian cara ejaan seperti Koran, Quraan dan Qur’an kerana mengikut pelbagai kaedah sistem bahasa di setiap negara. Malah lebih banyak lagi variasi bagi perkataan Muhammad yang ada dieja Mohamed, Mohamad, Muhamed, Muhammet, Mohammad, Mehmet dan Mehmed.

Satu hakikat yang mungkin kurang diketahui ramai adalah terdapat satu dekri perintah diraja Arab Saudi menyatakan ejaan tunggal yang betul tempat terletaknya Kaabah adalah Makkah.
Meskipun demikian, kebanyakan pihak berkuasa di luar negara dikesan masih mengeja nama kota suci itu dengan pelbagai cara termasuk Mecca.

Realitinya, ejaan seragam ini diarahkan oleh Allahyarham Raja Fahd Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Putera Mahkota dengan dikeluarkan titah khas bagi mengisytiharkan ejaan Mecca sebagai kesalahan. Pada awal 1980-an, baginda mengarahkan ejaan Makkah diguna pakai dalam semua urusan sektor pemerintah dan swasta di negara itu apabila diselaraskan ejaan dengan huruf Rumi.Mematuhi penggunaan ejaan yang ditetapkan adalah penting sebagai tanda hormat terhadap kemuliaan kota suci itu. Ditambah pula, Makkah terletaknya Kaabah yang juga kiblat tunggal umat Islam di seluruh dunia.

Ejaan Makkah turut diperakui oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi serta pelbagai agensi media antarabangsa termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

AMREE AHMAD
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya