Großartige Frauen kita di Jerman - Utusan Malaysia

Großartige Frauen kita di Jerman

EMPAT sekawan (dari kiri) Anna Rahayu, Hamimatunnisa, Norlaili dan Noor Laili berjaya dalam bidang masing-masing di Jerman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGUKIR nama di negara orang bukan sesuatu yang mudah untuk digapai apatah lagi kaum hawa. Cekmek Molek mengagumi empat wanita hebat berikut yang sedang membina ‘kehidupan’ di Jerman dalam bidang profesional masing-masing.

NOOR LAILI CHE LI – JURUTERA PENGUJIAN

Noor Laili Che Li, 35, bekerja di bahagian penghasilan dan pembuatan di syarikat pengeluar semikonduktor, Texas Instruments Deutschland GmbH, Freising. Memasuki 14 tahun berkelana di bumi Deutschland, kerjaya anak kelahiran Kulim, Kedah itu bermula sebagai jurutera proses di jabatan kualiti. Pada tahun ketiga di syarikat itu, dia dilantik sebagai Ketua Bahagian 5S bagi jurutera dan mekanik. Dia ditugaskan menganalis semua data yang diperoleh daripada ujian-ujian ke atas semikonduktor yang dijalankan oleh cawangan Texas Instruments di Melaka.

Noor Laili yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dan Telekomunikasi, University of Applied Science Rosenheim, Bavaria, Jerman turut bertanggungjawab menyediakan garis panduan tahunan untuk pelaksanaan sistem 5S dengan kerjasama ibu pejabat Texas Instruments di Amerika Syarikat.

Dia yang tinggal di Freising, Bavaria bersama suami, Mohd. Faizal Mohd. Nawawi dan seorang anak lelaki, Iskandar berpendapat, “walau di mana kita berada, setinggi mana kita terbang, sejauh mana kita pergi, sentiasalah berpijak di bumi nyata, tunduk kepada yang Maha Kuasa.”

“Sepanjang saya bekerja, saya tidak mempunyai masalah untuk bersolat, memakai tudung dan membaca doa secara terbuka sebelum memulakan pekerjaan,” katanya kepada Cekmek Molek, baru-baru ini.

 

NORLAILI HALIM – JURUTERA PERISIAN

Norlaili Halim, 37, merupakan jurutera perisian di syarikat pembuatan mesin barangan perubatan, mesin barangan keperluan dan mesin barangan automotif di Munich. Berasal dari Besut, Terengganu, dia sudah tinggal di Jerman selama 13 tahun sejak menuntut di University Applied Science, Rosenheim dan memiliki ijazah pertama dan ijazah sarjana dalam kejuruteraan elektrik dan informasi teknologi. Ibu kepada seorang anak itu pernah terlibat dalam kejuruteraan kawalan dan automasi untuk bidang makanan, kosmetik dan farmasi di Augsburg.

“Dalam mengejar kerjaya, keluarga tetap diberi keutamaan. Saya pernah terpaksa menangguh pengajian kerana tiada tempat sesuai untuk menjaga anak. Namun ia tidak mematahkan semangat saya.

“Kelonggaran masa bekerja sangat membantu wanita berkeluarga di Jerman. Saya biasanya memulakan kerja seawal 6 pagi bagi membolehkan saya pulang awal. Kelonggaran bekerja dari rumah juga telah diperkenalkan sebelum pandemik Covid-19,” ujarnya yang pernah menjadi pensyarah dalam bidang elektrikal di universiti swasta di Malaysia.

 

ANNA RAHAYU ANNUAR – JURUTERA PEMBANGUNAN (AUTOMATIF)

Bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Munich, Anna Rahayu, 37, diberi kepercayaan memegang jawatan Jurutera Pembangunan di syarikat terbabit yang menyediakan perkhidmatan dalam pelbagai bidang kejuruteaan terutama pengeluar peralatan asli (OEM). Memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi, Selangor, ibu kepada dua orang anak itu pernah berkhidmat sebagai Jurutera Projek II dalam bidang penerbangan di sebuah syarikat asing di Kota Damansara, Selangor sebelum berhijrah ke Jerman.

“Wanita Malaysia sekarang semakin mendapat tempat dalam bidang mekanikal berbanding dahulu. Saya berharap lebih banyak wanita menceburi dan membolosi pasaran antarabangsa terutama di sini, Jerman. Insya-Allah, suatu hari nanti saya mahu menabur jasa kepada tanah air tidak kira dalam apa bidang sekali pun,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

 

DR. HAMIMATUNNISA JOHAR – PSIKOBIOLOGI KESIHATAN MENTAL

Dr. Hamimatunnisa Johar, 36, merupakan seorang penyelidik di Institut Epidemiologi, Helmholtz Zentrum (Pusat Penyelidikan Kesihatan Persekitaran Jerman). Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga merupakan Penolong Ketua Unit Penyelidikan Kesihatan Mental dan mempunyai kepakaran dalam bidang psikobiologi kesihatan mental yang mengkaji hubungan di antara mekanisme biologi dalam tekanan mental menggunakan data daripada populasi Jerman. Berkelulusan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Epidemiologi di Universiti Ludwig-Maximilians (LMU) Munich, Hamimatunnisa sudah berada di Jerman hampir 11 tahun. Daripada kajian penyelidikannya, dia berjaya membuktikan hubung kait kortisol (hormon yang dirembeskan ketika stres) dengan pelbagai masalah kesihatan fizikal dan mental.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, antara kelebihan hidup di Jerman adalah pusat penjagaan kanak-kanak amat menekankan perkembangan mental, fizikal dan sahsiah diri.

“Pernah satu ketika saya terpaksa membawa anak yang masih kecil ke persidangan antarabangsa di Rotterdam, Belanda kerana suami (sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah) perlu menjaga dua orang lagi anak kami di rumah.

“Para peserta dan penganjur persidangan menyokong dan menganggap tindakan saya adalah wajar untuk menunjukkan kepada semua pihak tentang pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh ibu-ibu yang berkerja.

“Saya juga telah membuktikan kaum ibu juga boleh bergiat aktif dalam penyelidikan dan menyumbang idea-idea inovatif walaupun sibuk menguruskan anak-anak dan keluarga,” katanya yang telah menetap 11 tahun di Jerman.

 

Apa yang lebih megujakan, mereka berempat merupakan kawan baik dan sudah seperti sebuah keluarga. Mereka tinggal berdekatan sekitar Munich. Sesungguhnya penghijrahan mereka di bumi asing menjanjikan sesuatu yang lebih baik berpasakkan kepada faktor ilmu dan kemajuan di negara tersebut yang kemudiannya disalurkan semula kepada tanah air tanpa meleraikan jati diri dan pegangan agama.

Bagi mereka, inilah bukti sebuah kemerdekaan, kebebasan mempraktikkan segala kepakaran dan kemahiran. Minda juga perlu ‘merdeka’ daripada sebarang penjajahan, sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dengan mencari ilmu. Kita perlu keluar dari zon selesa, berani mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa berfikir bagaimana boleh membantu ummah dan negara.
Tidak keterlaluan jika mengatakan, Jerman amat bertuah memiliki empat wanita hebat ini atau dipanggil Großartige Frauen dalam bahasa Jerman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN