Dr. Mahathir sukar dibaca - Utusan Malaysia

Dr. Mahathir sukar dibaca

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR dibaca apa yang ada dalam fikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bila Jumaat (7 Ogos) lalu beliau mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu berasaskan perjuangan untuk orang Melayu dan pribumi, komen-komen yang hinggap pada telinga saya tidak cenderung memihak bekas Perdana Menteri itu. Namun bukan parti baharu Dr. Mahathir itu yang menarik pengamatan saya untuk dinukilkan. Tetapi lebih kepada melihat Dr. Mahathir dari kaca mata orang lama.

Ada berpendapat dengan usia yang begitu lanjut, 95 tahun 10 Julai 2020 lalu, kepintaran berolah dan berinteraksinya memberi kepadanya dividen keganjilan dan keunikan. Langkah Dr. Mahathir masih panjang walaupun gontai. Turun naik tangga masih mampu dan bertenaga. Paling ketara, kemampuan minda Dr. Mahathir walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan fikiran yang masih cerdas. Dalam banyak hal, Dr. Mahathir ‘tak beritahu dunia’. Malah dikatakan beliau mengeluarkan pandangan satu perempat sahaja. Yang tiga perempat lagi disimpannya ‘untuk masa hujan, tengkujuh, masa panas’.

CABARAN KEPIMPINAN

Pemegangan kuasa Dr. Mahathir kali kedua dari 10 Mei 2018-24 Februari 2020 tempoh hari disifatkan pemerhati, berbeza daripada kuasa yang dipegangnya bagi tempoh 1981–2003. Kuasanya dahulu lebih mutlak, lebih berkesan dan lebih bebas membuat keputusan serta percaturan politik. Meminda Perlembagaan Persekutuan 1993 sehingga Raja-Raja hilang sebahagian kuasa tradisional mereka adalah sebahagian hasil kuasa besar itu.

Menerajui pentadbiran kerajaan 22 bulan sebelum ini, Dr. Mahathir dikatakan kena rujuk banyak perkara kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan. Hal-hal tulen Melayu sukar mendapat sambutan sebulat suara kerana realiti Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu ketika itu cuma mempunyai 29 kerusi Dewan Rakyat berbanding 47 bagi PKR dan 42 DAP. Keadaan berbeza jika Bersatu beroleh 50 kerusi. Dan percaturan politik Dr. Mahathir boleh diumpama bila beliau lihat ‘penyakit barah di kaki’. Sebelum barah di kaki itu merebak ke anggota badan lainnya, maka haruslah dipotong kaki tersebut. Beliau akan mencari jalan penyelesaian ke atas cabaran kepimpinannya.

Demikianlah juga dari cara bekerja beliau. Tiada perkara yang terlalu kecil bagi Dr. Mahathir. His attention to details is fantastic. Pernah seorang bekas menteri berkongsi dengan saya satu kisah pada suatu pagi dalam Julai 1983. Ketika itu Dr. Mahathir membawa anggota Kabinetnya melihat tandas contoh bagi orang Islam sebelum sesi mesyuarat bermula di pejabat lama JPM di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur. Tandasnya biasa saja – jenis duduk yang mempunyai paip pancut untuk bersuci. Tangki air tandas pula dilengkapkan dengan sejenis bekas cembung yang diairi sejenis air yang mengalirkan air terus ke tangki. Ini membolehkan seseorang membasuh tangan dan air terpakai, lantas masuk ke tangki tandas yang boleh flush najis ke salurnya. Pada masa yang lain pula, Dr. Mahathir mengesyorkan supaya skim perumahan mempunyai cukup tangki penampung air hujan yang boleh digunakan oleh saliran air tandas. Itu hal yang barangkali ‘remeh’, tapi impaknya besar.

PROLIFIK

Dr. Mahathir pantas berfikir, pantas bekerja dan pantas menyusul perkara-perkara yang didasarkan untuk dilaksanakan. Sama seperti era pertama beliau, era kedua selaku PM pun, beliau seperti itu juga – kepadanya sesuatu perkara itu seolah-olah seperti harus dilaksanakan semalam. Itu secebis kisah beliau yang berada dalam rekod Perdana Menteri tertua di dunia.

Dr. Mahathir terkenal sebagai pemikir tentang tajuk-tajuk kemanusiaan, kemiskinan, lojik agama, kepentingan negara Selatan-selatan, industri berat termasuk dasar automotif negara, nilai-nilai murni di bawah dasar Pandang ke Timur dan lain-lain. Selaku penulis prolifik, beliau menghasilkan 12 buku dan pelbagai rencana. Antara penulisannya yang terkenal: Dilema Melayu, Wawasan 2020, Memajukan Perniagaan, The Way Forward, Mahathir’s Selected Letters, The Voice of Asia, Conversations with Mahathir dan Doctor in the House.

Tiada seorangpun dalam dunia moden yang masih cenderung dalam politik negara pada tahap umur 95 tahun – jauh sekali sebagai perdana menteri atau presiden sesebuah negara. Apabila Jumaat lepas Dr. Mahathir menyatakan parti baharu ditubuhkannya akan berasaskan kepada perjuangan untuk orang Melayu dan pribumi, saya tersentak sebentar. Dan saya lebih tertarik pada satu perkara ini; Atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, Tun lupakanlah sengketa dan perbezaan antara Tun dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO dan Pas. Perpaduan ummah sebenarnya amat dekat di hati orang Melayu. Kalau orang Melayu boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak dimulakannya sekarang di negara kita sendiri.

KECEWA ORANG MELAYU

Inilah kemuncak kepada kejayaan perjuangan, yakni perpaduan ummah. Gerak kerja dari ‘sepak terajang’ Dr. Mahathir serta beberapa pemimpin yang mengikut beliau, dibimbangi akan ‘mengecewakan’ masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia. Ayuhlah, ubati ‘luka’ itu. Jangan menyimbah minyak kepada api permusuhan sesama sendiri lagi.

Bak kata orang dulu-dulu,
Air dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu
belum teduh,
Hati dendam
jangan didendam,
Dendam yang dulu
mesti disembuh.

Ya, Allah SWT menentukan siapa yang beroleh kuasa memerintah. Untuk Dr. Mahathir sendiri, rekod dunia sudah dipecahkan. Rekod negara sendiri apatah lagi. Puncak sudah didaki, lurah sudah dituruni. Cuma yang tinggal untuk dicapai ialah hasrat rakyat termasuklah umat Melayu untuk hidup dalam kemampuan dan kesejahteraan. Dalam usia Dr. Mahathir atau lebih tepat Mahathirisme – jika istilah tersebut boleh digunakan untuk menerangkan segala yang berkaitan beliau – Ahli Parlimen Langkawi itu telah mencapai segala puncak kehidupan. Menukilkan tentang Dr. Mahahir, teringat saya kepada ungkapan keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi. Sewajarnya ia menjadi panduan anak bangsa mengenang kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka 509 tahun lalu di tangan Portugis.

“Di atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…

Banyak udang
banyak garam,
Banyak orang
banyak ragam,
Banyak tukang
terbuang kayu,
Banyak politik
negara hancur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya