Cabaran guru era Covid-19 - Utusan Malaysia

Cabaran guru era Covid-19

Seorang guru, Nor Emillia Redzuan, membantu murid-murid membasuh tangan di hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Nerang, Kedah. Mingguan/ Shahir Noordin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Muhammad Azmi Abdullah

Sekolah di seluruh negara telah dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai dan seterusnya pada 22 Julai lalu. Kini semua sekolah, baik sekolah rendah dan menengah sudah beroperasi semula yang mana semua warga sekolah perlu mengharungi kebiasaan baharu ‘the new norm’ dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Dalam menghadapi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru-guru perlu berdepan dengan budaya normal baharu dengan melaksanakan perubahan seperti penjarakan fizikal sepanjang berada di sekolah, dalam bilik darjah, pejabat, mengamalkan budaya hidup yang sihat dan menitik beratkan aspek kebersihan.
Gaya kepimpinan dan pelaksanaan tugas guru-guru turut memerlukan perubahan yang drastik di luar jangkaan pemikiran biasa apabila berhadapan dengan situasi baharu yang tidak dijangkakan ini.
Ini semua sudah pasti mewujudkan cabaran-cabaran besar dan baharu yang harus didepani oleh setiap guru.
Saya turut bersetuju dengan pandangan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa tiada seorang guru dalam negara ini mendapat kursus secara formal mengenai Pedagogi Penjarakan Fizikal.
Malah saya yang bertugas di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan ini juga, tiada subjek khusus kepada bakal pendidik berkaitan Kursus Pedagogi Penjarakan Fizikal ini.Sekiranya silap percaturan, sekolah akan menjadi pusat janaan Covid-19 yang baharu.
Jika ini tidak dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan, sudah pastinya akan memberi tekanan kepada bukan sahaja ibu bapa dan murid-murid tetapi warga guru khususnya.
Dalam hal ini, saya dapati semua risiko dan kemungkinan telah diambil kira dan diperhalusi dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan sekolah yang telah diwartakan oleh Kementerian Pendidikan.
Biarpun SOP telah diwartakan oleh pihak Kementerian Pendidikan, maka saya berpandangan bahawa pihak pentadbir sekolah, baik Guru Besar, Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mahupun pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) wajarlah melihat juga berkaitan beban tugas guru ini agar wujud win win situation kepada guru-guru. Langkah-langkah yang boleh mengurangkan tekanan guru boleh dilaksanakan mengikut budi bicara.
Sebagai contoh bagi guru-guru yang perlu hadir awal melaksanakan SOP terhadap murid-murid untuk mengambil suhu badan dan lain-lain, maka guru tersebut perlu diberi kelonggaran untuk menamatkan waktu bertugas lebih awal dengan mengambil kira jumlah jam yang sepatutnya bermula dari awal kehadiran guru bertugas di awal pagi.
Ini sedikit sebanyak akan menggembirakan guru dan mengurangkan tekanan kepada guru. Ini juga salah satu cara atau contoh antara budi bicara yang saya lontarkan bagi mengurangkan tekanan guru.
Dalam masa sama, tugasan guru lain yang tidak relevan perlulah terus diambil kira dan diambil tindakan berterusan oleh pihak berkenaan.
Yang pastinya, memikul beban kerja yang tidak relevan ini adalah antara halangan besar terhadap guru dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik khususnya terhadap tanggungjawab utama atau hakiki guru dalam PdP kepada anak-anak kita ke arah kejayaan yang cemerlang.
Saya juga optimis dengan kepimpinan Menteri Pendidikan yang baharu ini mengharapkan agar guru-guru di Malaysia ini mampu mendepani pelbagai cabaran semasa dan cabaran mendatang serta berupaya mencorak perubahan ke arah kecemerlangan pendidikan negara dalam era Covid-19 ini.
Perlu diingat kebanyakan guru juga mempunyai anak-anak yang turut sama bersekolah sebagaimana murid-murid yang lain. Mereka juga mempunyai kebimbangan yang sama dengan ibu bapa lain. Perhatian sepenuhnya turut diberikan oleh guru kepada anak-anak mereka dan dalam masa sama. Bagaimana kerisauan kita atas keselamatan anak-anak kita, maka kerisauan yang sama juga ada pada guru-guru terhadap anak-anak mereka sendiri. Justeru sudah pasti, guru komited untuk memastikan murid-murid mematuhi SOP agar tidak dijangkiti virus yang boleh membunuh ini.
Justeru masyarakat perlu memahami peranan yang dimainkan oleh guru dengan penuh komitmen dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang terbaik untuk mendidik dan menjaga anak-anak dalam penularan pandemik Covid-19 ini.
Perlu diingat juga semua warga sekolah yang melibatkan pentadbir, guru, warden asrama, Pembantu Tadbir (PT), Pembantu Operasi (PO), Pembantu Pengurusan Murid (Pra Sekolah/PKI), pembersih kawasan, pengawal keselamatan dan semua yang berada dalam organisasi tersebut merupakan Frontliner yang sama-sama memainkan peranan dalam mendepani cabaran mendepani krisis pandemik Covid-19 ini.
Pesanan saya buat semua warga guru, segala tugasan tambahan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh era Covid-19 ini, jangan anggap itu semua sebagai satu bebanan. Anggaplah ia sebagai cabaran kepada kita semua. Jika ia dianggap sebagai bebanan, maka sudah pasti ia akan terasa berat untuk kita pikul. Maka anggaplah ia sebagai satu cabaran. Cabaran itu akan melahirkan satu motivasi kepada kita untuk kita berhadapan dengan cabaran tersebut dengan penuh semangat yang membara. -Minda Ahad, Mingguan Malaysia.

PENULIS ialah Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling
Institut Pendidikan Guru
Kampus Tengku Ampuan Afzan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya