Buat apa cari gaduh – Dr. Azmi - Utusan Malaysia

Buat apa cari gaduh – Dr. Azmi

AZMI SHAROM meredakan tekanan dengan cara berceramah. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK pihak menghadapi tekanan ketika situasi pandemik Covid-19 yang sehingga kini masih belum reda sepenuhnya. Dalam situasi begini, petua diamalkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Profesor Madya Dr. Azmi Sharom mungkin boleh dimanfaatkan oleh kita semua.

“Kena lebih banyak tengok bola dan masuk gimnasiumlah,” kata Azmi berseloroh apabila ditanya keadaan dirinya sekarang yang boleh diibaratkan berada dalam tekanan yang bertimpa-timpa.

Beliau adalah tonggak utama SPR setelah Pengerusi, Datuk Azhar Azizan Harun meletakkan jawatan pada 29 Jun lalu. Setelah terpaksa mengambil alih separuh jalan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang yang diadakan pada 4 Julai, beliau kini mengurus sepenuhnya PRK DUN Slim pada 25 Ogos dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang belum ditentukan tarikh.

Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di Menara SPR, Putrajaya baru-baru ini, saya mendapati jauh di sudut hatinya ada sedikit perasaan tertekan kerana ‘tidak boleh lagi menjadi diri sebenar’ yang lantang mengulas isu-isu hak asasi manusia sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada 26 Februari 2019.

“Tuan-tuan tahu dulu saya banyak bercakap tetapi sekarang kamu tidak mendengar apa-apa daripada saya. Dalam tempoh satu setengah tahun, saya tidak bercakap atau komen apa-apa sahaja kecuali berkaitan pilihan raya.

“Bola pun saya tak kata apa-apa sebab ini (SPR) tanggungjawab baharu saya,” kata peminat tegar kelab bola sepak Inggeris, Tottenham Hotspur yang kekal dengan penampilan rambut panjang yang diikat tocang tetapi tidak lagi berbaju-T dan seluar jeans seperti kebiasaan.

Semasa temu bual yang berselang-seli dengan sesi bergambar, beliau sempat berseloroh setelah ‘ditegur’ pegawainya supaya memperbetulkan kedudukan tali leher yang senget.

“Inilah ‘cikgu’, tak biasa pakai tie (necktie). Masalahnya masa kerja dekat UM (Universiti Malaya) pakai T-shirt dengan jeans sahaja,” ujarnya yang juga bekas pensyarah undang-undang di universiti berkenaan.

Beliau yang juga pakar undang-undang hak asasi manusia menjelaskan menerima jawatan itu kerana merasakan ia adalah satu peluang keemasan untuk memperelokkan lagi sistem pengundian dan demokrasi di Malaysia.

“Demokrasi adalah sesuatu yang sangat dekat dengan hati saya, sesuatu yang memang saya rasa sangat penting bukan sahaja untuk cara kita hendak memilih pemimpin tetapi demokrasi yang sempurna adalah satu jaminan untuk keamanan.

“Bayang­kan kalau kita tahu sistem pilihan raya adalah adil dan bersih. Kita hendak bergaduh buat apa kerana kita tahu waktu pilihan raya saya boleh pergi mengundi. Undi dan suara saya dikira,” katanya.

DITUDUH MENGHASUT

Sebenarnya berada dalam situasi tertekan bukan perkara baharu bagi Azmi kerana banyak pihak tidak senang dengan tulisannya suatu ketika yang disiarkan dalam kolum sebuah akhbar berbahasa Inggeris kerana didakwa mereka terlampau liberal. Pada 2010, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pernah membuat laporan polis mendakwa beliau menghina mahkamah setelah memberikan komen penghakiman kes seorang Hindu memeluk Islam bersama dua anak kecil tanpa kebenaran isterinya. Laporan polis itu tidak menyebabkan bekas Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang sering bercakap dan menulis isu-isu ketuanan Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan beragama dikenakan tindakan.
Bagaimanapun pada 2014, beliau tidak bernasib baik apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghasut kerana memberi komen berhubung krisis Menteri Besar Selangor pada 2014 boleh diselesaikan dengan berpandukan proses peralihan kuasa kerajaan Perak pada 2009.

Azmi telah dilepas dan dibebaskan pada 2016 daripada dakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 selepas Pejabat Peguam Negara menggugurkan tuduhan terhadapnya. Ketika ditemu bual sebuah portal berita sejurus selepas pembebasan terbabit, beliau mendedahkan perasaannya yang sangat takut, bimbang dipecat dari UM disebabkan hasutan adalah satu kesalahan jenayah. Ironinya, sebelum ini Azmi amat dikenali sebagai seorang yang sangat berani, sama seperti tajuk kolum beliau, Brave New World.

RINDU KERJAYA PENSYARAH

Ketika sesi temu bual kira-kira sejam itu, Azmi juga sempat menzahirkan rasa hairan kerana Utusan Malaysia mahu menemu bual beliau, sedangkan akhbar berkenaan sebelum ini mempunyai pendirian cukup berbeza dengan prinsip yang dipegangnya. Ketika pertemuan itu, beliau turut meluahkan kerinduannya dengan kerjaya sebagai pensyarah.

“Saya merindui mereka (pelajar-pelajar). Kerjaya pensyarah saya sayang dan suka sangat tetapi kerja di sini (SPR) pun seronok juga,” ujarnya.

Setelah menamatkan pengajian undang-undang di United Kingdom, Azmi, 51, memulakan kerjaya di Fakulti Undang-Undang UM pada 1990 dan kekal di situ selama 29 tahun. Beliau yang berasal dari Pulau Pinang adalah lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam undang-undang alam sekitar antarabangsa, School of Oriental and African Studies, University of London.

Ditanya pembaharuan yang mahu dibawanya, beliau dengan tegas dan penuh semangat mengungkapkan: “Paling penting rakyat Malaysia mesti yakin bahawa SPR tidak menyebelahi mana-mana pihak.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya