Oleh Budiman Mohd. Zohdi
ADA seperkara yang menyebabkan saya akan terus mengenang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu, dua, tiga dan empat sebagai suatu tempoh yang istimewa – ia meredakan segala hingar-bingar dalam dunia politik. Seumur hidup, saya belum pernah melihat apatah lagi melalui tempoh ‘sunyi politik’ sedemikian. Malah tidak pernah terlintas pun akan melaluinya.
Seingat saya, sebaik sahaja mula mengenal dunia, saya menyaksikan dunia politik umpama laut yang tidak pernah berhenti alun ombaknya. Selepas menjadi orang politik, saya faham kenapa hal sedemikian berlaku. Politik adalah wadah untuk dua perkara besar, perjuangan dan perkhidmatan. Kedua-duanya perlu dilakukan secara berterusan. Pejuang tidak boleh berhenti berjuang. Orang yang berkhidmat tidak boleh berhenti memberikan perkhidmatan. Itu rukunnya. Sebab itulah dalam ‘cuti’ PKP pun yang terkawal hanya pergerakan fizikal. Kerja politik lain berjalan juga. Dalam otak, dalam talian, dalam grup WhatsApp dan sebagainya.
Apabila PKP bertukar menjadi PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan seterusnya PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kita dapat melihat bagaimana segala hasil ‘kerja’ semasa PKP fasa satu hingga empat itu meledak keluar. Segala yang terhimpun diluahkan. Dan itulah cerminan dinamiknya politik Malaysia. Segarnya tidak bertitik. Tidaklah perlu kita mengimbau jauh. Memadai sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mencatat sejarah tersendiri dengan memberi peluang kepada rakyat untuk merasa kehidupan di bawah pemerintahan pihak yang sebelumnya menjadi pembangkang,
Terlalu banyak yang berlaku sejak dari itu. Yang menggelabah kerana hilang tempat bergayut, yang bermegah kerana baru mendapat bunga, yang menjadi ular, yang menjadi katak, yang hilang kawan, yang menjilat lawan, semuanya ada. Banyak yang menyangka selepas gabungan parti-parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan (PH) berkuasa, politik Malaysia akan berwajah baharu. Tiada lagi riuh-rendah kerana yang membuat riuh selama ini telah mendapat apa yang mereka mahu. Pemimpin mendapat kedudukan, rakyat mendapat kerajaan baharu yang diyakini lebih baik daripada yang sebelumnya.
RIUH
Rupa-rupanya tidak. Hingar tetap ada. Riuhnya tetap tidak berakhir. Walhasil balik asal. Semakin teruk rasanya. Yang berbunyi bukan sahaja yang dahulunya menjadi kerajaan tetapi kemudian menjadi pembangkang, tetapi juga pembangkang yang telah menjadi kerajaan. Rakyat pun sama. Kemudian tanpa hujan tanpa ribut, kerajaan PH yang belum pun berusia setengah penggal itu tumbang, atau barangkali tidak keterlaluan dikatakan menumbangkan dirinya sendiri. Ada yang mengaitkannya dengan pengkhianatan. Di satu sisi saya bersetuju. Tetapi di sisi yang lain saya melihatnya sebagai satu lagi bukti dinamisme dunia politik tanah air. Kita semakin menghampiri tahap kematangan dalam berpolitik. Beberapa tindakan mungkin salah tapi proses kematangan selalunya datang bersama kesilapan.
Apa yang berlaku pada Februari lalu yang membawa kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) barangkali akan mencetuskan ‘kiamat kecil’ jika berlaku pada 1990-an atau sebelumnya. Malah apa yang berlaku pada 9 Mei 2018 juga akan mencetuskan kesan kemungkinan sama. Rakyat tidak akan dapat menerimanya. Ia sesuatu yang baharu dan pelik. Tetapi di negara maju seperti Jepun yang pertukaran kerajaan atau ketua kerajaan boleh berlaku pada bila-bila masa, hal seperti itu tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Untuk makluman, dari 2006 hingga 2012, Jepun mempunyai enam orang perdana menteri. Hanya perdana menterinya sekarang, Shinzo Abe menduduki kerusi itu agak lama iaitu sejak Disember 2012. Abe sebelumnya pernah menjadi perdana menteri dari September 2006 hingga September 2007 sebelum diganti oleh Yasuo Fakuda, Taro Aso, Yukio Hatoyama, Naoto Kan dan Yoshihiko Noda.
Kita belum sampai ke peringkat itu. Tetapi diakui atau tidak, disukai atau tidak, kematangan berpolitik akan membawa kita ke situ. Ke suatu keadaan di mana orang politik macam saya tidak kira pemimpin di peringkat nasional atau ahli jawatan kuasa cawangan akan benar-benar menginsafi hakikat bahawa kami hanyalah pemegang amanah, bukannya tuan.
PUPUS
Kami berada di tempat di mana kami berada kerana sebagai ahli parti atau bagi yang menjadi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana rakyat. Keadaan itu juga sebetulnya akan mendorong pemimpin untuk tidak leka daripada melaksanakan tanggungjawabnya, bukan perlahan-lahan pupus amalan turun padang hanya menjelang pilihan raya dan hanya ketika mahu mendapatkan undi. Akhirnya yang bertahan hanyalah pemimpin yang tinggi prestasi utama (KPI).
Pasca Covid-19 menyaksikan bukan sahaja parti tunggal yang biasanya majoriti di Parlimen yang menentukan kerusi Perdana Menteri tetapi juga parti-parti lain. Kali ini Tan Sri Muhyiddin Yassin disokong oleh ahli Parlimen parti-parti dalam Muafakat Nasional. Parti Pribumi Bersatu Malaysia bukanlah pemegang kerusi terbanyak di Parlimen. Pada pasca PRU-14, musuh politik mereka bertukar ‘teman akrab’ dan dinamika ini membenarkan ungkapan lama: dalam politik tiada yang kekal abadi melainkan kepentingan sejati. Kita mengimpikan sebuah negara yang ideal. Kalau tidak setanding Switzerland yang berada dalam senarai teratas negara paling ideal di dunia, sekurang-kurangnya kita berada dalam senarai 10 atau 20 terbaik.
Perjalanannya masih jauh, dan dalam perjalanan itu, benarkanlah ahli-ahli politik kita terus membuat hingar kerana ia adalah proses untuk mematangkan mereka, sekali gus mematangkan politik di negara ini. Berlaku adillah kepada ahli-ahli politik. Benarkanlah mereka bercakaran selagi tidak memudaratkan dan selagi dilakukan atas dasar mencari solusi terbaik untuk rakyat.
Dan jangan kerana itu kita takut berpolitik. Ingat pesan Plato: Salah satu hukuman kepada mereka yang enggan mengambil bahagian dalam politik adalah mereka akhirnya akan diperintah oleh pihak yang lebih lemah.
PENULIS ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan.