Oleh Mohd. Anuar Ramli
Saban tahun, Awal Muharam disambut meriah dengan tradisi Maal Hijrah yang diwarnai dengan pelbagai pengisian di negara ini. Penghayatan nilai kolektiviti, iaitu nilai kebersamaan dijelmakan dalam pelbagai tradisi setempat untuk menjayakan aktiviti yang dirancang. Nilai ini diterjemahkan dalam sambutan tahun baharu yang diraikan secara beramai-ramai. Mereka berkumpul bersama memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, perarakan sambil berselawat dan ceramah agama.
Namun, serangan Covid-19 mengubah pelbagai kebiasaan hidup masyarakat dalam pelbagai aspek. Kini perhimpunan beramai-ramai perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Tidak terkecuali sambutan Maal Hijrah perlu kepada pembudayaan norma baharu yang lebih ketat. Ini disebabkan korban pandemik Covid-19 masih lagi meningkat tinggi di luar negara. Angka kematian terkini mencecah 700,000 nyawa di seluruh dunia manakala yang dijangkiti melepasi 19 juta orang dan jumlah sembuh seramai 12 juta.
ALPA
Di Malaysia, jumlah positif Covid-19 melebihi 9,000 orang. Namun begitu, kealpaan terhadap SOP yang ditetapkan dan kegagalan mematuhi arahan kuarantin menyebabkan pertambahan jumlah mereka yang dijangkiti. Rentetan itu, amalan kawalan kendiri wajar dibudayakan sebagai norma baharu khususnya pada tahun baharu 1442 Hijrah. Marilah kita bersama-sama menghayati tema sambutan iaitu Ummah Rabbani, Negara Harmoni. Ummah rabbani ialah mereka yang patuh kepada suruhan Allah, rasul dan pemerintah. Ummah yang rabbani akan menjunjung tinggi suruhan syarak. Mereka tidak akan sesekali membahayakan nyawa orang lain dengan risiko penularan Covid-19.
Sesungguhnya syariat Islam sangat mengutamakan keselamatan nyawa manusia. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (Al-Ma’idah, 32)
Berdasarkan ayat tersebut, tindakan mendedahkan nyawa orang lain terhadap kemudaratan adalah dilarang dengan tegas. Ibaratnya, sesiapa yang membunuh satu orang tanpa alasan yang dibenarkan syarak, dosanya seakan-akan membunuh manusia seluruhnya. Begitu juga tindakan menjaga nyawa satu orang lain, seolah-olah memelihara kehidupan manusia kesemuanya. Membahayakan nyawa manusia adalah dosa besar dan memelihara nyawa manusia adalah berpahala. Dengan itu, mereka yang dijangkiti dan dikuarantinkan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menjaga ekosistem kesihatan awam dan keharmonian masyarakat.
Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga melarang tegas tindakan membahayakan pihak lain. Sabda baginda: “Barang siapa yang memudaratkan orang lain, maka Allah akan mendedahkan mudarat padanya. Barang siapa yang menyusahkan orang lain, Allah boleh menyusahkan urusannya.” (Hadis riwayat al-Tarmizi).
Merujuk kepada hadis tersebut, tindakan memudaratkan pihak lain adalah dilarang, bahkan diancam dengan kemudaratan oleh Allah SWT. Justeru, sifat memudaratkan dan menyusahkan orang lain adalah menyimpang daripada sifat ummah rabbani.
FIQAH
Di samping itu, terdapat juga kaedah fiqah, la darar wa la dirar, iaitu tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Jelasnya, kita tidak boleh memudaratkan diri sendiri dengan mendedahkan kepada jangkitan Covid-19. Pada masa sama, kita tidak boleh memudaratkan orang lain dengan membiarkan penularan penyakit secara sengaja.
Dengan itu, budayakan SOP sebagai norma baharu iaitu:
S: Syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah perlu dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan dan arahan kuarantin.
O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya perlu dilindungi. Individu tidak sihat dan bergejala pula dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan isolasi.
P: Penjarakan fizikal diamalkan pada setiap masa dengan mengelakkan 3S, iaitu elakkan tempat sesak, hindari kawasan sempit dan jangan sembang secara dekat.
Selain itu, amalan kawalan kendiri juga perlu dibudayakan agar kita dapat menjaga keselamatan komuniti dan memutuskan rantaian Covid-19. Setiap orang perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan setiap SOP dipatuhi. Mereka yang tidak berpenyakit perlu menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di tempat awam. Sedangkan mereka yang bergejala, perlu diisolasi dan mendapat rawatan di hospital. Mereka yang pulang dari luar negara dan memakai gelang merah perlu mematuhi arahan kuarantin sehingga disahkan bebas daripada jangkitan.
Kegagalan kita untuk membudayakan norma baharu ketika pandemik akan menjejaskan keharmonian negara, khususnya risiko terhadap petugas barisan hadapan dan masyarakat awam. Sebaliknya, dengan pembudayaan norma baharu, rantaian Covid-19 dapat diputuskan sekali gus keharmonian direalisasikan.
Di sebalik peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Yathrib (Madinah), terdapat perancangan rapi dan penyusunan strategi dilakukan. Tindakan ini berjaya memutuskan rantaian penyiksaan fizikal oleh masyarakat Arab Musyrik Mekah terhadap orang Islam. Justeru, dalam konteks sambutan tahun baharu Hijrah 1442, kita boleh mengambil iktibar daripada teladan Nabi SAW dengan berhijrah dari norma lama yang berisiko kepada membudayakan norma baharu agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
Semangat dan nilai kolektif masyarakat ini perlu dimanfaatkan bagi sama-sama membentuk ummah rabbani dan membina negara harmoni dengan menjaga ekosistem kesihatan awam negara. Kita mengharapkan kehadiran tahun baharu membawa sinar kepada krisis kesihatan global ini.
DR. Mohd. Anuar Ramli ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.