Benarkah Dr. M ‘Pejuang’ PRU-15? - Utusan Malaysia

Benarkah Dr. M ‘Pejuang’ PRU-15?

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi

Apabila Parlimen mula bersidang dan ‘dibenarkan’ perdebatan, maka Tun Dr. Mahathir Mohamad berdiri membahaskan usul. Beliau kemudiannya ‘dimainkan’ oleh musuh-musuh politik yang mengacau, mengejek, memperli dan mentertawakannya. Yang peliknya, pengacau-pengacau dan pengejek-pengejek ini merupakan mereka yang tidak sampai dua tahun lalu berdiri berbaris depan pejabat Dr. Mahathir atau rumahnya untuk memohon dan merintih belas kasihan.

Kini Dr. Mahathir tersalah langkah, maka dua orang kanan beliau ‘sudah potong trip’ dan naik takhta membiarkannya jatuh tersungkur. Apabila itu berlaku, maka seorang penganalisis politik bergelar profesor dari universiti awam menyifatkan Dr. Mahathir ‘tidak mempunyai kuasa, pengaruh dan tidak berguna lagi.’

Tapi saya tersenyum sinis kerana saya tahu, Dr. Mahathir tidak semudah dikalahkan sesiapa. Campaklah dia di mana-mana, tunggu sebentar, maka ia menjadi pohon besar yang bakal menggelapkan musuh-musuh politiknya.

Tup-tup, Dr. Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama beberapa kerat hulubalangnya. Antaranya Maszlee (Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik), Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), anakanda Mukhriz (Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan tiga, empat orang lagi. Mereka semua bergambar berpeluk tubuh bak aksi pendekar-pendekar cerita Melayu lama. Angkuh, yakin dan teguh. Membujur lalu, melintang patah… kata-kata keramat Pak Sheikh Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dahulu.

Ramai yang tertawa, parti ‘nyamuk’ ini tidak berupaya survive. Lagikan pula nak cabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tetapi ini bukan sebarang nyamuk. Nyamuk Aedes amat bisa gigitannya. Nyamuk ini bagaikan Hang Jebat yang sudah berteriak dan bakal mengamuk. Keris dibenamkan di tanah, tanda hati sudah bulat untuk bertempur. Tunggu langkah melintas bendul ‘Istana PM’ Putrajaya.

DAKWAT

Belum sempat pun dakwat borang pendaftaran Pejuang kering, sudah ada keretakan besar dalam pimpinan Bersatu. Satu demi satu pemimpin dan cawangan mula bergolak. Ketika ahli akademik meramalkan ketewasan Dr. Mahathir di pentas politik dan media melaungkan ‘kestabilan’ Bersatu sebagai parti utama, kita terdengar yang PM sendiri bergegas ke Johor untuk meredakan gempa bumi politik di sana.

Parti nyamuk Aedes ini telah mengganggu-gugat takhta raja di Putrajaya sehinggakan terpaksa berangkat sendiri meredakan keadaan. Sepatutnya untuk menyebat parti kecil ini, PM perlu hantar office boy sahaja untuk settle semua perkara. Paling hebat pun hantar orang nombor dua Bersatu. Tetapi orang nombor dua tidak dinobat kerana Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang tidak berparti dijanjikan takhta. Macam mana nombor ‘dua’ nak membuka langkah silatnya di Johor? Dia tiada pentas. Tiada siapa akan dengar hujah dan bahasan beliau. Kenalah PM juga yang pergi.

Di sebelah pagar lain pula, seorang pemimpin pembangkang bertenggek di atas pagar politik. Mafhumnya dia berkata: “Kita akan pertimbangkan sama ada nak bagi Tun M new party masuk PH.” Dia sambung lagi: “Lagipun buat apa buat parti berteraskan perkauman?” Malaysia perlu multiculturalism dan bukan etnocentrism. Pemimpin ini lupa yang kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah daripada bantuan Dr. Mahathir dan parti ‘perkauman’ beliau, Bersatu.

Dr. Mahathir diam sahaja. Beliau terus arahkan pencalonan Slim (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim) untuk bertempur. Bukan sahaja dengan Bersatu tetapi juga UMNO dan Pas. Satu sampan lawan tiga bahtera berlengkap senjata perang. Tiba-tiba kapal perang DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) berlabuh dan memberi isyarat yang mereka sedia membantu dan mencabar Muafakat Nasional (MN) campur Bersatu. Bersatu belum lagi diterima sebagai geng MN sebab Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) kata kena ‘pertimbangkan dahulu’. Tamparan kepada PM datangnya dari kiri dan kanan. Sebelah kiri, Dr. Mahathir dan sebelah kanan Zahid. Ini yang akan menjadikan medan Slim suatu peperangan politik cukup menarik.

LAKSAMANA

Dr. Mahathir kini mendahului dengan mata atau markah yang hebat. Beliau berjaya menggoncang takhta Bersatu. Beliau berjaya menonjolkan ‘kehulubalangan’ beliau dengan meletakkan calon Slim. Beliau kini berdiri tegak sebagai laksamana perang bersama DAP dan Amanah. PKR mungkin ambil cuti tahunan kot. Pemimpinnya melihat dari jauh macam reserve player. Biasanya reserve player yang tidak hebat, tapi ada juga taktik yang menyimpan ayam tambatan sehingga last minute baru lepas untuk menghuru-harakan musuh. Kita tengoklah pemain reserve yang macam mana jenisnya.

Dari pementasan politik sedemikian, kita sudah boleh agak siapa yang akan menjadi laksamana perang bagi pembangkang dalam PRU-15. Yang tidak datang berperang sebagai pemain reserve, saya jangka sudah tentu bukan orangnya. Hanya Hang Jebat sahaja yang berani ‘menderhaka’ kepada raja, maka Jebatlah bakal menyandang wira utama. Walau usia menjangkau sekurun, Dr. Mahathir masih bisa menghunus keris politik untuk menggempur kubu Raja Berpecah Tiga.

Pilihan raya Slim menjadi pembuka langkah pendekar yang bisanya masih masak membara. Rakyat akan menyaksikan suatu tempuran bersejarah nyamuk Aedes melawan Gajah Afrika yang gemuk dan besar. Menang kalah bukan isunya lagi. Perang ini adalah tiupan semangat sangkakala bagi Perang Besar PRU-15.

Hebat…amat hebat!

PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya