SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN kerajaan melakukan pelbagai langkah bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya sektor pelancongan dan perhotelan, saya dapati terdapat satu lagi sektor tercicir. Ia melibatkan sektor pembuatan kraftangan tempatan yang terlalu bergantung kepada pembelian yang dibuat oleh pelancong asing.
Saya ingin tahu, adakah kerajaan mempunyai maklumat mengenai jumlah yang terjejas daripada kira-kira 5,816 pengusaha kraf sedia ada? Apakah bentuk bantuan yang dikenal pasti untuk membantu pengusaha terbabit? Selain itu, sasaran kerajaan untuk menjual kraf bernilai RM500 juta pada tahun ini juga sudah tidak realistik berikutan penularan Covid-19. Siapakah yang akan membeli produk kraf terbabit jika pelancong luar disekat masuk ke negara ini?
Saya juga berharap kerajaan dapat mewujudkan aplikasi khas atau laman web bagi membolehkan pelancong asing membeli produk kraf tempatan secara dalam talian. Sasaran adalah dalam kalangan mereka yang telah menjadi pelanggan tetap sebelum ini yang mungkin berminat menjadi ejen bagi memasarkan produk kraf tempatan di luar negara. Antara produk yang berpotensi dipasarkan di peringkat antarabangsa adalah batik dan barangan berasaskan buluh seperti raga.
MEK YONG
Kota Bharu, Kelantan