MUKADIMAH
SEPERTI pihak lain yang terjejas akibat pandemik Covid-19, syarikat animasi, Les’ Copaque Production (LCP) Sdn. Bhd. turut menerima kesan sehingga tayangan filem terbaharu di pawagam seluruh China tertangguh hingga sekarang. Walaupun dibadai bermacam-macam dugaan termasuk ‘disabotaj’ dan syarikat diramal hanya mampu bertahan selama enam bulan, Pengarah Urusan LCP, BURHANUDDIN MD. RADZI tetap positif industri animasi tempatan boleh bangkit semula sekiranya digunakan strategi betul.
Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON, di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, beliau jelas sekali tidak bercakap kosong apabila banyak idea bernas dikongsi bersama kami.
Berikut sedutan wawancara tersebut:
KESAN POSITIF COVID-19
FILEM Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang mula ditayangkan di pawagam negara ini pada 21 Mac 2019 menerima kesan negatif akibat Covid-19 apabila tidak dapat ditayangkan di pawagam luar negara yang boleh menghasilkan pendapatan cukup besar untuk syarikat. Perancangan awal kita, sepatutnya filem ini dimainkan di pawagam di China pada Mac lalu tetapi tidak jadi kerana Covid-19. Kita juga sudah tandatangan dengan syarikat dari Turki untuk tayangan di pawagam pada Januari lalu, juga sangkut kerana pandemik berkenaan.
Di Bangladesh pun kita sudah tanda tangan. Sepatutnya ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha tahun lepas dan kemudiannya ditunda kerana pelbagai sebab sehingga menular pandemik berkenaan.
Syarat untuk boleh ditayangkan di pawagam luar negara adalah tidak boleh disiarkan dalam Internet dan televisyen, sebab itu sampai sekarang kita tidak tayang dalam mana-mana platform.
Itu dari kesan negatif. Kesan positif, walaupun sudah hampir dua tahun filem ini ditayangkan di pawagam, ia masih tidak dicetak rompak. Klip video filem ini yang ada dalam laman perkongsian video, YouTube adalah versi 10 dan 20 minit yang kita sendiri muat naik untuk tujuan promosi. Laman sembang dalam Internet sehingga kini masih rancak dengan permintaan untuk mendapatkan versi penuh filem ini selama sejam 40 minit. Tiada ruang untuk berbuat demikian kerana belum ditayangkan oleh stesen televisyen dan tidak dimuat naik ke dalam platform Internet.
Pihak kami masih menunggu pengesahan sama ada tayangan di China yang mempunyai pasaran cukup besar akan diteruskan atau tidak sebelum memikirkan langkah seterusnya.
Antaranya, menayangkan filem terbabit melalui saluran Astro First yang pada awal dirancang pada November ini tetapi mungkin dipinda jika ada perubahan pada takwim cuti persekolahan.
Terdapat juga perancangan untuk menayangnya di stesen televisyen MNCTV, Indonesia dan mengedar dalam bentuk cakera padat digital (DVD) di republik itu. Jika semua ini dibuat, ini bermakna kita terpaksa membatalkan hasrat menayangkan filem yang mengambil masa lima tahun untuk dihasilkan di pawagam di China dan negara-negara lain seperti Bangladesh.
TIDAK BOLEH BERGANTUNG PADA YOUTUBE
Ada pihak menyatakan syarikat animasi boleh bergantung kepada YouTube untuk meraih pendapatan daripada iklan ketika Covid-19. Dulu memang pendapatan dari saluran YouTube besar tetapi sekarang kerana penguatkuasaan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA) 1998. Semua kandungan kanak-kanak (berumur 13 tahun ke bawah) di Amerika Syarikat (AS) tidak dibenarkan ada iklan. Jadi, kerana YouTube adalah syarikat AS, ia tertakluk kepada undang-undang berkenaan.
Sejak Januari lalu, semua kandungan untuk kanak-kanak tidak boleh ada iklan. Sekiranya ditangkap kerana kita tidak mengisytiharkan kandungan itu adalah untuk kanak-kanak dan iklan masuk, YouTube akan dikenakan denda. Sebab itu, banyak studio animasi di Malaysia yang memang bergantung kepada YouTube, sekarang pendapatan mereka sudah tiada termasuk LCP. Tetapi kita tidaklah begitu teruk kerana penonton seluruh dunia hampir empat bilion.
Ada cadangan dibuat Upin & Ipin versi remaja yang berumur 13 tahun ke atas. Memang kita tidak akan dibuat kerana penonton sedia ada adalah kanak-kanak. Kalau buat versi remaja, siapa yang akan tengok? Nanti stesen televisyen pun tak nak beli kartun kita.
TAMAN TEMA UPIN & IPIN
Kami merancang untuk membina taman tema seperti Disneyland dengan pelaburan hampir RM1 bilion. Konsepnya sudah pasti Upin dan Ipin yang dekat di hati peminat dan persekitaran seperti dalam filem. Kita masih berbincang mengenai tapak. Tanah yang kita perlukan adalah luas dan terletak dalam lingkungan maksimum sejam atau sejam setengah perjalanan dari lapangan terbang bagi memudahkan orang dari luar negara datang.
Penduduk Malaysia yang kebiasaannya datang pada hujung minggu adalah tidak mencukupi untuk menghidupkan taman tema. Kita hendak lihat lokasi mana yang sesuai di Selangor dan Negeri Sembilan. Kalau di Perak, lokasi di Tanjung Malim boleh lagi kita pertimbangkan.
Kerajaan perlu memberi sokongan kepada kita untuk membangunkan projek mega ini yang mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.