SAUDARA PENGARANG,
Opiat atau opioid merupakan ubatan yang dihasilkan daripada popi opium seperti heroin, morfin dan kodeina dalam kategori ubat sintetik. Opiat sintetik digunakan secara meluas sebagai ubat penghilang rasa sakit. Kebanyakan pekerja menerima ubat ini bagi mengurangkan kesakitan akibat kecederaan. Bagaimanapun, ada juga sebahagian daripada mereka yang terus menggunakannya walaupun tidak lagi sakit. Ini biasanya didorong oleh perasaan menyenangkan ketika di bawah pengaruh dadah yang kemudiannya menyebabkan ketagihan.
Pada 2016, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaporkan, opiat adalah ubat-ubatan yang tertinggi kadar penyalahgunaannya di Malaysia, namun telah menunjukkan penurunan stabil.
Bagi individu yang mengambil opiat secara berlebihan, mereka mungkin mengalami kesan-kesan berbahaya, antaranya kerosakan otak atau ketagihan. Selain itu, ia menjejaskan keupayaan otak dalam mengawal pernafasan sekali gus boleh menyebabkan kematian.
Penyalahgunaan opiat dalam kalangan pekerja menyebabkan pengurangan produktiviti dan meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja. Pemeriksaan dadah dan kesihatan sebagai prosedur prapekerjaan merupakan pendekatan yang sangat baik bagi mengesan penyalahgunaan dadah di tempat kerja. Ujian boleh dibuat sama ada melalui sampel air kencing atau menggunakan instrumen analisis yang lebih berkesan dikenali sebagai kromatografi gas-spektrometer jisim (GC-MS). Alat ini mampu mengenal pasti molekul ubat-ubatan dan kuantitinya dengan lebih spesifik dan tepat.
Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja bukan perkara kecil kerana ia boleh menjejaskan keselamatan di mana-mana tempat kerja. Di Malaysia, permintaan untuk penyaringan penyalahgunaan dadah di tempat kerja menunjukkan trend meningkat. Sebahagian besarnya disebabkan oleh kemasukan pekerja asing.
PROF. MADYA DR. MOHD. NAZRI ISMAIL
Pusat Kajian Analisis Biokimia
Universiti Sains Malaysia