Ambil tahu isu semasa - Utusan Malaysia

Ambil tahu isu semasa

SEBAGAI pemerintah negara, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri begitu prihatin terhadap nasib rakyat yang terkesan dalam tempoh mencabar pandemik Covid-19 masa kini. – FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Teo Kok Seong

Tema Hari Kebangsaan, Malaysia Prihatin untuk Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, bukan sahaja tepat pada masa dan keadaan. Ia juga memperlihatkan tanggungjawab dan tugas kerajaan yang memerintah untuk memperbaik dan memperkasa keadaan sedia ada. Sehubungan itu, tidak dapat disanggah oleh mana-mana pihak yang pandemik Covid-19 telah menjejaskan nafkah hidup rakyat dengan amat teruk, sehingga banyak perniagaan terpaksa gulung tikar dan ramai hilang mata pencarian.

Oleh itu, kepimpinan kerajaan yang amat bimbang dengan keadaan itu, cepat melakukan sesuatu bukan semata-mata kerana simpati tetapi ia adalah kewajipan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga. Yakni mengambil perhatian dan pertimbangan serius lagi tepat agar rakyat senantiasa dilindungi kebajikan mereka, baik dari segi keselesaan, kesihatan, keselamatan dan kejayaan. Ini selaras dengan salah satu fungsi asas kerajaan, iaitu mengurus keadaan ekonomi negara dari segenap segi antaranya inflasi dan pengangguran.

PAKEJ

Dengan itu, khususnya untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19, kerajaan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dengan dana sebanyak RM250 bilion. Tujuan utamanya ialah untuk meringankan beban rakyat dan golongan peniaga yang amat terkesan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara. Selain Prihatin, satu lagi pakej ekonomi sebanyak RM10 bilion dilancarkan sebagai pelengkap yang memberi manfaat langsung kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan saiz kecil dan sederhana.

Tidak lama selepas itu, kerajaan melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan nilai RM35 bilion yang bersifat pelbagai bentuk ganjaran cukai, sokongan kewangan bagi perniagaan dan subsidi upah. Penjana mempunyai matlamat khusus, iaitu untuk segera memulihkan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

MURNI

Kesemua pakej rangsangan ekonomi yang bernilai sekitar RM295 bilion ini, disamping Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 sebanyak RM20 bilion yang diumumkan kerajaan terdahulu, adalah pertama-tamanya untuk melindungi segenap lapisan masyarakat, khususnya berpendapatan kecil di seluruh pelosok tanpa mengira di bandar atau luar bandar. Tidak dapat dinafikan, kesemua pakej ini yang memberi dampak baik kepada kehidupan rakyat jelata setelah nafkah hidup mereka terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, adalah keprihatian kerajaan sebagai pemerintah yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, tindakan murni untuk kebaikan rakyat jelata yang berada dalam kesempitan ini tidak perlu dipolitikkan, apatah lagi cuba digagalkan!

Sebenarnya keprihatinan ini ikut diperlihat Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam sistem pemerintahan kita. Bukan sahaja selalu mengingatkan rakyat tentang bahayanya pandemik Covid-19 untuk diambil serius, baginda juga turun padang meninjau sendiri pengendalian krisis kesihatan ini oleh barisan hadapan. Dalam hal ini, kita dapat melihat begitu prihatin sekali pemerintahan negara, terdiri darpada institusi raja yang diwakili Yang di-Pertuan Agong dan badan pemerintah diterajui Perdana Menteri terhadap rakyat pada waktu yang begitu mencabar. Semua ini dilaksanakan bukan sahaja semata-mata kerana tugasan rasmi atas nama amanah, ia ikut dilakukan atas rasa ambil berat, peduli dan hirau yang penuh kemanusiaan dan sarat pula dengan keinsafan.

Sehubungan ini, kita rakyat jelata juga sebenarnya mempunyai kewajipan yang menyaling terhadap pemerintahan negara, iaitu kepada Ketua Utama Negara dan Ketua Kerajaan. Dengan ini, ia bermakna dua pihak, iaitu yang memerintah dan yang diperintah saling terikat untuk memberi perhatian saksama antara satu sama lain.

PEKA

Dalam hal ini, rakyat antaranya hendaklah selalu peka kepada pelbagai isu yang melanda negara. Apabila ini berlaku, mereka akan lebih memahami keadaan yang dihadapi negara untuk sama-sama dengan pemerintah menanganinya dengan lebih berkesan lagi. Ini penting kerana tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara bukan sahaja perlu dipupuk sebagai konsep asas urus tadbir negara oleh pemerintah, ia ikut disuburkan sebagai pemahaman bahawa pemerintah dan rakyat bertangunggung terhadap satu sama lain untuk kesejahteraan hidup.

Sehubungan tanggungjawab bersama ini, marilah kita sebagai rakyat bukan sahaja menyokong Perlembagaan Persekutuan tetapi mempertahankannya. Dengan berbuat demikian, kita memperlihatkan keprihatinan terhadap pemerintahan negara, baik untuk Yang di-Pertuan Agong mahupun Perdana Menteri.

ETNISITI

Selain itu, tindakan sebegini juga akan menyatupadukan kita yang terdiri daripada pelbagai etnisiti sebagai satu komuniti nasional. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa pemerintahan negara akan melindungi hak dan keistimewaan semua warganegara. Dengan kata lain, ia sebagai undang-undang tertinggi negara dalam menjaminkan kesaksamaan kepada semua warganegara kerana ia mempunyai kuasa untuk tidak menafikan hak dan keistimewaan itu dengan sewenang-wenangnya.

Sifat keprihatinan sebagai tema Hari Kebangsaan juga menyangkut soal pematuhan perundangan oleh pemerintahan negara dan rakyat jelata. Ini penting bukan sahaja kerana ia memperlihatkan yang memerintah serta yang diperintah mengetahui peranan masing-masing dalam mematuhi undang-undang negara. Ia sebenarnya juga merupakan gagasan semak dan imbang ke atas penggunaan kuasa oleh kerajaan, kebebasan badan kehakiman dan akses kepada keadilan.

Selain mengucapkan Dirgahayu Malaysia, konsep pemerintahan negara dan rakyat yang sama-sama prihatin terhadap satu sama lain hendaklah terus dihayati untuk dijiwai, selama adanya matahari, bulan dan bintang di negara ini!

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya