Akta Covid: Kita sudah terlambat? - Utusan Malaysia

Akta Covid: Kita sudah terlambat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Salleh Buang

Rang Undang-Undang Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (ringkasnya RUU Covid) diluluskan di Dewan Rakyat, semalam. Ia akan dibawa ke Dewan Negara, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kemudiannya diwartakan sebagai Akta Covid 2020. Kerajaan yakin RUU Covid ini dapat dikuatkuasakan akhir September ini. Jika ini berlaku, bermakna akta Covid kita wujud selepas lebih enam bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Faktor penantian enam bulan ini menyebabkan sesetengah pihak mensifatkan akta ini sudah terlewat. Pada mereka, ia terlalu kecil dan terlalu lambat (too little too late). Ada juga menyifatkannya sudah tidak relevan lagi. Apakah pendapat sedemikian berasas? Kita lihat bagaimana negara lain menangani isu ini.

Di Singapura, satu rang undang-undang Covid dibentangkan di Parlimen republik itu pada 1 April lalu.

Di China, kerajaannya mengeluarkan sijil force majeure (FMC) seawal Mac lalu kepada syarikat-syarikat pengeksport mereka. Sijil itu melindungi syarikat-syarikat daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh pelanggan disebabkan pandemik ini.

Di Perancis, kerajaannya segera mengisytiharkan Covid-19 sebagai force majeure untuk melindungi syarikat-syarikat perniagaan. Mana-mana syarikat yang gagal melaksanakan kontrak perolehan dengan kerajaan disebabkan Covid-19 tidak akan dikenakan penalti.

Amerika Syarikat (AS) meluluskan Coronavirus Aid, Relief and Economic Security Act (CARES Act) pada 27 Mac lalu. Di bawah akta itu, kerajaan AS menyediakan peruntukan kewangan sebanyak AS$2 trillion untuk membantu pihak-pihak yang terkesan.

Di United Kingdom, Coronovirus Act 2020 negara itu mendapat perkenan raja pada 25 Mac lalu.

LEWAT

Kesimpulannya, jika dibandingkan dengan amalan negara-negara tersebut di atas tadi, tidak dinafikan kita memang lewat bertindak. Disebabkan kelewatan ini, apakah undang-undang baharu ini boleh melindungi komuniti perniagaan kita? Adalah benar Seksyen 7 memberi perlindungan kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi kewajipan kontraktual mereka (contractual obligation) disebabkan Covid-19. Satu jadual kepada Seksyen 7 memperincikan kategori kontrak yang diberi perlindungan, antaranya kerja-kerja binaan, bon pelaksanaan, kontrak perkhidmatan profesional, pelbagai kontrak melibatkan peristiwa (seperti mesyuarat, persidangan, pameran, jualan, konsert, perkahwinan, sukan), kontrak melibatkan perniagaan pelancungan dan kontrak pakej umrah).

Malangnya, perlindungan di bawah Seksyen 7 ini terhakis oleh Seksyen 10 yang menyatakan: “Walau apa pun Seksyen 7, mana-mana kontrak yang ditamatkan, mana-mana deposit atau bon pelaksanaan yang dilucut hak, mana-mana ganti rugi yang diterima, mana-mana prosiding undang-undang, timbang tara atau pengantaraan yang dimulakan, mana-mana penghakiman atau award yang diberikan dan mana-mana pelaksanaan yang dijalankan bagi tempoh dari 18 Mac 2020 hingga tarikh penyiaran Akta ini hendaklah disifatkan telah ditamatkan, dilucut hak, diterima, dimulakan, diberikan atau dijalankan dengan sah.”

Maksud Seksyen 10, sekiranya dalam masa enam bulan kebelakangan ini, sejak mula Covid-19 melanda negara sehingga tarikh RUU ini dikuatkuasakan, sudah ada individu atau syarikat tempatan yang kontraknya telah ditamatkan atau mengalami deposit atau bon mereka dilucut hak, diperintahkan membayar ganti rugi dan dikenakan penghakiman, kesemua yang berlaku disifatkan sah. Dalam bahasa mudah, Seksyen 10 bererti sekiranya sementara menunggu RUU Covid dikuatkuasakan, ada individu atau syarikat yang telah mengalami kerugian disebabkan tindakan undang-undang atau penghakiman oleh pihak lain, RUU ini tidak melindungi mereka.

Apa yang sudah pun berlaku kepada mereka sudah terlambat untuk diberi perlindungan. RUU Covid berkuat kuasa ke depan, bukan kuasa kebelakang. Ramai pengamal undang-undang meramalkan Seksyen 10 akan mendorong banyak pihak (yang belum bertindak) untuk segera membuat tuntutan dan mendapatkan penghakiman terhadap pihak-pihak lain sementara akta ini belum diwartakan dan dikuatkuasakan.

NASIB MALANG

Kesimpulannya, perlindungan di bawah Seksyen 7 tidak boleh dinikmati dan dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan yang terkesan di negara ini kerana bagi mereka, langit sudah pun runtuh sebelum RUU ini dapat dikuatkuasakan. Mereka mengalami nasib malang dua kali berturut-turut. Jika dahulu mereka menjadi mangsa Covid-19, kini mangsa kelambatan RUU Covid dikuatkuasakan.

Seorang netizen, Lim Wei Jeit menyatakan dalam Twitter pada 24 Jun lalu: “Maaf, dah terlambat sangat. Penyewa-penyewa sudah diusir tuan tanah, syarikat-syarikat SME sudah muflis”.
Betul kata pepatah Arab – Masa ibarat pedang. Jika kita tidak gunakan untuk memotong, ia akan memotong kita.”

 

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN