- Utusan Malaysia
ASMADI ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Tulisan Jawi yang wujud sejak lebih 500 tahun di dunia Melayu perlu terus diperkasa, bukan diperendahkan martabatnya sebagai tulisan warisan manusia sejagat. Sejarah membuktikan, ketamadunan Melayu boleh disingkap rahsianya melalui buku, manuskrip lama dan kitab yang ditulis dalam Jawi.

Melalui penulisan itu, sudah pastinya akan memudahkan generasi baharu memahami segala unsur yang menjadikan Jawi terbilang di negara ini suatu ketika dahulu. Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemubual Munsyi Dewan Jawi Pahang, DR. ASMADI ABDUL RAHMAN yang juga Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bagi mendapatkan pandangan berhubung isu tulisan Jawi di negara ini.

 

UTUSAN: Bagaimana Dr. Asmadi melihat perkembangan tulisan Jawi di negara ini?

ASMADI: Pada pandangan saya, perkembangan tulisan Jawi di negara kita pada hari ini semakin baik. Bukan sahaja dikuasai oleh kaum Melayu, bahkan terdapat kaum lain yang turut menguasai tulisan ini. Sebahagian universiti awam dan institusi pengajian tinggi turut menjadikan ejaan Jawi dan tulisan khat ini sebagai mata pelajaran pilihan untuk mereka. Selain itu, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) juga masih mengekalkan tulisan Jawi sebagai mata pelajaran wajib diambil dan turut dinilai. Pernah tular pada 2018, seorang pelajar Cina mengambil peperiksaan UPKK dan mendapat A dalam semua pelajaran termasuk A dalam subjek Jawi dan Khat. Ini perkembangan yang sangat baik, cuma tidak perlulah sebahagian pihak sensasikan berita ini dengan andaian yang negatif.

Selain itu, kita mendapati pendaftaran peserta dalam bengkel Jawi turut mendapat sambutan sama ada dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau oleh munsyi dewan Jawi sendiri. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, terdapat permohonan daripada pihak sekolah untuk diadakan bengkel Jawi khususnya di Pahang. Ini menunjukkan perkembangan yang baik di peringkat sekolah menengah. Kalau di peringkat sekolah rendah kita tidak hairan sebab pelajar perlu mengambil UPKK yang terdapat pelajaran Jawi.

 

Kenapa pembelajaran tulisan Jawi terutama di sekolah sebelum ini ditentang?

Pada saya, tentangan ini wujud disebabkan oleh maklumat yang betul mungkin tidak sampai kepada mereka. Mereka perlu merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran untuk mendapatkan nasihat. Kita bimbang mereka dipengaruhi oleh seseorang yang berkepentingan politik. Ini akan memburukkan keadaan, malah boleh menjejaskan perpaduan rakyat. Kemungkinan apa yang mereka faham apabila memperkatakan tentang tulisan Jawi, mereka beranggapan ia adalah isu agama sedangkan isu ini berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Tidak perlulah kaum lain menganggap tulisan Jawi sebagai proses islamisasi seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak.

 

Perlukah diwujudkan akta khas tulisan Jawi?

Bagi tujuan memelihara keindahan warisan bahasa Melayu ini, perlu diwujudkan akta tertentu untuk tujuan pemerkasaan tulisan Jawi itu sendiri. Hari ini kita dapati beberapa negeri di Pantai Timur telah menguatkuasakan undang-undang berkaitan tulisan Jawi. Setiap papan tanda iklan yang hendak dinaikkan, wajib memaparkan tulisan Jawi dalam sebahagian iklan mereka.
Usaha ini sangat bagus dan perlu disokong oleh semua pihak tidak kira kaum dan agama. Hari ini, pemilik premis perniagaan di Pahang dikehendaki menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda iklan mereka, bahkan tindakan kompaun dikenakan jika tidak patuh arahan ini di bawah Sekysen 107 (2) iaitu gagal memenuhi syarat lesen Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dengan kadar kompuan maksimum RM250 dikenakan jika gagal mematuhinya. Usaha yang patut dipuji kepada kerajaan negeri kerana telah menguatkuasa undang-undang supaya tulisan Jawi terus dimartabatkan di negeri ini. Ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan pengunaan tulisan Jawi di sekitar Kuantan.

 

Adakah orang akan faham Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 dan 10 Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelas menjamin survival tulisan Jawi dan angka Arab melalui pengajaran bahasa Melayu kepada setiap warganegara?

Ramai yang masih tidak tahu tentang Perkara 152. Kalau tahu tentang Perkara 152, macam mana mereka hendak faham tentang jaminan survival tulisan Jawi? Apabila timbul isu tulisan Jawi atau pengumuman Jawi, baru sebahagian pihak akan keluarkan kenyataan berkaitan Perkara 152. Ketika ini baru orang akan tahu dan akan mula hendak faham. Isunya sekarang, bagaimana kita hendak memperkasa tulisan Jawi bila kita sudah faham Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan?
Mengisytiharkan hari Jumaat sebagai Hari Jawi adalah salah satu cara memperkasakan tulisan ini. Galak semua orang menulis guna tulisan Jawi pada hari Jumaat di media sosial atau beberapa halaman surat khabar perlu dijawikan. Ini baru menjamin survival tulisan Jawi. Isu lagi rumit kalau yang sudah tahu tentang Perlembagaan tapi mereka yang menentang penggunaan Jawi dengan dakwaan proses islamisasi, ini tidak bagus.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya