SEORANG rakan dari negara jiran mengandaikan menangkap hantu lebih mudah daripada ‘menangkap’ Covid-19.
Ini kerana katanya, masalah hantu dapat diselesaikan menerusi khidmat bomoh sedangkan virus pembunuh itu tiada penyelesaian selagi vaksin yang mampu menanganinya gagal ditemui.
Di sebalik kata-kata selorohnya itu, lelaki berusia 40 tahun berasal dari Surabaya, Indonesia yang sejak 25 tahun lalu mencari rezeki di Kuala Lumpur kagum dengan sikap masyarakat tempatan.
“Di kampung saya, kes Covid-19 masih meningkat. Pemerintah sukar kawal kerana ada sahaja alasan diberi penduduk apabila diminta duduk di rumah,” katanya separuh kesal.
Malaysia telah membuktikan peranan rakyat pelbagai peringkat amat penting dalam usaha membawa negara segera keluar daripada terus terperangkap dalam ‘perang’ Covid-19.
Kesungguhan kita berkorban mengetepikan perbezaan pendapat dan memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan menyerlahkan kembali imej negara di mata dunia.
Namun, ini bukan bermakna negara terlepas daripada turut terkesan oleh virus pembunuh itu.
Natijahnya ia tidak hanya merosakkan sistem ekonomi, kehidupan harian juga terjejas. Kini, istilah kebiasaan baharu menjadi bualan.
Dalam masa sama, kadar pengangguran semakin meningkat.
“Semua lapisan pekerja dari ketua pegawai eksekutif hingga ke staf penghantaran perlukan latihan semula dan peningkatan kemahiran,” kata pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu berharap pihak majikan dapat lebih bertimbang rasa dan `membuang’ pekerja sebagai pilihan terakhir.
“Kerajaan boleh menggunakan kaedah pujukan bagi meminta mereka (majikan) menangguhkan keputusan untuk mengurangkan pekerja,” ujarnya.
Sementara itu, Bank Dunia menyatakan keyakinan bahawa ekonomi kita mampu berkembang pada kadar sekitar lima hingga sembilan peratus pada 2021. Ini berdasarkan usaha kerajaan merangka pelan dan rangsangan ekonomi jangka pendek dan panjang.
Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion atau hampir 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin memberi gambaran jelas tentang hala tuju negara.
Hakikatnya, bagi melepasi rintangan ini, kita tidak mampu lagi berdepan dengan kerenah politik berpanjangan. Negara memerlukan barisan kepemimpinan yang jujur, cekap dan berwawasan.
Benar, di sebalik dugaan maha hebat ini tersirat rahsia dinamakan hikmah. Kita semua – dipimpin atau memimpin tiada pilihan selain perlu berkorban untuk bersatu.
Kita ini ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.