SELAMAT kembali Utusan Malaysia. Kemunculan semula Utusan Malaysia adalah momen yang paling membahagiakan. Semoga kemunculan Utusan Malaysia kali ini membawa bersamanya ideal pencerahan yang sangat diperlukan oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.
Yusuf Ishak dan Rahim Kajai mengasaskan Utusan Melayu untuk menjadi suara yang bebas dan berani dalam mewakili nurani dan pemikiran bangsa Melayu. Ia tidak pernah diasaskan untuk menjadi jurucakap mana-mana parti politik. Justeru, Utusan Malaysia dengan kebangkitan semulanya, mesti kembali kepada ideal asal penubuhannya, iaitu kewartawanan berwibawa. Hanya itu jalan terbaik untuk masa depan untuknya.
Ia mesti menjadi jurucakap bangsa Melayu dan bukan jurucakap mana-mana pergerakan politik. Perjuangkan kemaslahatan sebenar bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, tanpa berpihak. Beroperasilah dengan model dan pemikiran sezaman dan jangan lagi menjadi institusi feudal yang pegun dengan segala perubahan deras di sekeliling.
Hanya menjadi pelapor kepada peristiwa dan berita tidak mencukupi. Tugas itu telah diambil alih oleh media social.Utusan mesti menjadi tonggak kepada pengukuhan demokrasi dengan melakukan fungsi semak dan imbang dengan lebih radikal dan konstruktif. Ia mesti melaporkan kebenaran walau apa pun harganya. Dan ia mesti menjadi pencetus kepada pemikiran baru, analisis yang jitu dan sahih, serta pencerahan kepada pelbagai krisis nasional dan antarabangsa.
Namun tanggungjawab Utusan membangun tanahair ini bukan sekadar mejadi jurucakap orang Melayu. Utusan mesti mengimbangi peranannya dalam kemajmukan Malaysia. Lalu jadilah suara untuk semua dan bukan sekadar bangsa Melayu.
Kepada rakyat Malaysia pelbagai bangsa, bacalah Utusan Malaysia untuk memahami pemikiran bangsa Melayu dan bagaimana ia mentafsirkan sesuatu isu dari perpektif berbangsa dan bernegara. Selagi anda tidak memahami pemikiran bangsa Melayu, selagi itu anda akan terus terbelenggu dengan pemikiran sempit tentang kemajmukan Malaysia.
Semua kita mesti mengambil tanggungjawab untuk mendukung Utusan Malaysia menjadi akhbar yang moden, bebas dan bermutu. Kebebasan akhbar adalah sangat penting untuk demokrasi Malaysia menjadi matang dan berwibawa. Tanpa akhbar yang bebas, Malaysia tidak mungkin akan menjadi sebuah masyarakat yang maju.
Kita mengimpikan Washington Post atau New York Times ala Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi jurucakap kepada rakyat Amerika, tetapi suara masyarakat global yang sangat dihormati. Kepada semua pekerja Utusan Malaysia dan pengurusan tertingginya, anda semua hanya ada satu pilihan. Iaitu melakukan kerja kewartawanan yang tulen, benar, ikhlas dan meyakinkan. Jika anda gagal melakukannya, maka Utusan Malaysia tidak akan menjadi kebangkitan baru yang berjaya. Maka lakukanlah tugas kewartawanan yang sebenar-benarnya.
Datuk Seri Utama Mohamad Hj Hasan
Timbalan Presiden UMNO