‘Saya rasa kosong, rindu’ - Utusan Malaysia

‘Saya rasa kosong, rindu’

SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
PENGARAH Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), DATUK SERI SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN bukan tokoh asing dalam menguruskan penghantaran jemaah ke Mekah kerana telah berbuat sedemikian saban tahun sejak 10 tahun lalu. Tempias pandemik Covid-19 menyebabkan rutin itu tidak dapat diteruskan dan dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, FAUZI BAHARUDIN di pejabatnya di Kuala Lumpur Khamis lalu, beliau berkongsi rasa lega dengan sikap bakal haji yang reda dengan keputusan kerajaan menangguhkan penghantaran mereka tahun ini. Bagaimanapun, beliau menyedari jauh di sudut hati jemaah terbabit wujud perasaan kecewa sama seperti dirinya sendiri yang berasa ‘kosong’ kerana tidak dapat berada di Tanah Suci sebagai ketua rombongan haji seperti kebiasaan.

 

UTUSAN: Apakah reaksi 31,600 bakal jemaah haji 1441H/2020 setelah kerajaan pada awal bulan lepas mengumumkan penangguhan penghantaran mereka ke Tanah Suci?

SYED SALEH: Sebenarnya bakal haji telah membuat pelbagai persiapan, antaranya menjalani pemeriksaan kesihatan dan menghadiri kursus asas haji sebanyak 13 siri sejak Disember tahun lepas hingga Mac lalu. Dengan persediaan ini, sudah tentu sedikit sebanyak mereka berasa kecewa kerana penantian yang begitu lama untuk pergi haji akhirnya terpaksa ditunda. Bagaimanapun apabila diterangkan, mereka menerima dengan baik kerana memahami dari segi hukum-hakam iaitu wajib tunai haji ini hanya bila ada istitho’ah (kemampuan).
Jadi, apabila terhalang untuk pergi kerana tiada kemampuan dari segi keselamatan dan kesihatan, tidaklah jatuh wajib untuk pergi haji dan tidak berdosa kerana itu bukan atas kehendak mereka.
Berdasarkan maklum balas daripada bakal-bakal haji, mereka reda dengan keputusan (kerajaan) dan memahami itu ketetapan daripada Allah SWT.

 

Bagaimana pula aspek kerugian Tabung Haji dan 24 syarikat yang telah dilesenkan untuk menguruskan pakej haji?

Kita telah mengadakan perbincangan secara berterusan dengan syarikat terbabit sejak Mac lagi apabila kerajaan Arab Saudi memberi nasihat supaya berhati-hati dalam membuat persediaan melibatkan kewangan kerana keadaan ketika itu masih belum jelas bagaimana haji akan dilaksanakan pada tahun ini. Walaupun Tabung Haji telah membuat pelbagai persiapan dari segi penyewaan hotel, ubat-ubatan dan penerbangan tetapi kita tidak memberikan komitmen kewangan. Jadi penangguhan ini tidak memberi impak kewangan kepada agensi ini. Pihak syarikat pula secara umumnya tidak menghadapi masalah kerugian. Jika ada yang membuat sedikit deposit untuk bayaran sewa hotel, mereka telah berjaya berunding dengan pihak hotel sama ada untuk memulangkan balik deposit tersebut atau wang itu diguna pakai semula apabila musim umrah dibuka nanti.

 

Bagaimanakah Tabung Haji dapat membuat persediaan rapi sedangkan penangguhan penghantaran jemaah haji kali pertama berlaku?

Alhamdulillah, Malaysia amat bertuah kerana adanya satu agensi yang khusus untuk menjaga urusan haji melalui Akta Tabung Haji yang diluluskan di Parlimen.
Kewujudan agensi ini membolehkan kita memberi tumpuan keseluruhannya (termasuk persediaan perkara luar jangka). Persiapan kita untuk setiap musim haji bermula dua minggu setelah penerbangan terakhir (musim sebelumnya).
Kita dari segi persiapan sudah pun bersedia dan alhamdulillah kita sendiri membuat analisis tentang keadaan Covid-19 ini dan telah mengambil pendekatan berhati-hati sejak awal lagi.

Nasihat kepada bakal haji yang masih menunggu keputusan?

Bakal haji tahun ini yang sepatutnya pergi tetapi tertunda pemergian mereka, saya mengharapkan mereka bersabar dan reda dengan keputusan yang telah dibuat. Kita ambil kira ini sebagai satu ketetapan daripada Allah SWT. Yang penting adalah mengelakkan daripada kemudaratan seperti dinasihatkan oleh Rasulullah SAW, apabila berlaku wabak di suatu tempat maka kita elak daripada masuk ke kawasan tersebut. Dengan kesabaran itu, kita sudah mendapat pahala. Pada masa sama, tempoh masa yang lama sebelum kita pergi haji pada tahun depan adalah satu hikmah untuk kita terus memantapkan lagi ilmu-ilmu haji kita.

 

Apakah perasaan Datuk Seri kerana tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai ketua rombongan haji seperti kebiasaan?

Secara peribadi, saya rasa satu kerinduan kerana kebiasaan setiap tahun pergi. 2 Zulhijah hanya tinggal enam hari lagi sebelum semua para jemaah haji berangkat ke Arafah, jadi (kebiasaan) sekarang ini jemaah haji semua telah sampai dan berada di Mekah. Jadi suasana itu memang cukup luar biasa dan istimewa dan (tahun ini) kita terlepas peluang berkenaan. Memanglah agak sukar untuk bakal-bakal haji menerima bahawa kali ini mereka tidak dapat menghayati ungkapan “kami datang ya Allah untuk menyahut seruan-Mu”. Memang saya bersedia untuk menyantuni mereka dan pada tahun ini tidak dapat, jadi saya rasa satu kekosongan. Satu kerinduan untuk merasai kemanisan pada setiap 12 dan 13 Zulhijah apabila jemaah haji balik dari Arafah dan Mina dan saya menyambut mereka di Mekah. Ketika itu saya dapat melihat wajah-wajah mereka yang seronok dan puas hati kerana dapat mengerjakan haji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya