“SETAHUN setengah selepas disahkan lumpuh, saya hampir gila. Hanya baring menangis. Kawan-kawan pun tak datang jenguk. Waktu itu setiap hari saya berdoa. Tuhan, bawalah aku pulang.”
Itu kisah diceritakan Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi, 52, tentang pengalamannya menempuh waktu sukar selepas disahkan lumpuh separuh badan kerana terjatuh di kediamannya, 18 tahun lalu. Selama kira-kira 18 bulan, dia hilang makna dan tujuan hidup. Hari-harinya hanya ditemani air mata kerana sukar untuk menerima kenyataan bahawa dirinya yang sebelum ini aktif dalam sukan dan aktiviti lasak telah bergelar orang kurang upaya (OKU).
“Tapi setiap kali menangis itu, rasa macam Tuhan datang bawa gebar (selimut), tenangkan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkongsi tiga faktor kebangkitannya dalam kehidupan, iaitu Allah Maha Esa, keluarga dan kenalan serta semangat sahabat-sahabat OKU yang diserap masuk ke jiwanya.
“Kawan-kawan OKU saya ini memang dahsyat. Mereka punya kekuatan luar biasa,” kongsinya.
Tiga kali malang
Dalam pertemuan kira-kira sejam dengan Presiden OKU Sentral itu di pejabatnya di Parlimen, Ras Adiba turut berkongsi kisah yang membawa kepada kelumpuhannya. Ia bermula dengan kejadian kemalangan pada 1995 ketika dia dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan perlawanan bola sepak di Stadium Shah Alam. Entah bagaimana kereta di hadapannya berhenti secara mengejut dan dalam kekalutan itu, dia mengalihkan kenderaannya ke sisi untuk mengelak. Malangnya sebuah kereta di belakangnya tidak sempat menekan brek lalu merempuh bahagian kanan kereta menyebabkan dia terpelanting ke luar.
Kemalangan itu menyebabkan kecederaan parah pada tengkuknya hingga terpaksa dimasukkan besi titanium. Tulang belakangnya walau sering sakit, masih mampu menampung tubuhnya.
Enam tahun kemudian, satu lagi kejadian malang berlaku. Ketika berkunjung ke rumah ibunya, dua motosikal tiba-tiba berhenti di sebelah keretanya. Ras Adiba sangka mereka kawan-kawan arwah adiknya lalu memberikan senyuman. Tanpa disangka, bertubi-tubi hentakan topi keledar singgah ke tubuh dan kepala Ras Adiba. Dua penunggang motosikal itu rupa-rupanya mahu melarikan keretanya.
Dia bernasib baik kerana keluarganya sempat keluar rumah membuatkan dua lelaki itu melarikan diri sebelum sempat mencuri keretanya. Namun titanium dalam tengkuknya teralih dan belakangnya semakin selalu sakit. Beliau terpaksa bergantung dengan ubat penahan sakit untuk melakukan aktiviti lasak.
Setahun kemudian, mimpi ngerinya bermula. Ketika mahu mengambil barang dari atas almarinya, Ras Adiba tergelincir lalu jatuh dari tangga.
“Waktu jatuh itu, saya dapat dengar bunyi ‘kraakk!’. Tapi saya fikir mungkin seliuh sahaja,” ujarnya.
Rupa-rupanya itulah detik bermula kembara hidupnya sebagai seorang OKU. Doktor mengesahkan kecederaan di bahagian vertebra T10 pada tulang belakangnya. Ia menyebabkan tubuhnya dari bahagian pinggang ke bawah lumpuh.
Memanjat semangat sebagai OKU
Perjalanan hidupnya ternyata berubah bermula dari detik itu. Lebih setahun dia meratapi nasib sebelum bertemu semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Pada 2003, saya tolak kerusi roda dari Johor Bahru ke Putrajaya. Orang kata gila dan saya fikir memang gila pun. Sampai sekarang saya tak tahu macam mana saya boleh buat.
“Tuhan itu Maha Adil. Dia ambil sesuatu daripada kita dan Dia gantikan dengan yang lain,” katanya yang mengakui banyak mendapat semangat daripada kawan-kawan OKU lain yang sangat cekal menjalani kehidupan.
Berkongsi pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara pada 20 Mei lalu yang mewakili golongan OKU, Ras Adiba mengharapkan sokongan penuh komuniti itu dalam usahanya memperkasa kehidupan mereka.
Katanya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara mesra OKU.
“Sebenarnya yang OKU itu bukan kami tetapi persekitaran kami. Persepsi masyarakat dan infrastruktur yang tidak sempurna itu yang mengurangkan upaya kami.
“Saya selalu cakap, kita perlu sediakan negara kita ke arah yang lebih ramah OKU. Kita perlu bersedia untuk populasi OKU yang akan datang,” katanya bersemangat.
Beliau menggariskan tiga ruang utama yang perlu diisi bagi memperkasa OKU iaitu pendidikan, pekerjaan dan infrastruktur.
“Macam yang Perdana Menteri kata, no one is left behind. Begitu juga OKU, kita tak mahu ada yang ketinggalan,” katanya.
Mungkin tidak ramai sedar terdapat banyak kategori OKU yang penyakitnya tidak dapat dilihat atau penghidapnya terlalu sedikit menyebabkan ia tidak mendapat perhatian. Ras Adiba mahu mengubah pandangan itu dan memastikan semua kategori OKU mendapat pembelaan sewajarnya oleh kerajaan mahupun masyarakat.
“Saya selalu beritahu orang, hanya sebab awak tak nampak (penyakit itu), tak semestinya ia tidak wujud.
“Ramai yang malu untuk bercakap (tentang kekurangan anak). Jangan begitu. Saya tahu susah tapi itulah, saya ada,” katanya.
Beliau mengakui cabarannya bukan sahaja dalam kalangan komuniti OKU, bahkan untuk ibu bapa yang menjaga anak-anak OKU. Mungkin apa yang diceritakan Ras Adiba dalam wawancara selama sejam ini tidak merangkumi keseluruhan kisahnya. Namun yang pasti, perkongsiannya adalah benih inspirasi yang mampu menumbuhkan kecekalan dalam ribuan jiwa OKU lain.