MENGUPAS perihal perundangan, nama PROFESOR DATUK SALLEH BUANG bukan calang-calang kerana beliau sering menjadi rujukan media tempatan untuk mengupas sesuatu isu. Bekas
Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara itu juga cukup mahir mengenai isu semasa dan sering melontarkan pendapat bagi memberi penjelasan kepada orang awam berkenaan isu-isu perundangan.
Mengulas tentang kedaulatan undang-undang mengikut Perlembagaan kepada wartawan Utusan Malaysia, SUWARNI MOKHTAR dan HADI AB. MANAP, Salleh turut menyentuh untung nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas diputuskan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd, semalam.
UTUSAN: Najib didapati bersalah. Dari sudut mana kemungkinan besar peguam bela akan berusaha untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi?
SALLEH: Masih ingat kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim? Di Mahkamah Tinggi, hakim bicara mengatakan ada prima facie. Semua orang menyangka ini akan dituruti dengan sabitan. Mengejutkan sekali, pada hari keputusan, tiba-tiba hakim bicara putuskan Anwar tidak bersalah lalu dibebaskan. Apabila kes dirayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Anwar disabitkan dan akhirnya dipenjarakan. Akhir cerita, Anwar dapat pengampunan.
Bolehkah ini berlaku sekali lagi? Kemungkinan itu sentiasa ada.
Apa akan berlaku selepas ini? Pastinya peguam belanya akan failkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Di situ nanti pun, jika ada sesiapa yang kalah, mereka juga akan membuat rayuan sekali lagi ke Mahkamah Persekutuan.
Pada hemat saya, Najib akan turun naik mahkamah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau mungkin PRU-16.
Di Malaysia, adakah kedaulatan undang-undang masih wujud? Pandangan Datuk?
Kedaulatan undang-undang adalah terjemahan istilah Rule of Law. Apa erti Rule of Law? Secara mudahnya, terma ini bererti ketiadaan kuasa arbitrari oleh pemerintah atau pihak yang memegang kuasa. Semua rakyat dan institusi dalam negara adalah sama-sama tertakluk kepada undang-undang dan bertanggungjawab kepada undang-undang. Ini bermakna peme-rintah juga tertakluk kepada undang-undang. Tidak ada siapa yang kebal daripada undang-undang.
Ia juga bermakna hak sama rata, tidak ada dwistandard. Kalau ada satu keadilan untuk orang atasan dan ada pula keadilan yang lain bagi orang biasa, maka Rule of Law itu sudah pincang.
Kesimpulannya, adakah kedaulatan undang-undang itu masih wujud? Jawabnya, ya. Mungkin tidak sempurna, tidak 100 peratus baik. Mungkin ada kelemahannya, tapi pada hemat saya, masih boleh diterima dan diperbaiki.
Bagaimana pula dengan pandangan masyarakat yang berpendapat bahawa undang-undang pada hari ini ditadbir secara Rule by Man?
Ini adalah soal persepsi, sesuatu yang sukar dielakkan. Mudah bagi rakyat biasa menghukum pihak majistret atau hakim bila mereka menjatuhkan hukuman yang rakyat biasa rasa tidak setimpal, tidak berpadanan.
Hakikatnya, tidak ada satu kes yang sama 100 peratus dengan kes lain. Majistret dan hakim mengambil kira semua faktor dan hal keadaan kes seperti keseriusan kes, kekerapan kes berlaku pada masa itu, usia tertuduh, latar belakang, pesalah baharu dan sebagainya.
Memang betul ada kalanya berat ringan sesuatu hukuman itu terlalu banyak bezanya antara satu kes dengan kes yang lain. Ini terjadi bila kesalahan itu berlaku dalam daerah, kawasan, wilayah atau negeri yang lain. Faktor usia, pengalaman dan latar belakang majistret atau hakim itu juga ada kesan kepada penalti yang dijatuhkan.
Secara prinsipnya, saya setuju bagi kesalahan yang faktanya dan latar belakang tertuduh sama, seberapa boleh hukuman yang dikenakan janganlah terlalu jauh bezanya.
Adakah rakyat masih yakin dengan pelaksanaan serta penguatkuasaan undang-undang negara?
Pada hemat saya, majoriti rakyat masih lagi yakin dan percaya. Saya tidak bermaksud penguatkuasaan kita sudah 100 peratus sempurna. Kelemahan yang ada mesti kita akui.
Malangnya mereka yang masih yakin ini adalah golongan the silent majority. Yang bising dan memekik di sana sini adalah segelintir sahaja, yakni kumpulan minoriti. Tetapi disebabkan mereka ini vocal dan visible, tidak mustahil didorong oleh agenda tertentu, mereka sajalah yang kita dengar.
Walaupun begitu, hanya kerana yang bersuara itu adalah kumpulan minoriti, tidak bermakna pihak berkuasa boleh tutup telinga dan tidak pedulikan mereka. Teguran golongan minoriti ini juga mesti didengari. Jika didapati berasas, tindakan pembetulan atau penambahbaikan perlu dilaksanakan.
Rakyat tidak yakin kerana tidak faham proses teknikal perundangan atau kerana apa yang mereka lihat berlaku adalah sebagaimana yang dimomokkan?
Boleh jadi. Mereka tidak yakin mungkin disebabkan kerana kurang ilmu, tiada kesedaran, tiada minat untuk mengambil tahu, tidak sanggup mendengar apa yang diperkatakan orang lain dan anggap diri mereka sudah serba tahu segalanya. Memang ada orang macam itu, bodoh tidak boleh diajar dan pandai tidak boleh ditegur.
Ada juga yang memang prejudis. Prejudis ini kadang- kala sebab berlainan parti, negeri, kelompok, pegangan, kefahaman atau mungkin taksub dengan pemimpin tertentu. Kalau seseorang itu disukai, maka semua kata-katanya betul. Kalau seseorang itu tidak disukai pula, semua kata-katanya tidak betul.
Kalau rakyat sudah tidak yakin, apa yang perlu dilakukan untuk kembalikan keyakinan tersebut?
Institusi perlu semak diri. Apakah ada buat silap yang menyebabkan masyarakat tidak yakin kepada mereka? Apakah kita sombong, memang tidak pernah mendekati mereka atau memahami masalah mereka? Kalau hanya turun padang bila ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, jangan harap orang awam akan yakin dan percaya.
Apakah rekod kita selama ini sebagai orang yang sentiasa bercakap benar atau jenis lain padang, lain cerita? Dengan kelompok sini, cakap begini, dengan kelompok sana, cakap lain pula. Pada bulan ini, kita cakap begini tapi dua bulan lalu, lain cakap kita. Ramai pemimpin macam ini sekarang. Kita panggil mereka sebagai oportunis.
Hakikatnya, kejujuran tidak boleh dibuat-buat atau pura-pura. Rakyat boleh menilai mana pemimpin yang jujur atau tidak. -UTUSAN