SAUDARA PENGARANG,
SAYA sering berkunjung ke Pasar Borong Selangor. Selama ini saya tidak pernah meragui sukatan timbangan oleh penjual. Namun minggu lalu, saya mengesyaki salah seorang penjual warga asing cuba menipu sukatan timbangan ikan kembung yang saya beli. Saya tergerak untuk menimbang sekali lagi di kedai sayur sebelah.
Ternyata timbangan tersebut berbeza. Bukan sedikit perbezaan timbangan itu. Saya tidak berpuas hati, lalu pergi semula ke kedai ikan berkenaan untuk menanyakan hal itu. Tetapi penjual ikan yang merupakan warga Myanmar tetap mempertahankan alat timbangannya betul tanpa pengubahsuaian.
Baru-baru ini, ada seorang pengguna Twitter berkongsi maklumat berhubung untuk mengesan alat penimbang yang disahkan pihak berkuasa.
Alat penimbang tulen mempunyai pelekat hijau atau biru dengan label Metrology Corporation Malaysia (MCM). MCM ditubuhkan bagi tujuan menjalankan perkhidmatan pengesahan dan pengesahan semula semua alat penimbang dan pengukur yang digunakan di negara ini.
Jika peniaga tidak menggunakan penimbang yang mempunyai cop MCM, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang & Sukat 1972 (Pindaan 1981) dengan denda maksimum RM40,000 jika bersalah.
HAJI ABDULLAH
Selangor