Jangan ulang kesilapan sama - Utusan Malaysia

Jangan ulang kesilapan sama

KHAIRY Jamaluddin membaca akhbar Utusan Malaysia di Parlimen, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN merupakan hari yang sangat dinantikan oleh saya. Melihat kelahiran semula lidah orang Melayu yang hilang selama lebih sembilan bulan. Utusan Malaysia bukan semata-mata surat khabar biasa. Utusan adalah sinonim dengan perjuangan rakyat marhaen dan aspirasi orang Melayu. Sering kali Utusan menjadi hati nurani rakyat dan bangsa melalui liputannya yang menitikberatkan kehidupan rakyat biasa. Jelas, Utusan adalah sebuah institusi yang telah membentuk minda dan sarwajagat (worldview) bangsa.

Dengan kemunculan semula Utusan, saya harap ia tidak lagi terpaksa melalui pengalaman ‘tutup kedai’ seperti apa yang telah berlaku selepas pilihan raya yang lepas. Nasib malang yang menimpa Utusan berpunca daripada pelbagai sebab. Pengurusan komersial yang lemah, kemunculan berita digital dan budaya membaca berita yang sudah berubah telah memberi kesan yang besar kepada kedudukan Utusan. Tetapi bagi saya, Utusan telah melalui peristiwa pahit ini sebab ia semakin tersasar daripada matlamat penubuhannya. Walaupun Utusan mula dikuasai UMNO pada 1961, sidang pengarangnya telah meletakkan kepentingan rakyat marhaen lebih terdahulu daripada menjaga ego pemimpin UMNO. Utusan sering kali membuat teguran terhadap pembesar politik negara – yang pahit melalui pena Awang Selamat, yang berseloka melalui karikatur Senyum Kambing.

Kebebasan ini semakin terhakis dan Utusan telah mula menjadi lidah Presiden UMNO dan bukan rakyat jelata. Ini jelas bermula sekitar 1980-an dalam era ketakutan media apabila undang-undang tertentu diguna untuk menutup kebebasan akhbar. Trend ini berterusan sehingga Utusan digunakan untuk mengaibkan seorang bekas pemimpin UMNO yang telah disingkir dari parti dengan liputan meluas berkenaan tuduhan yang bersifat peribadi diletakkan di ruang utama akhbar tersebut.

 

TOLAK TEPI

Kita tolak ke tepi kes yang melibatkan pemimpin tersebut dan cuba memikirkan adakah ia tugas Utusan untuk melancarkan kempen mencemarkan nama beliau sebelum perbicaraan mahkamah bermula? Liputan berkenaan telah memberi kesan yang sangat negatif terhadap kewibawaan Utusan. Utusan juga mempunyai tradisi sebagai lidah Melayu yang tidak memusuhi mana-mana kaum yang lain. Walaupun pendirian yang diambil oleh Utusan adalah tegas tanpa segan silu mempertahankan kedudukan orang Melayu, ia sentiasa dibuat dalam konteks hak masing-masing yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Utusan telah membentuk sarwajagat Melayu yang sederhana dan berhaluan tengah. Namun tradisi ini juga terhakis apabila liputan Utusan tidak hanya mempertahankan kedudukan bangsa tetapi mula menyerang bangsa lain.

Mungkin tiada contoh yang lebih jelas daripada tajuk yang terpapar di halaman depan Utusan pada 7 Mei 2013 selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperbaiki kedudukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 iaitu Apa lagi Cina mahu? Walaupun kita kecewa pada waktu itu dengan keputusan pengundi Cina yang dilihat tidak menyokong BN setelah pelbagai langkah dibuat untuk membantu masyarakat tersebut, itu bukanlah caranya untuk kita menjawab.

Tajuk berkenaan hanya berjaya mengeruhkan lagi keadaan dan menyemaikan sentimen kebencian yang rasis dalam kalangan orang Melayu dan Cina. Saya harap Utusan boleh kembali menjadi lidah Melayu dengan penuh berprinsip dan bermaruah tanpa meniupkan sentimen perkauman ekstrem yang langsung tidak melambangkan sikap kesederhanaan yang perlu didukung oleh semua.

Saya sebut semua ini bukan kerana nak salahkan Utusan. Saya sayang kepada Utusan. Saya telah merindui ketiadaan Utusan selama beberapa bulan dan menanggung harapan yang tinggi bahawa Utusan akan kembali. Saya cuma tidak mahu Utusan mengulangi kesilapan yang lama. Jasa Utusan terhadap saya sangat besar. Pada waktu saya menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan tidak dilantik ke Jemaah Menteri serta dilayan bak kata Chairil Anwar, “binatang jalang dari kumpulannya terbuang”, Utusan bertindak berani dan memberi ruang liputan kepada saya walaupun ada arahan untuk tidak berbuat sedemikian.

 

GURU BAHASA

Bila saya pulang ke tanah air setelah puluhan tahun berada di luar negara dan penguasaan bahasa kebangsaan saya agak lemah, Utusan yang menjadi guru bahasa saya. Selama setahun saya tidak membaca akhbar bahasa Inggeris dan hanya membaca Utusan untuk membiasakan diri saya dengan istilah politik dan memantapkan semula pemahaman bahasa kebangsaan saya. Terima kasih, Utusan.

Sebab itulah saya sangat tertarik dengan tulisan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar, kelmarin. Beliau dengan lapang dada telah mengakui kesilapan lampau dan merayu kepada pembaca supaya memberi Utusan peluang untuk melaporkan berita secara adil tanpa ‘dikategorikan sebagai prokerajaan atau antipembangkang serta untuk mengagung atau memburukkan mana-mana pihak’.

Beliau juga meraikan perbezaan pendapat sebagai ‘teras mana-mana demokrasi yang dinamik.’ Sesungguhnya ini adalah pandangan yang segar dan menyakinkan daripada ketua redaksi Utusan. Saya harap beliau dan seluruh warga Utusan akan melaksanakan kata-kata itu.
Tahniah, Utusan Malaysia. Kembalilah menjadi lidah orang Melayu. Jadilah wadah yang adil dan bebas. Jangan gentar dengan pembesar politik. Bawalah suara rakyat marhaen tanpa ketakutan atau kepentingan.

Kembalikan sarwajagat Melayu yang mulia, sederhana, berprinsip dan berintegriti. Dan janganlah dilupakan nasib lebih 800 bekas kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan tahun lepas serta lebih 800 lagi bekas kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) yang dikhabarkan terabai. Selamat bertugas!

 

Penulis ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN