MELANGKAH masuk ke pejabat Profesor Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor baru-baru ini, dapat dilihat hampir setiap sudut dipenuhi buku-buku ilmiah.
Ini menunjukkan bekas Naib Canselor UiTM itu bukan sahaja suka membaca, malah memperlihatkan sikapnya yang menitikberatkan pencapaian dalam setiap perkara dilakukannya.
Dalam pertemuan singkat itu, beliau berkongsi pandangan tentang perubahan yang perlu dibawa dalam institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Katanya, ramai yang tidak peka dengan perubahan yang perlu dibawa ke dalam IPTA.
Sebab itu, banyak pembaikan harus dilakukan segera. Antaranya pemilihan naib canselor harus dilakukan dengan lebih berhati-hati. Setiap individu yang terpilih haruslah menepati kriteria bagi memastikan kecemerlangan dalam badan pentadbiran universiti.
“Adalah penting untuk calon-calon diberikan latihan oleh pakar tempatan dan industri sebelum menerima jawatan tersebut. Pemilihan harus adil, bukan pilih bulu.
“Ini kerana masih ada pemimpin universiti yang dipilih kerana bijak melobi. Pemilihan berpandukan hal ini boleh menjatuhkan prestasi IPTA, sekali gus merendahkan motivasi golongan berkaitan dalam pentadbiran,” kata Sahol Hamid kepada Utusan Malaysia.
Beliau kesal jika perkara sebegitu masih berlaku, ia boleh merencatkan pembangunan negara.
Kata beliau, pemimpin yang hebat mempunyai pengetahuan untuk memerintah dengan baik, cerdik membuat keputusan dan tidak mudah dipengaruhi pihak lain.
“Masih banyak institusi khususnya yang berkaitan pendidikan di negara ini tercicir kerana kurangnya kemahiran naib canselor. Pemilihan secara birokrasi merencatkan urusan pentadbiran yang sepatutnya lebih efisien,” ujarnya.
Hanya jauhari mengenal manikam. Jika individu yang terpilih mempunyai kredibiliti untuk memegang jawatan tinggi, tentu sekali mutu pengajian di institusi tersebut boleh meningkat.
Tegas Sahol Hamid, kepakaran tanpa sebarang birokrasi mendatangkan keuntungan terutama apabila pemimpin lebih rasional menetapkan baik buruk pentadbiran. Oleh itu, warga akademik diseru memberikan sokongan penuh kepada kementerian bagi memastikan kerjasama antara kedua-dua pihak terjalin dan mencapai persetujuan sepakat.
Dari perspektif lain, beliau berpendapat, tenaga pengajar di IPTA seharusnya tidak menggadai mandat yang diserahkan daripada pentadbiran universiti, ibu bapa dan pelajar.
“Ramai pensyarah yang memilih kerjaya ini terlalu selesa hingga bersikap sambil lewa dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar.
Beliau juga berpendapat, pengetahuan pensyarah dalam sesuatu bidang juga sering dipertikai dan mendapat kritikan daripada para pelajar kerana tidak mempunyai latar belakang daripada industri.
Kesemua dilihatnya berpunca daripada pensyarah yang tidak berinovasi dan kreatif, lantas menyebabkan lahirnya graduan yang membawa bentuk sama dari acuan berkenaan.
Walaupun jumlah pensyarah bersikap demikian tidak ramai tetapi mereka harus tahu bahawa perkara ini memberi impak yang besar kerana pensyarah adalah pemangkin utama dalam pembangunan universiti. – UTUSAN