Tiga rekod 100 meter MSSM lebur di Kangar

Tiga rekod 100 meter MSSM lebur di Kangar

AIMAN Ikhwan Yahya mencatat rekod 10.40 saat pada aksi akhir 100 meter lelaki bawah 18 tahun di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tiga rekod lama 100 meter (m) lebur dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, semalam.

Atlet Kedah, Aiman Ikhwan Yahya berjaya memecahkan rekod MSSM apabila mencatatkan masa 10.40 saat (s) pada aksi akhir 100 meter lelaki bawah 18 tahun.

Lebih manis, pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Tunku Anum itu memecahkan rekod lama 10.51s milik atlet muda kebangsaan, Danish Iftikhar Muhamamad Roslee yang dibuatnya tahun lalu.

Paling mencuri perhatian, pelari cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Wangsa Melawati, Irdina Madihah Mohamed Rafaie mencipta sensasi merangkul pingat emas sekali gus memecahkan rekod MSSM dalam acara 100m bawah 12 tahun perempuan di sini, semalam,

Irdina Madihah, 12, menamatkan larian dengan cacatan masa 12.97s dan lebih manis larian emas tersebut disaksikan sendiri oleh ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Atlet Wilayah Persekutuan itu turut sempat bertemu ratu pecut negara itu selepas pertandingan dan ia sekali gus menambahkan keterujaan kanak-kanak tersebut untuk mengekalkan status sebagai ratu pecut cilik MSSM serta sudah mula terbayang mengikut jejak langkah Zaidatul Husniah bersama skuad olahraga negara suatu hari nanti.

Katanya, dia berbangga dapat memecahkan rekod dan lebih bermakna ia dapat dilakukan di hadapan Zaidatul Husniah.

“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada guru-guru sekolah, jurulatih sebab melatih saya mencapai kejayaan ini. Semoga dapat berlatih dengan Zaidatul suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, bagi acara 100m wanita kategori sama, Izzatul Musfirah Ahmad turut memecahkan rekod apabila mencatatkan masa 11.84 saat untuk dinobatkan ratu pecut MSSM.

Atlet muda Terengganu itu memecahkan rekod kejohanan sebelum ini iaitu 12.02 dicatatkan Azreen Nabila turut berasal dari negeri sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN