‘Tidak betul kata kita langsung tidak bercakap soal rakyat’

‘Tidak betul kata kita langsung tidak bercakap soal rakyat’

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), nama MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM disebut-sebut sebagai antara pemimpin muda yang akan menerajui PKR di masa akan datang.

Beliau sendiri seorang yang bercita-cita tinggi apabila umum hasrat bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada 24 Mei ini. Kedudukannya dalam parti dikuatkan lagi dengan kemenangan dalam pemilihan peringkat cabang sebagai Ketua Cabang PKR Padang Rengas yang baharu.

Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN, HAFIZ SAIDINA dan dibantu jurufoto, FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Sebagai calon Ketua AMK, apa yang mahu dibawa dalam sayap pemuda dan parti secara keseluruhan?
MUHAMMAD KAMIL: Kita perlu pastikan dapat bina pasukan yang kukuh dan kuat untuk bersedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-16 (PRU16). Maknanya kita tidak punya banyak masa, kurang lebih dua tahun daripada sekarang.

Untuk menuju ke arah itu, kita kena persiapkan jentera dan juga anggota dengan kemahiran sewajarnya. Kefahaman mereka dan keupayaan untuk mengembeling tenaga, mengambil semula ataupun memperoleh lebih banyak sokongan, khususnya dalam kalangan anak muda dan juga golongan belia dalam negara. Jadi untuk lakukannya, parti harus jadi sebagai sebuah organisasi yang mantap.

Prestasi Adam Adli Abd. Halim sebagai Ketua AMK?
Beliau berjaya menyatukan kekuatan yang ada. Maksudnya kita tengok sekarang ini tidak ada lagi pertelingkahan ataupun pergaduhan yang teruk, boikot dan sebagainya seperti yang terjadi dalam kepimpinan-kepimpinan sebelum daripada ini. Ia sebenarnya satu pencapaian dan kejayaan yang cukup besar. Saya tengok ada yang kritik, kadang-kadang saya tengok (kritikan) melampau dilontarkan kepada Adam Adli tetapi beliau berjaya mengemudi AMK untuk bergerak dalam satu pasukan.

Adakah orang muda zaman ini benar-benar tidak minat politik?
Sebahagiannya tidak berminat dengan politik. Dia tidak ambil tahu. Bukan kerana mereka tidak ambil tahu hal politik, bukan benci dengan politik tetapi benci dengan segelintir sikap orang politik.

Jadi, kesedaran itu kena ada dan perlu pastikan anggota-anggota ada keupayaan untuk memberi kesedaran, daripada sudut latihan dan juga kaderisasi kerana kita bimbang jika yang baharu menyertai parti ini kerana terikut-ikut.

Mereka perlu sertai parti dengan kesedaran yang tinggi. Dengan fahaman dan dia tahu matlamat perjuangan parti. Jadi, ini adalah hal-hal yang perlu diberi penekanan. Selain itu, perlu menyiapkan barisan individu untuk ‘masuk’ ke dalam PRU. Jadi, hal-hal yang lain termasuk angkatan muda harus jadi jurubicara kepada rakyat dan bercakap tentang soal kemiskinan, peluang pekerjaan serta kebajikan anak muda. Itu harus lebih cakna.

Jadi, pemimpin muda itu dia harus main peranan. Kritik tentang permasalahan bukan hanya sekadar kritik tetapi kena turun padang dan bagi pandangan, solusi kepada permasalahan yang berlaku di lapangan.

Orang politik dalam kalangan orang muda tidak boleh diajar pegang jawatan untuk bermegah tetapi perlu menyelami realiti dan keadaan semasa di lapangan. Jadi, itu adalah sebahagian daripada fokus yang saya akan lakukan dan seterusnya memantapkan kaderisasi.

Ia macam kereta, luar cantik tetapi dalam timing belt (tali sawat pemasaan) rosak teruk, petrol tidak ada, bateri kaput tidak jalan. Luar sahaja cantik buat apa? Paling penting, ia harus bermula dengan kesedaran anggota-anggota itu sendiri. Jadi kalau itu dimengerti, mudahlah kita uruskan.

PKR dilihat terlalu menyebelahi kerajaan dan kurang menonjol sebagai suara rakyat?
Ada kritikan kita terima sebahagiannya. Sebab itu akhirnya presiden buat keputusan untuk panggil pemilihan parti diadakan. Bukan presiden buat keputusan tetapi parti buat keputusan untuk adakan pemilihan walaupun ada beberapa pandangan yang menyebut boleh tangguhkan pemilihan ini kerana kita dalam kerajaan.

Jadi yang kita harus fokus adalah tumpu kepada tugas kerajaan dan tidak perlu sibuk kelahi atau runsing tentang soal pemilihan. Tetapi sebagai sebuah parti yang demokratik, PKR itu dibina sebagai parti yang terbuka. Jadi, kita ambil keputusan untuk adakan pemilihan.

Salah satu hikmah daripada pemilihan ini ialah dapat menggerakkan anggota-anggota bawah. Baru ahli sedar mereka tidak lagi dibuai dengan kedudukan jawatan, terus bersenang-lenang sehingga melupakan dan meninggalkan tugas serta tanggungjawab untuk menjadi jurubicara tentang soal rakyat.

Ini sebenarnya terkait juga dengan soal kefahaman terhadap perjuangan parti. Jadi, kalau kata secara keseluruhannya, tidak betul kalau kata kita tidak bercakap soal rakyat. Itu tidak betul.

Saya pun berapa banyak kali juga mengkritik dalam beberapa hal, meskipun hal-hal tersebut bertentangan dengan kerajaan. Ini adalah beberapa hal yang sebenarnya kita perlu perbaiki dan persiapkan anggota supaya tidak leka dan terpukau dengan jawatan.

Adakah apa yang dilakukan kerajaan sepanjang tempoh lebih dua tahun pentadbiran sudah memadai atau masih perlu penambahbaikan?
Kalau pun ada satu kelemahan yang boleh perbaiki lagi sekarang ini ialah tentang soal penerangan. Sebenarnya banyak inisiatif yang dilakukan kerajaan.

Kita ada unit pantau Madani. Ia memantau pelaksanaan dasar dan juga inisiatif kerajaan. Kita ada pasukan, pihak parti ada penerangan dan sebagainya. Sebenarnya ini perlu dipertingkatkan ke tahap terbaik. Saya masih lagi percaya sebenarnya kalau rakyat itu betul-betul faham dan diterangkan dengan jelas, mereka tahu apa yang sebenarnya sedang dilakukan kerajaan.

Tetapi kita juga berhadapan dengan cabaran tentang soal sentimen kaum, agama dan sebagainya. Begitu juga masalah sindrom minda tertawan, yang mana lebih suka kepada hal-hal yang bersifat sensasi.

Di situlah masalah yang ada, cabaran kita mendepani ke hadapan ini untuk perkukuh. Masuk dalam PRU dan menang itu tidak hanya sekadar memenangi hati rakyat melalui inisiatif-inisiatif kerajaan.

Politik ini juga merupakan satu medium pendidikan, yang mana orang politik perlu gunakan kesempatan, ruang serta platform itu sendiri untuk memberi pendidikan supaya rakyat celik selain tahu untuk beza di antara yang baik dan buruk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya