Saifuddin sahkan perbincangan dengan Kedah Darul Aman FC

Saifuddin sahkan perbincangan dengan Kedah Darul Aman FC

Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra dengan pemain-pemain Kedah Darul Aman FC semasa menyampaikan sumbangan Tabung Aidilfitri di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah memaklumkan terdapat perbincangan dilakukan pihaknya dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC berhubung hala tuju pasukan bola sepak itu.

Saifuddin berkata, pertemuan beliau bersama pemilik KDA, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang diadakan sebelum ini didorong oleh minatnya terhadap sukan bola sepak dan pasukan negeri Kedah.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bentuk perbincangan itu namun memaklumkan perundingan tersebut masih terbuka.

“Saya tidak sebut tentang pemilikan, saya boleh sahkan bahawa saya memang telah pun menjalankan perundingan bersama Tan Sri Daud untuk mengetahui tentang kedudukan pasukan KDA FC,” katanya selepas Majlis Serahan Sumbangan Tabung Aidilfitri kepada pemain dan pegawai KDA FC, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin memaklumkan satu perkara besar akan diumumkan selepas ini melibatkan pasukan bola sepak KDA.

Katanya, beliau perlu mengikuti perkara berkaitan dengan teliti sekiranya berhasrat atau mahu mengumumkan apa-apa langkah ke depan melibatkan pasukan bola sepak itu.

“Saya tidak mahu buat apa-apa kesimpulan lagi kerana perlu tahu kedudukan kita di mana. Daripada segi pemilikkan pasukan, kita tahu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan juga Tan Sri Daud telah menubuhkan KDA FC dengan sekian-sekian pegangan saham.

“Kita juga tahu bila keadaan pasukan sedang bergelut sebegini maka wakil daripada KFA seperti Khamal (Idris Ali) dan Radhi (Mat Din) yang berundur dan pegangan saham mereka diambil alih oleh Tan Seri Daud. Tapi Ketua Pegawai Eksekutif KFA masih lagi kekal dalam kelab,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau memahami detik sukar dilalui Mohd. Daud yang menguruskan pasukan KDA FC ketika ini dengan mengambil inisiatif menggerakkan kutipan tabung itu bersama beberapa pihak di Kedah.

“Kita telah berjaya mengumpul RM200,000 setakat tengah hari semalam, saya rasa bersyukur inisiatif yang dimulakan secara kecil-kecilan ini dapat membantu melegakan mereka, bayangkan tinggal lagi seminggu persiapan raya tak menentu akibat daripada tidak dapat gaji bulanan yang agak lama,” katanya.

KDA FC berdepan kemelut kewangan yang meruncing sehingga pemain dan pegawai pasukan itu menghadapi tunggakan gaji hampir setahun dan kini berada di tangga ke-11 Liga Super. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya