Izzah bina otot tambah ‘sengatan’ kayuhan  

Izzah bina otot tambah ‘sengatan’ kayuhan  

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mempamerkan persembahan cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025 di Nilai, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus membuktikan kehebatannya di pentas Asia, namun fokus kini terarah kepada pembangunan otot bagi menambah kekuatan menuju Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.  

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata, peningkatan jisim otot akan memberi kelebihan buat Izzah dalam kayuhan, memandangkan kepantasan bukan lagi masalah utama buat pelumba berusia 22 tahun itu.  

“Apa yang kita akan buat selepas ini adalah memberikan tumpuan terhadap pembinaan otot, terutama selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kerana ia memerlukan rehat yang mencukupi antara lapan hingga 10 jam sehari,” kata Harnizam.  

Terdahulu, Izzah mencipta sensasi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai minggu lalu dengan merangkul dua emas, satu perak dan satu gangsa, termasuk menewaskan juara dunia dari Jepun, Mina Sato dalam acara keirin.  

Lebih membanggakan, dia turut mencipta rekod baharu Asia dengan catatan 1:06.229 saat (s) dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa, sekali gus membuktikan potensi luar biasanya dalam perlumbaan pecut.  

Namun, Harnizam menegaskan, fokus utama skuad kebangsaan adalah mempersiapkan Izzah untuk Olimpik dalam acara keirin, memandangkan 1km ujian masa tidak dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu.  

“Dari segi pecutan, memang dia sudah sempurna tetapi saiz badannya masih kecil, jadi kita perlu tambah otot supaya dia lebih bertenaga untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya lagi.  

Dengan baki tiga tahun sebelum LA 2028, pasukan kejurulatihan yakin program pembangunan otot yang dirangka akan membantu Izzah menjadi lebih dominan dan bersedia untuk mencabar kejuaraan di pentas Olimpik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN