Berita baik buat Harimau Malaya

Berita baik buat Harimau Malaya

Bergson Da Silva merupakan penyerang prolifik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT). - UTUSAN?RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga pemain naturalisasi difahamkan telah ‘lulus’ dalam mendapat status warganegara dan mereka  boleh mewakili skuad Harimau Malaya bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Pemain berkenaan adalah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, Manuel Hidalgo (JDT) dan Jordan Mintah (Kuching City).

Menurut sumber dipercayai, semua proses naturalisasi melibatkan ketiga-tiga pemain itu telah dilakukan oleh kelab masing-masing dan segala proses berkenaan telah selesai.

“Pemain naturalisasi, sekarang ada tiga yang terbaharu iaitu Bergson, Hidalgo dan juga Mintah. Kesemua mereka telah memenuhi syarat untuk menjadi pemain naturalisasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa Bergson bersama tonggak Sri Pahang, Hidalgo antara calon naturalisasi Malaysia selepas beraksi lima tahun di Malaysia.

Berita berkenaan sekali gus memberi khabar gembira buat kem Harimau Malaya terutama pengendali baharunya, Peter Cklamovski dalam membentuk jentera serangan ampuh di Kelayakan Piala Asia 2027.

Kehadiran Bergson yang telah meledak 23 gol setakat ini di Liga Malaysia serta Mintah dilihat mampu menajamkan jentera serangan Harimau Malaya manakala Hidalgo pula dilihat mampu memperkuatkan jentera tengah Harimau Malaya.

Selain itu, empat pemain warisan yang diwar-warkan sebelum ini juga mampu memperkuatkan Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan kelayakan berdepan Nepal pada 25 Mac ini.

Untuk rekod, FAM tidak lagi meneruskan program naturalisasi namun kelab-kelab masih diberi kebebasan untuk menjalankan program terbabit dengan syarat pemain import itu harus beraksi secara tetap di saingan domestik selama lima tahun berturut-turut.

Berdasarkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), rehat antarabangsa bermula 17 Mac ini dan jika tarikh itu dijadikan panggilan kem latihan bermakna skuad Harimau Malaya tidak mempunyai masa yang lama untuk melakukan persiapan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN