PETALING JAYA: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya apabila gagal menterjemahkan kejayaan dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini.
Tang Jie yang bergandingan dengan Toh Ee Wei berkata, dia merasakan mereka memiliki peluang untuk sekurang-kurangnya menamatkan podium dalam kejohanan yang disertai tetapi langkah mereka terhenti di peringkat suku dan separuh akhir.
Berdasarkan pencapaian terakhir gandingan tersebut pada musim ini mereka layak ke separuh akhir di Terbuka Malaysia dan Terbuka India sebelum terpaksa berpuas hati di suku akhir dekat Indonesia Masters.
“Tak puas hati lagi sebab semua pertandingan ada peluang untuk melangkah lebih jauh dan ada peluang yang boleh dapat kejuaraan atau sekurang-kurangnya naik podium.
“Namun, langkah kami selalu terhenti di suku atau separuh akhir. Di kejohanan terakhir (Indonesia Masters) saya rasa sudah bermain dengan bagus tetapi pada akhirnya kalah lagi.
“Kami memulakan permainan dengan sangat bagus tetapi kalah juga jadi saya rasa tidak berpuas hati,” katanya yang kini menduduki tangga keempat dunia berdasarkan ranking dunia terbaharu BWF.
Kali terakhir gandingan tersebut memenangi kejohanan dalam Jelajah Dunia BWF di Terbuka Korea pada September lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu turut berkata dia terbuka malah bersedia untuk menerima sebarang kritikan yang diberikan oleh penyokong di laman sosial selagi tidak menyentuh peribadinya.
“Kalau cakap tak (baca komen) langsung memang saya tipu. Mungkin peminat meletakkan jangkaan untuk kami menang sebab kita mempunyai kemampuan.
“Namun, saya menghargainya sebab mereka sudah meluangkan masa untuk menonton saya beraksi dan saya pun tak nak kalah juga. Saya tak boleh janji saya boleh menang tetapi saya janji untuk berikan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN