PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi pertama Kumpulan F bertemu Nepal pada 25 Mac ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul selepas menerima permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan perlawanan di stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Katanya, AFC tidak mempunyai halangan kerana Stadium Sultan Ibrahim telah memperolehi kelulusan sebagai venue rasmi bagi saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) musim ini.
“Pilihan mana nak main itu tertakluk kepada FAM, jadi FAM telah pilih Johor dan kita tiada masalah dengan stadium Johor (Stadium Sultan Ibrahim) kerana di sana ada semua kelengkapan yang diperlukan untuk pertandingan ini,”katanya.
Berdasarkan laman web rasmi AFC, Malaysia terlebih dahulu akan menentang Nepal di tempat sendiri sebelum bermain di gelanggang lawan pada November depan.
Terdahulu, Windsor berkata, perlawanan antara Nepal dan Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Nepal, akan diadakan di Malaysia, namun lokasi spesifiknya belum diumumkan.
Venue perlawanan asal, katanya, terpaksa diubah kerana Stadium Dasharath sedang dalam proses penambahbaikan.
Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia yang di bawah kendalian Peter Cklamovski diundi bersama Vietnam, Nepal dan Laos.
Hanya juara kumpulan layak ke Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Arab Saudi.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri menyifatkan pemilihan perlawanan itu berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim adalah tepat kerana revolusi Harimau Malaya juga dicetus oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Saya lebih tertarik memilih SSI sebenarnya kerana kita sedia maklum bahawa antara pengurusan baharu pasukan negara datangnya dari idea Tunku Ismail.
“Ia memberi gambaran mengenai persediaan ini serius dan penting. SSI juga antara stadium terbaik yang ada di Asia Tenggara, jadi tidak salah jika skuad negara bermain di sana,” katanya.
Tambah Asmawi, skuad negara perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri sebaik mungkin dengan meraih tiga mata dan mencari jumlah jaringan sebanyak mungkin bagi mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2027.
“Kita perlu guna kelebihan bermain di tempat sendiri sebaik mungkin kerana mata dan jumlah jaringan penting untuk memastikan Malaysia layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut,” kata Asmawi. – UTUSAN