SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah memulakan persiapan awal menghadapi saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga M) dengan cuba memikat beberapa pemain kebangsaan menyertai pasukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata, pihaknya juga memburu pemain-pemain muda bagi turut membarisi skuad Liga Super dan bawah 23 tahun.
“Apa yang boleh dikongsikan akan ada polisi daripada segi pengambilan pemain import dan pemain muda di samping skuad dibarisi pemain kebangsaan.
“Setakat hari ini lima pemain bawah 20 tahun sudah ditandatangani bagi beraksi untuk pasukan Liga Super dan bawah 23 tahun.
“Selain itu, ada beberapa pemain lagi dikekalkan, disamping pencarian pemain muda dan daripada jumlah tersebut kami akan isikan lagi barisan pemain senior agar skuad lebih seimbang,” katanya.
Sementara itu, katanya, status pemain import musim ini juga masih lagi dinilai Jawatankuasa Teknikal NSFC bagaimanapun mengesahkan kontrak pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki telah diperbaharui untuk semusim lagi.
“Takumi Sasaki telah menandatangani satu lagi musim dan pemain import lain masih dinilai bergantung kepada barisan kejurulatihan dan jawatankuasa teknikal akan datang dan tidak semua keputusan dibuat pihak pengurusan,” katanya.
Di samping itu, katanya, pihaknya turut bersetuju menghantar seorang pemain muda iaitu Adam Harris Nazaruddin bagi menjalani latihan selama sebulan di Sepanyol pada Mei ini.
“Adam yang berusia 20 tahun adalah pemain pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan namun dia turut beraksi dengan pemain senior,” katanya.
Ketika ini skuad Hobin Jang Hobin berada di kedudukan kedua terbawah Liga Super dengan mengumpul sembilan mata, hasil dua kemenangan dan tiga seri daripada 17 perlawanan. – UTUSAN