PROVIDENT Banc Berhad (PBB), komited sedia penyelesaian kewangan bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Visi dan misi syarikat menyokong pembangunan rakyat sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
Syarikat yang dilesenkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menjalankan operasi berlandaskan undang-undang. Fokus utama syarikat adalah bagi membantu sektor koperasi, penjawat awam serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengarah Urusan PBB, RAVIN RAGHU WARREN bagi mendapatkan pandangannya. Turut membantu
jurufoto, M. FIRDAUS JOHARI.
MAHU BEKERJASAMA PERTINGKAT SEKTOR KOPERASI
Penyelesaian kewangan di negara kita agak terhad kepada bank atau pihak ketiga. Maka disebabkan itu, kita mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian tersebut melalui perkhidmatan kepada semua masyarakat secara menyeluruh dengan bertindak sebagai pembiayaan kredit.
Dan apabila memperkatakan tentang pembiayaan kredit sudah semestinya ramai yang fikirkan kami tidak mempunyai struktur dan hanya tangkap muat demi keuntungan semata-mata. Itu silap.
Hasrat kami adalah memberi bantuan kewangan kepada sektor perindustrian kecil dan sederhana (PKS), pembiayaan sewa beli dan komersial selain membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kami tidak mahu terlalu tertumpu kepada syarikat swasta semata-mata sebaliknya ingin memperluaskan perkhidmatan kepada sektor kerajaan.
Sebabnya mudah. Kita mahu membantu mereka yang memerlukan dan kita tahu tidak mudah untuk memohon bantuan kewangan daripada mana-mana institusi perbankan. Kalau ada pun seperti koperasi.
Namun begitu mereka (koperasi) tiada ekosistem dan infrastruktur untuk penjawat awam. Bukan itu sahaja, kita sedar penjawat awam ini bukan semuanya memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
Jadi bagaimana mereka boleh membantu rakyat dalam aspek kewangan terutama untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan.
MENINGKATKAN AKSES KEWANGAN UNTUK SEMUA
Bagi syarikat seperti PBB, fintech membuka ruang untuk menyediakan perkhidmatan pembiayaan yang lebih mudah diakses, cepat dan selamat. Dengan memanfaatkan teknologi ini, kita dapat memenuhi keperluan pelbagai pihak termasuk penjawat awam, sektor koperasi dan usahawan kecil. Salah satu inovasi yang diterapkan oleh PBB adalah sistem permohonan pembiayaan secara digital.
Pengguna boleh memohon pembiayaan melalui aplikasi mudah alih atau laman web tanpa perlu hadir secara fizikal. Ini menjimatkan masa, meningkatkan pengalaman pengguna dan memperluaskan capaian kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar.
Kita juga dalam masa yang sama mahu memperkenalkan perkhidmatan Ar-Rahnu iaitu sistem pajakan gadai Islam.
UBAH PERSEPSI NEGATIF
Di tengah-tengah cabaran persepsi negatif terhadap syarikat pembiayaan kredit, PBB boleh menjadi pemacu perubahan melalui teknologi, kita memastikan ketelusan dalam
semua urusan kewangan, menjadikan PBB lebih dipercayai masyarakat.
KADAR FAEDAH MESRA RAKYAT
Kami mahu membantu anggota koperasi dan kakitangan kerajaan. Kami menawarkan kadar (faedah) kompetitif iaitu dengan hanya satu angka sahaja, antara tujuh ke sembilan peratus meskipun di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kami boleh mengenakan faedah sehingga mencecah 18 peratus. Untuk pengetahuan semua, kami merupakan syarikat kewangan yang dikawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta terlibat dalam perniagaan sejak tahun 1991.
SELANGKAH KE HADAPAN
Dengan matlamat untuk memacu agenda Malaysia Madani, gabungan fintech dan pembiayaan kredit seperti yang ditawarkan PBB adalah langkah penting. Ia bukan sahaja mempertingkatkan akses kewangan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Dalam era digital ini, PBB bukan sekadar pesaing bank, tetapi pelengkap kepada sistem kewangan sedia ada.
Dengan pematuhan undangundang, kami terus berusaha menjadi penyedia solusi kewangan yang dipercayai dan mesra masyarakat.
SASARAN 2025
Kami berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam pembiayaan kredit dengan semua koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang merangkumi kira-kira 655 koperasi kredit.
Melalui inisiatif ini juga melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan matlamat utama memperkukuh sektor koperasi selaras dengan agenda Malaysia Madani.
Perkhidmatan baharu yang bakal diperkenalkan oleh PBB pada 2025 direka khas untuk memenuhi keperluan kewangan penjawat awam di Malaysia. PBB berpandukan misi untuk “Memajukan Rakyat dengan Solusi Kewangan Inovatif Patuh Syariah.-UTUSAN










