PETALING JAYA: Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli tidak menolak terdapat dua faktor yang dilihatnya menjadi punca kegagalan skuad remaja negara untuk beraksi di kejohanan tertinggi.
Pekan berkata, terdapat kemungkinan jurulatih yang membimbing pemain di peringkat pembangunan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam kejurulatihan yang mencukupi.
“Adakah kegagalan dua skuad remaja negara berpunca daripada aspek kejurulatihan? Perlu semak semua jurulatih di AMD (Akademi Mokhtar Dahari) sama ada mereka tangkap muat atau tidak.
“Ada kemungkinan (tangkap muat) sebab jurulatih di sini tiada nama. Sepatutnya tempatkan jurulatih terbaik di sana namun tidak dinafikan ada kemungkinan faktor kewangan menjadi punca. Biasanya jurulatih yang ada lesen kejurulatihan Pro A perlu dibayar mahal.
“Atau kegagalan itu hadir daripada pemain kita sendiri apabila kepintaran mereka tidak dibangunkan sebaliknya hanya fokus pada corak permainan sahaja. Kalau main bagus tetapi tidak menggunakan kebijaksanaan di atas padang satu kerugian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pekan diminta mengulas mengenai skuad B-17 negara di bawah kendalian Javier Jorda Ribera gagal melayakkan ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025 di Laos manakala pasukan B-19 yang dibimbing Juan Torres Garrido pula gagal menempah slot beraksi di Piala Asia B-20 2025 di China.
Dalam pada itu, Pekan turut berkata menjadi satu persoalan apabila negara yang mempunyai akademi di peringkat pembangunan gagal menyinar beraksi di peringkat tertinggi.
“Apabila ada akademi sepatutnya kita menjadi lebih hebat berbanding negara yang tiada tapi sekarang kita seperti tiada akademi langsung. Mungkin struktur sudah betul tapi pelaksanaannya gagal,” katanya. – UTUSAN