Harimau Malaya mesti pamer KPI - Hannah   

Harimau Malaya mesti pamer KPI – Hannah   

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan peruntukan RM15 juta yang disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu digunakan untuk pembangunan bola sepak negara.

Hannah berkata, peruntukan tersebut akan dipantau Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan bagi memastikan ia disalurkan kepada pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) tahun dan B-13.

Katanya lagi RM15 juta itu bukan dana tambahan sebaliknya peruntukan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lalu.

“RM15 juta itu adalah peruntukan khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk memperkasakan Harimau Malaya. Kami telah berjumpa kali pertama dan Perdana Menteri sudah menyatakan hasrat beliau serta menyatakan KPI (petunjuk prestasi utama) yang beliau mahukan.

“Jadi, kita sedang menunggu FAM untuk berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk lihat bagaimana kita akan membelanjakan RM15 juta ini.

“RM15 juta ini akan dipantau oleh dua kementerian jadi duit ini bukan FAM boleh belanja sesuka hati kerana secara khususnya duit ini bukan untuk pembayaran gaji persatuan tetapi khas untuk pasukan, jurulatih bagi meningkatkan prestasi pasukan.

“Jadi, dana RM15 juta bukan untuk pentadbiran FAM. Jangan bimbang, dana ini hanya untuk memperkasakan pasukan Harimau Malaya dan junior,” katanya.

Hannah ditemui pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-19 sekali gus menyampaikan sijil kepada 4,320 graduan di sini semalam.

Terdahulu, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta diberikan bagi memperkasakan pembangunan sukan negara.

Harimau Malaya bakal mengharungi kempen Piala Piala AFF 2024, dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini serta pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun hadapan.

Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Harimau Malaya kini berada di kedudukan ke-132. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN