MUKADIMAH
TIDAK kira ‘ditembak’ dengan pelbagai sentimen ‘ngeri’ sehingga UMNO jatuh dengan begitu teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, namun parti keramat Melayu itu tidak mengalah sebaliknya terus bangun walaupun hanya bersandar pada sedikit kuasa setelah menyertai Kerajaan Perpaduan pada 2022.
Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN berkata, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menyertai Kerajaan Perpaduan, maka sehingga ketika ini, parti itu tidak keterlihatan dalam dinamika politik negara.
Ikuti temu bual beliau yang juga Menteri Pertahanan bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto SHIDDIQIN ZON, baru-baru ini dalam mengupas isu yang membelenggu UMNO selain usahanya dalam menambah baik pertahanan negara.
KEADAAN SEMASA UMNO
Di sini ada dua aliran pemikiran, satu yang mahu UMNO supaya tidak teruskan dalam Kerajaan Perpaduan kerana tidak membawa kebaikan kepada parti manakala satu lagi merasakan perlu untuk UMNO berada dalam kerajaan supaya dapat memastikan kestabilan dan pembangunan dapat diteruskan.
Mereka yang beraliran supaya UMNO/BN (Barisan Nasional) kekal dalam kerajaan mahu parti terus kuat dan memainkan peranan yang besar, supaya boleh pastikan soal Melayu dan Islam terus terpelihara. Keberadaan itu adalah dengan kekuatan dalam kerajaan. Maksudnya, masyarakat masih sayang, masih lagi meletakkan harapan bahawa parti ini masih lagi mengamalkan kesederhanaan.
KEMATANGAN PARTI
Insya-Allah kemenangan di Nenggiri akan memberi semangat yang diperbaharui bahawa UMNO masih mendapat tempat, relevan dan masih ramai meletakkan harapan. Maka dengan semangat itu di bawa ke DUN (Dewan Undangan Negeri) Mahkota. Kita pastikan UMNO mencapai perpaduan dan kesepaduan yang sangat tinggi serta kukuh untuk menempuh cabaran supaya keputusan berpihak kepada UMNO/BN.
Kita mahu pastikan UMNO dan BN sebagai sebuah parti yang mengamalkan kesederhanaan dan mendapat sokongan semua kaum yang merupakan pengundi di sana dan bagaimana membawa kerjasama supaya menjadi panduan bila berdepan dengan cabaran mendatang.
Saya percaya hal-hal yang bersangkut dengan masalah rakyat, kerajaan negeri yang ada wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan akan selesaikan. Inilah yang membezakan kematangan parti.
BOIKOT DALAMAN PARTI
Saya percaya itu bukannya satu perkara yang tidak boleh ditangani kerana di peringkat kebangsaan, hubungan UMNO dengan mereka (PH) sangatlah baik dan saya percaya kita boleh memanfaatkan sokongan yang baik itu untuk mengatasi perkara berkenaan. Fokus kita adalah untuk meningkatkan sokongan pengundi kepada UMNO dan BN, bukan bermakna untuk berebut kerusi.
Satu lagi soal disiplin dalam parti, bila parti sudah buat keputusan, saya percaya PH juga sudah buat keputusan, di sinilah kita mengukur disiplin setiap parti.
SANGGUP BAHAGI KERUSI DI JOHOR
Bila bercakap soal pembahagian kerusi dan sebagainya, itu merupakan perkara di bawah pertimbangan pucuk pimpinan tertinggi kerana ia melibatkan soal rundingan dan formula.
Kita akan tengok, mesti ada pertimbangan. Di peringkat negeri kita dominan tetapi di Parlimen PH dominan. Kalau mahu ubah, dua-dua perlu ubah.
UMNO TERUS RELEVAN
Yang penting kita tahu hala tuju dan apa yang kita buat. Bila UMNO kalah, kita dalam kerajaan perlu bangun dan kukuhkan parti. Kebangkitannya bergantung sejauh mana kita dapat pulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO melalui pelbagai ruang dan pendekatan.
Pertama, PRK, apabila berjumpa rakyat. Kedua, menteri-menteri UMNO yang berjawatan, kerja-kerja mereka mesti dibuat sehingga masyarakat percaya dan yakin kepada UMNO.
Ketiga, melalui UMNO bahagian yang perlu terus santuni masyarakat sebab sejak tertubuhnya parti, semua faham tujuan kita dalam Kerajaan Perpaduan, kerana kasih dan sayang kepada UMNO, kemudian kita ingin beri khidmat, maka sebab itu UMNO dikenali sebagai parti kebaikan kepada bangsa dan sebagai sebuah parti pencerahan.
Bila rakyat ada masalah, UMNO memberi pencerahan, bila orang Melayu miskin, UMNO perkenalkan Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan). Bila orang Melayu ingin menikmati kemajuan ekonomi, UMNO tubuhkan PNB (Permodalan Nasional Berhad). Bila orang Melayu perlu menyimpan untuk naik haji, UMNO tubuhkan Tabung Haji, di sinilah ketua bahagian perlu memainkan peranan.
Dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah tempat sewajarnya digunakan untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu, maka di sinilah ucapan-ucapan, perbahasan-perbahasan, bercakap dan berbicara mengenai hala tuju parti, soal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, soal hormat kepada kaum-kaum lain, soal kekalkan kesederhanaan dan soal bersolidariti dengan Palestin.
Jadi, di sinilah saya percaya perwakilan terutama jurucakap akan gunakan peluang sebaiknya untuk mengutarakan pandangan, pencerahan kepada segala isu dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
KEYAKINAN ORANG MELAYU
Kita perlu terus mendekati masyarakat, kita tidak akan sesekali meninggalkan asas perjuangan iaitu membela dan mempertahankan hak bumiputera walaupun berada dalam kerajaan sejak 2022. Tidak seperti PH pada 2018, ketika itu berdepan dengan isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), kedudukan TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) dipertikaikan, soal penjawat awam dikecilkan dan sebagainya tetapi UMNO dalam kerajaan, kita dapat lihat gaji kakitangan awam dinaikkan, soal menjayakan Kongres Ekonomi Bumiputra dan kita lancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputra.
Ini adalah perhimpunan parti terbesar orang Melayu dan ia bukan hanya perhimpunan biasa, perhimpunan asal ada, tetapi ini perhimpunan yang memberi makna kepada orang Melayu dan saya berdoa ini yang akan terjadi dalam perhimpunan ini.
ORANG MELAYU MASIH TIDAK SELESA DENGAN KERAJAAN PERPADUAN
Kalau bercakap soal politik, kita sentiasa ada musuh, mana ada musuh yang ingin doa baik-baik untuk kita. Perkara-perkara yang boleh membawa suntikan kekuatan kepada UMNO tentunya tidak disukai.
Saya telah tekankan UMNO dalam proses menerima ‘rawatan’ dan dalam memulihkan parti, tidak boleh dinafikan keberadaan UMNO dalam kerajaan dan kuasa yang ada itu boleh membantunya dalam proses ini, kerana ia akan membuat keterlihatan pemimpin UMNO dan menyebabkan kepimpinan parti mampu membawa agenda orang Melayu, malah kepimpinan itu tentunya boleh membantu selesaikan isu dan cabaran yang dihadapi golongan ini.
Tetapi, kalau UMNO di luar kerajaan, tanpa kuasa, kita berhujahlah setinggi suara pun, tiada siapa pun pandang. Dalam proses pemulihan, kita perlu terima hakikat, sedikit kuasa itu boleh membantu.
PILIH KASIH DALAM UMNO
Saya bukan baik dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya baik dengan presiden. Saya menyokong siapa pun presiden. Presiden dipilih oleh ahli parti dan saya menghormatinya, itu sahaja. Sudah tentulah saya diperlukan untuk memastikan ada keharmonian dan melalui keharmonian itu akan ada kekuatan.
SETIAP SAYAP ADA MATLAMAT SENDIRI
Mereka wujud untuk matlamat-matlamat tertentu. Kita tidak boleh ukur berdasarkan ukuran kerana mereka itu berbeza-beza. Pemuda yang bawah 40 tahun tentunya tidak sama dengan Wanita yang berjuang sehingga berumur 50, 60 tahun atau lebih.
Kita tahu kesetiaan Wanita dengan UMNO luar biasa manakala Pemuda dalam melontarkan pandangan nampak seperti bebas tetapi sifat mereka sedemikian rupa. Semua mereka berada tahap sangat baik dan memuaskan.
Saya doakan mereka akan dapat terus memainkan peranan berdasarkan kepada keunikan masing-masing dan berpandukan juga kepada sejarah serta pengalaman yang dilalui.
KEMBALI KEPADA UMNO
Dulu orang kata, UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO. Berdasarkan semangat itu dan syarat masuk dengan ikhlas, tidak meletakkan apa-apa harapan, niat untuk kukuhkan kedudukan UMNO, tidak cuba untuk main peranan mencatur dan sebagainya, saya percaya bersandarkan kepada semangat itu, ia boleh dipertimbangkan.
DOMINAN DALAM MASA DUA TAHUN
Kita perlu banyak buat program-program penerangan, mendekati masyarakat dan sebagainya. Di segenap peringkat perlu memainkan peranannya dan dengan usaha-usaha yang sedang dilakukan bersama Kerajaan Perpaduan. Jika sebagaimana yang dirancang, saya pasti masyarakat akan berlaku adil untuk menilai.
Tetapi kalau rakyat buat keputusan berdasarkan sentimen, maka apa sahaja kebaikan yang dibuat, dia tidak mensyukuri nikmat, taksub dan sebagainya, maka amat malang nasib negara kita.
***Main sentimen kerana bankrap idea***
SENTIMEN MEROSAKKAN NEGARA
Mana boleh sesebuah negara mengambil keputusan berdasarkan sentimen yang akhirnya memberi kesan kepada negara.
Malanglah negara ini, benda yang baik pun oleh kerana sentimen lebih kuat, maka (yang baik) ditolak.
Sentimen ini macam jual ubat di tepi jalan. Bila jadi kerajaan, ia juga akan sederhana. Pas pun pernah jadi kerajaan, mana ada dia tutup kilang arak, kenapa tidak runtuhkan patung buddha sebesar-besarnya di Kelantan? Kerana dia tahu bila jadi kerajaan, perlu sederhana, dia tahu ada kaum lain untuk memajukan negeri.
Sebab itulah, rakyat mesti ada ilmu, mesti mampu berfikir, tidak taksub, menentang apa-apa usaha yang cuma mentaksubkan, mengongkong pemikiran, tidak beri kebebasan berfikir. Kata kita negara merdeka, merdeka dalam erti yang sebenar, bukan hanya mengibarkan bendera.
Sesebuah parti yang terpaksa menggunakan sentimen untuk menarik sokongan rakyat adalah parti yang bankrap dengan idea, tidak tahu bagaimana nak membangunkan negara. Balik-balik cakap benda yang sama, diasak sehingga orang ingat menjadi kenyataan.
Sebab itu, negara ini perlu pastikan ini semua tidak berlaku dan berleluasa. Kalau tidak, negara kita rosak.
Sebab itu akhir-akhir ini kita sebut tentang 3R (agama, bangsa dan raja). Semua parti sudah menjadi kerajaan, sekurang-kurangnya semua parti tahu BN buat sesuatu itu bukan suka-suka. Bukan untuk pastikan BN kekal berkuasa tetapi ia sangat perlu untuk memandu dan menguruskan Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.
UMNO sebuah parti yang bergerak berlandaskan kerajaan. Sebagai sebuah persekutuan, kita perlu parti yang akan memperjuangkam hal-hal kebangsaan. Kita mahu memastikan kelangsungan negara dan mencapai matlamat untuk kelangsungan negara seperti perpaduan, kebersamaan dan sebagainya. Atas sebab inilah, kita berharap semua perwakilan dari semua negeri sentiasa mengambil kira apa-apa yang hendak dilontarkan dengan mengambil kira soal peranan UMNO, bukannya hanya membawa kebaikan kepada bahagian-bahagian.
Perlu berfikir (kerana) perjuangan UMNO lah yang kita masukkan dalam Perlembagaan, kalau parti seperti UMNO yang bawa hal-hal kebangsaaan ini sudah tiada, siapa mahu jaga semua ini?
***Jangan anggap aset pertahanan tidak penting***
ASET LAPUK
Pertama, saya amat gembira apabila perdana menteri sendiri memahami keperluan mewujudkan keamanan. Ia memerlukan kos yang tinggi. Pendirian itu sangat bermakna kerana menunjukkan pengukuhan kerajaan bahawa memang perlu secara berterusan untuk kita memperoleh aset-aset bagi negara.
Ada ramai yang berfikir seolah-olah kerana negara ini aman, maka tidak perlu berbelanja tetapi mereka tidak tahu bahawa dalam aman ini, kita perlu jaga pertahanan negara dan pastikan negara kita ini berdaulat. Itu memerlukan kita mempunyai aset, (sentiasa) dalam keadaan bersiap sedia dan dalam keadaan tidak terlalu jurang antara negara-negara di sekeliling kita, supaya kita dihormati.
Dulu-dulu ada yang berpendapat tidak perlu. Itu (aset) sangat-sangat bermakna bagi kementerian dan sebab itu dapat lihat bahawa kita sedang lakukan perolehan.
Kedua kita memahami hakikat bahawa kemajuan negara perlu diimbangi untuk memastikan kemajuan berlaku bukan sahaja dalam sektor pertahanan tetapi dalam sudut lain. Atas sebab itulah, kita tidak boleh dapat semua benda yang kita mahu tetapi perlu ada perancangan.
Untuk kementerian, kita telah usahakan untuk ketiga-tiga perkhidmatan. Pertama Angkatan Tentera Darat (TDM), kita membangunkan Angkatan masa hadapan.
Untuk keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kita telah ada 15 to 5. Kita ada 15 pelbagai jenis kapal tetapi kita ingin kurangkan kepada hanya lima jenis kapal iaitu Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS); Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS); Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel, NGPV), Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (Multi Role Support Ship, MRSS) dan kapal selam.
Yang ada sekarang ini menyebabkan perlu melatih latih anggota untuk setiap jenis kapal yang berbeza. Begitu juga dengan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) ada penambahbaikan.
Melalui hitam putih, saya juga akan merangka untuk mewujudkan angkatan yang keempat yang terdiri daripada segala bijak pandai , jurutera, IT (teknologi maklumat) untuk mengendalikan pepepangan cara moden menggunakan digital dan sebagainya.
ENGGAN GUNA KAPAL TERPAKAI DARI NEGARA LUAR
Tidak boleh, mereka sama ada United Kingdom (UK) atau Australia ingin bagi pelbagai jenis kapal tetapi kita tidak biasa (kendalikan kapal jenis berkenaan). Kita perlu latih orang, lagipun kapal mereka pun usang.
Kita perlu beli banyak alat ganti. Kalau nak baiki pun, akan siap tahun depan, sedangkan 2026 kita akan terima LCS kita yang pertama manakala pada 2027 pula kita akan terima ketiga-tiga LMS yang kita tempah itu.-UTUSAN