BEBERAPA minggu lalu banyak temasya sukan besar dianjurkan sama ada di peringkat antarabangsa atau dalam negara. Antaranya seperti Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung di Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.
Selain itu juga berlangsungnya temasya sukan yang diadakan dwi tahunan seperti Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang mana Sarawak menjadi tuan rumah pada penganjuran kali ini yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos lalu. Kemudian dalam masa yang sama, penganjuran Badminton Terbuka Jepun pada 20 hingga 25 Ogos. Tidak lupa juga perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada 24 Ogos lalu.
Sementara di peringkat sekolah, kebanyakan sekolah sedang melangsungkan sukan tahunan. Begitu juga di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) turut mengadakan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (Sukum) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tuan rumah dari 9 hingga 16 Ogos lalu.
Begitulah kemeriahan temasya sukan yang berlangsung sepanjang minggu yang mana kebetulan acara-acara berkenaan berlangsung di bulan Ogos yakni Bulan Kebangsaan dan kita akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Apa perkaitan sukan dan bulan kemerdekaan? Seperti yang diketahui umum, sukan mampu menjadi landasan terbaik dalam memupuk dan memperkasa perpaduan antara kaum.
Ia juga seperti semangat masyarakat terdahulu tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bersatu untuk mencapai kemerdekaan yang kini diwarisi oleh generasi hari ini.
Saya suka memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menyampaikan ucapan penutup di Sukma 2024. Kata beliau, sukan mesti menjadi saluran yang kukuh untuk mencambah semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri juga berkata, sukan juga mesti menjadi ruang untuk rakyat berusaha menggapai kecemerlangan dan meningkatkan sikap disiplin yang tinggi.
SUKAN WADAH PERPADUAN
Sukan juga sebagai wadah perpaduan semua kaum di negara ini. Semangat sayang dan cintakan negara dapat dilihat dan diterjemahkan. Di satu sudut lain terdapatnya penyokong pasukan negara yang terdiri dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan ramai lagi. Sama-sama duduk semeja.
Jika pasukan negara kita menang, kita bersorak gembira bersama dan apabila tewas kita tangis bersama.
Sukan bukan hanya untuk tontonan tetapi ia juga adalah ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat Malaysia.
Sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum. Sukan juga dapat menyatukan rakyat, kita akan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama.
Oleh itu, semangat perpaduan melalui sukan janganlah dilihat dalam satu sisi sahaja, sebaliknya ia merupakam satu wadah yang lebih besar tanpa kita sedari.
JIWA MERDEKA
Segala anasir jahat harus ditangkis melalui semangat kesepaduan dan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Ia akan menjadi benteng yang teguh dan kukuh agar anasir luar tidak mudah merosakkan perpaduan dalam negara kita.
Untuk itu, kita memerlukan jiwa merdeka yang menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif.
Perpaduan akan membawa semangat cintakan negara. Apabila rasa cinta negara itu kuat dan utuh, kita boleh bersama-sama menjadi benteng kepada perpecahan.
Jiwa merdeka juga menekankan semangat patriotisme yang tinggi buat rakyat Malaysia. Dengan semangat itu, kita akan lebih kuat untuk sama-sama menjadikan negara ini berdaya saing dengan penerapan nilai-nilai yang baik dan sekali gus menjadikan Malaysia disegani di mata dunia serta rakyat dapat hidup secara aman damai.
Tiga hari lagi, semua rakyat Malaysia bakal menyambut kemerdekaan yang ke-67. Kita perlu mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi. Kuncinya adalah perpaduan antara kaum dan bangsa. Dari Perlis hingga ke Sabah, Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan etnik.
Jika mempunyai nilai ihsan dan murni, kita akan terus hidup aman dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Banyak contoh-contoh baik tentang negara ini dipaparkan melalui hantaran media sosial yang membuatkan ia menjadi pilihan menonton sehinggakan pelayar internet di luar negara turut teruja melihat kesepakatan dan kemajmukan rakyat Malaysia.
Antara yang menjadi tular apabila rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum menonton perlawanan badminton Sukan Olimpik 2024 di kedai mamak melalui skrin gergasi. Mereka bersorak, “Malaysia…Malaysia…” sebagai tanda sokongan semangat kepada atlet negara.
Semangat dan perpaduan dalam kalangan kaum kalau boleh janganlah sepanjang tempoh minit pertandingan sahaja. Ia perlu dikekalkan sepanjang masa untuk menjaga keharmonian negara.
Keharmonian dan perpaduan yang dikecapi sepanjang 67 tahun merdeka perlu dipertahankan dan dipelihara. Ia adalah warisan atau wasiat yang perlu kita dijaga bersama kerana terlalu banyak usaha, tumpah darah dan air mata orang terdahulu semata-mata agar generasi hari ini dapat hidup dengan selesa.
Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-67 kepada seluruh rakyat Malaysia. Sama-sama kita kekalkan keamanan yang dikecapi dan menjaga keharmonian negara.-UTUSAN
Penulis ialah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).