Negara sudah merdeka, jiwa kita bagaimana?

Negara sudah merdeka, jiwa kita bagaimana?

SEMANGAT muhibah penting dalam memupuk, menjaga perpaduan serta keharmonian antara rakyat berbilang kaum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERDEKA! Merdeka! Merdeka!

Itulah laungan keramat tanggal 31 Ogos 1957 yang tidak akan pernah hilang dari ruang hati dan sanubari kita semua.

Saban tahun laungan tersebut akan terus dilaungkan dengan penuh semangat kemerdekaan, yang bukan sahaja dihayati meniti di bibir namun maksud kemerdekaan itu mesti dihayati dari dasarnya.

Generasi masa kini majoriti berpendapat kemerdekaan bermaksud negara yang merdeka, bebas daripada penjajah. Namun, adakah kita semua faham apa erti kemerdekaan yang sebenar? Kemerdekaan yang dibawa sejak zaman nenek moyang kita.

Nenek moyang kita merupakan golongan yang lebih faham erti kemerdekaan sebenar kerana mereka merupakan pejuang yang mengharungi jerih perih kehidupan menentang penjajah demi sebuah kemerdekaan.

Golongan muda yang tinggal kini perlu lebih menghayati dan menyayangi kedaulatan negara yang merdeka. Pandang sahaja negara luar yang sedang bergolak mencari cahaya kemerdekaan dan kebebasan daripada peperangan serta penderitaan taklukan penjajah, sedangkan kita yang sudah biasa hidup aman damai belum tentu kuat untuk berada dalam kasut mereka.

Generasi masa kini meluangkan masa lebih bersama gajet dan media sosial. Ia merupakan kemajuan teknologi yang perlu diterima dan dimanfaatkan. Jika dahulu kala untuk mendapatkan sesuatu berita atau informasi perlu menggunakan medium seperti daun lontar, surat, surat khabar dan lain-lain. Tetapi kini, kemajuan teknologi sangat pantas hanya di hujung jari, sudah mampu mendapatkan berita dan informasi.

Secara tidak sedar juga sebenarnya generasi masa kini terdedah dengan pengaruh sama ada positif atau negatif melalui media sosial.

Jika bijak menggunakan kemajuan-kemajuan yang dibawa, banyak yang dapat dimanfaatkan daripada saluran-saluran media sosial tersebut. Namun jika lalai, minda generasi muda lebih mudah dijajah oleh pengaruh negatif. Pengaruh negatif ini jauh lebih berbahaya berbanding pengaruh luar yang nampak dan nyata pada mata kasar.

Ini kerana, individu tersebut perlu peka dengan minda dan diri yang dijajah secara senyap tanpa sedar. Amat bahaya jika anak muda mudah terikut budaya negatif yang dilihat melalui media sosial seperti mengambil jalan pintas dan kurang bijak dengan keluar dari rumah ketika menghadapi sesuatu masalah ataupun melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral.

Semangat patriotik juga kian dilihat semakin sepi, tidak meriah seperti suatu masa dahulu. Jika dahulu, kita dapat melihat terlalu banyak jalur gemilang dipasang dan dikibar sejak awal bulan Ogos lagi. Mata yang memandang kibaran bendera-bendera tersebut membawa perasaan terharu, bangga dan hormat terhadapnya.

Kita juga sering beranggapan bahawa dengan mengibarkan jalur gemilang, sudah cukup untuk meraikan dan menyemarakkan hari kebangsaan. Namun sebenarnya, menyambut kemerdekaan bukan sekadar dengan mengibarkan bendera sahaja. Kibaran jalur gemilang mestilah disertai dengan semangat dan usaha menjaga serta memelihara kemakmuran negara tercinta.

Jalur gemilang yang dikibar bukan sebagai melepaskan syarat untuk menyambut kemerdekaan. Acap kali kita melihat jalur gemilang yang lusuh, kotor, koyak rabak masih digantung dan dibiar berkibar baik di premis perniagaan atau bangunan. Bendera perlu dipasang dengan sempurna kerana ia merupakan simbol penghormatan negara.

Kita juga perlu menghayati serta menghormati maksud di sebalik jalur gemilang yang dikibarkan, meletakkan ia di tempat yang baik bukan dibiarkan jatuh di tanah, dalam lopak air mahu pun longkang. Hormati ia sebaiknya umpama menjaga kedaulatan negara.

Melalui semangat patriotik yang ada dalam diri, ia sebenarnya membantu menzahirkan lagi rasa cinta, sayang dan semangat nasionalisme terhadap tanah air. Seterusnya, sikap mempertahankan tanah air daripada dijajah anasir negatif akan terus utuh.

Banyak cara dan langkah yang boleh diambil untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

Generasi muda perlu merebut peluang menyertai semua aktiviti pada bulan kebangsaan seperti perbarisan dan aktiviti-aktiviti yang mendorong kepada sifat kebersamaan serta perpaduan negara.

Antara usaha lain, generasi muda juga boleh membantu dan mengambil peluang menyemarakkan semangat patriotik dalam media sosial. Bukan sahaja ia memperkenalkan negara dalam kalangan warganegara malah ia turut membantu memperkenalkan negara ke seluruh dunia.

BERHATI-HATI DENGAN TINDAKAN
Bersesuaian dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, kita seharusnya mencorakkan jiwa supaya ia benar-benar merdeka. Usah kita membiarkan diri dijajah dengan sifat kolot jiwa dan pemikiran.

Perbuatan dan pemikiran terhadap sesuatu tindakan merupakan bayang diri kita yang sebenar. Setiap apa yang kita muat naik, komen-komen di media sosial yang ditaip juga mencerminkan jiwa sama ada bersifat matang atau pun sebaliknya.

Budaya ‘menyerang’ di media sosial berkenaan sesuatu isu yang tular hanya untuk memuaskan hati sendiri amat tidak wajar dijadikan sebagai budaya kerana ia merupakan tindakan yang negatif. Tindakan tersebut sudah pasti memberi pandangan yang tidak baik di mata semua pihak, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan orang luar.

Tindakan begitu memperlihatkan kita seperti kebudak-budakkan dan tidak maju ke hadapan. Adakah dengan tindakan tersebut kita pasti jiwa sudah betul merdeka? Tepuk dada tanyalah minda.

Seharusnya setiap tindakan perlu seiring dengan pemikiran yang telah lama merdeka dan maju.

Ayuh semua rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka, kita harus terus menjaga semangat muhibah sesama kaum demi kemakmuran negara tercinta. Semangat muhibah ini penting dalam menjaga kemakmuran negara, kerana ia memupuk dan menjaga perpaduan serta keharmonian antara rakyat berbilang kaum.

Toleransi, saling menghormati dan memahami budaya serta kepercayaan antara satu sama lain dapat mengelakkan konflik serta ketegangan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Semangat muhibah yang dipelihara tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan juga mencipta kerjasama dalam kemakmuran negara seterusnya menyumbang kepada kemajuan sektor ekonomi, sosial dan politik.

Hanya dengan perpaduan muhibah masyarakat berbilang bangsa dapat mencapai kemakmuran negara.

Salam merdeka negaraku Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah ialah Guru Bahasa di Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya