Fast-track: Memudah atau memusnah rumah tangga?

Fast-track: Memudah atau memusnah rumah tangga?

KAEDAH fast-track memberi kesan positif terhadap tempoh penyelesaian kes pembubaran perkahwinan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENJAK artikel bertajuk Lebih 95 peratus kes pembubaran perkahwinan selesai dalam setahun disiarkan dalam ruangan ini pada 16 Julai lalu, terdapat bertubi-tubi persoalan diterima berhubung kewujudan kaedah fast-track di mahkamah syariah.

Sebahagian masyarakat mengalu-alukan inisiatif tersebut kerana mahkamah dilihat berjaya membuat anjakan paradigma dengan berusaha memudahkan prosiding, memahami rungutan masyarakat semenjak sekian lama, mengurangkan birokrasi, di samping mengelakkan penangguhan yang tidak munasabah.

Namun tidak kurang pula terdapat segelintir masyarakat yang keberatan menerima kewujudan kaedah berkenaan kerana beranggapan seolah-olah mahkamah tunduk dengan desakan massa, sekali gus menggalakkan perceraian.

Di Malaysia, kaedah fast-track dirintis ketika Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) berada di bawah kepimpinan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar (pada ketika itu) yang memegang jawatan selaku Ketua Hakim Syarie (KHS).

Sebelum menggalas amanah tersebut, beliau sememangnya dikenali sebagai ‘wajah jabatan’ yang seringkali dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan penerangan kepada masyarakat, sama ada program literasi dianjurkan di peringkat daerah, negeri, agensi, jabatan, kementerian, mahupun melibatkan anjuran dari dalam negara atau di peringkat antarabangsa.

Maka tidak hairan, antara rungutan yang diajukan berkenaan kerumitan prosiding pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah.

Di Malaysia, Selangor merupakan negeri yang paling banyak memfailkan kes pembubaran perkahwinan.

Justeru, tidak hairan apabila dilantik memimpin pentadbiran JAKESS pada 2014, Mohd. Na’im amat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk sentiasa berinovasi, proaktif dan berdaya saing bagi menambah baik sistem penyampaian kepada masyarakat.

Ditambah pula dengan keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggesa agar JAKESS mengambil langkah bijaksana dalam mengurangkan bilangan kes tertangguh di mahkamah syariah.

Baginda juga bertitah agar keutamaan diberikan kepada kes-kes mal yang melibatkan rumah tangga agar tidak ada pihak teraniaya akibat kelalaian pihak tertentu. Ini kerana aduan negatif terhadap institusi kehakiman syariah secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di negeri berkenaan.

Natijahnya, pada November 2014 kaedah fast-track diperkenalkan kepada masyarakat awam untuk diaplikasikan kepada mana-mana pihak yang memfailkan kes permohonan perceraian atas dasar persetujuan bersama.

Ini bermakna, pasangan yang telah mencapai persetujuan untuk bercerai hendaklah hadir ke mahkamah ketika hari pendaftaran dan memaklumkan kepada penolong pendaftar mengenai kesediaan masing-masing untuk bercerai melalui cara ini.

Sebaik menerima permohonan secara bertulis dan setelah sejumlah bayaran dibuat, pihak pendaftar akan menyalurkan kes tersebut ke hadapan hakim dengan seberapa segera pada hari pendaftaran tersebut. Seterusnya, hakim bicara akan memanggil pasangan berkenaan untuk disiasat.

Perlu difahami kes yang difailkan menerusi kaedah ini bukanlah secara automatik akan diluluskan.

Kebiasaannya, tiga perkara utama akan diselidiki oleh hakim sebelum kebenaran pembuburan perkahwinan diberikan iaitu pengesahan pernikahan, alasan perceraian dan langkah-langkah yang diambil oleh pasangan bagi mengelakkan perceraian.

Sekiranya mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan dan isteri tersebut berada dalam keadaan suci, maka hakim akan memerintahkan pihak suami melafazkan talak satu terhadap isteri.

Hakim bicara seterusnya mengeluarkan penghakiman dan mengarahkan agar pasangan berkenaan mendapatkan perintah bersih di kaunter mahkamah.

JAKESS menetapkan tempoh masa tidak melebihi enam jam bermula dari masa pendaftaran kes sehinggalah perintah bersih diserahkan kepada pasangan berkenaan.

Tempoh masa yang pendek ini menarik perhatian masyarakat untuk mendaftarkan kes secara fast-track memandangkan kaedah ini mampu menyelesaikan persengketaan dengan lebih cepat, murah dan tidak memerlukan pelantikan peguam syarie, di samping berkemampuan mengelakkan bebanan emosi akibat perseteruan berpanjangan antara pasangan suami isteri.

Selepas pengenalan kaedah ini, statistik menunjukkan peningkatan pendaftaran kes berkenaan saban tahun.

Berdasarkan analisis yang dilakukan, saya mendapati kes fast-track yang didaftarkan pada 2015 merupakan 30 peratus daripada keseluruhan permohonan kes perceraian pada tahun tersebut.

Malah pada 2016, kes fast-track terus meningkat dengan merangkumi 43 peratus daripada keseluruhan permohonan perceraian, diikuti 35 peratus, 37 peratus dan 44 peratus masing-masing bagi 2017, 2018 dan 2019.

Ini bermakna sepanjang lima tahun pengaplikasian kaedah ini, ia mewakili lebih daripada satu pertiga kes permohonan perceraian di Selangor.

Selain menjadi pilihan masyarakat, saya juga mendapati sebenarnya perceraian melalui cara ini turut memberi sumbangan besar terhadap statistik penyelesaian kes dalam tempoh 90 hari sepanjang 2015 hingga 2019.

Ini kerana, daripada 25,865 kes permohonan perceraian yang berjaya diselesaikan dalam tempoh 90 hari, sebanyak 12,141 kes atau bersamaan 47 peratus diselesaikan menerusi kes fast-track.

DEWAN FAST-TRACK
Sementara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di bawah kepimpinan Ketua Hakim Syarie, Mohd. Asri Ahmad Tahir pula mengambil langkah lebih proaktif dengan mewujudkan dewan fast-track bagi pengendalian enam jenis kes iaitu permohonan perceraian, pengesahan lafaz talak, pengesahan rujuk, permohonan wali hakim (anak tak sah taraf), permohonan wali hakim (muallaf) dan permohonan bagi perintah bersaling.

Semua kes tersebut akan didaftar, didengar, diadili dan dikeluarkan perintah bersih pada hari yang sama, dengan syarat terdapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. Bagi kes permohonan wali hakim pula, pemohon hendaklah membawa bersama saksi dan bakal suami untuk hadir ke mahkamah bagi mengemukakan keterangan.

Ringkasnya, fast-track merupakan inovasi bagi menjimatkan proses apabila terdapatnya persetujuan daripada pihak yang bertikai. Jika dalam keadaan biasa, pendaftaran, pendengaran dan perintah dikeluarkan pada tiga kehadiran atau tarikh berbeza.

Namun menerusi kaedah ini prosiding tersebut dipadatkan pada hari yang sama. Signifikannya, hakim masih terikat dengan undang-undang substantif, tatacara dan keterangan apabila mengendalikan kes berkenaan.-UTUSAN

 

DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN