MUKADIMAH
TIDAK semua orang memiliki sifat setia. Terlalu banyak godaan untuk kekal istiqamah terutama dalam sebuah parti yang ditolak rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun tidak bagi sayap Wanita UMNO, bagi Exconya, DATUK NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID, kesetiaan ahlinya begitu mahal untuk dijual beli. Dilanda ribut badai sekali pun, ahlinya tetap teguh berdiri di belakang presiden.
Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, AIMAN ALI, AIN SAFRE BIDIN dan dibantu jurufoto, SYAKIR RADIN serta juruvideo MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.
KESETIAAN WANITA
Bagi saya kenapa akar umbi tidak menerima kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan kerana sasaran penerangan masih tidak sampai ke akar umbi. Kalau ikutkan Pusat sudah meminta bahagian menerangkan tentang kerjasama ini.
Lagipun, UMNO dalam kerajaan ini belum sampai dua tahun, masih lagi baharu. Ini semua perlu dilihat dari segi geopolitik dalam Malaysia. Setiap kawasan atau bahagian berbeza. Ada kawasan kampung, kadang-kadang mereka tidak peduli langsung media sosial. Kita perlukan pendekatan bersemuka.
Selalunya pendekatan bersemuka dilakukan semasa pilihan raya. Wanita fokus dengan aktiviti yang ditetapkan dan menerangkan kepada ketua Wanita bahagian tentang isu terkini.
Saya tidak rasa dari segi kesetiaan ada masalah di peringkat Wanita, walau siapa pun pemimpinnya. Wanita sentiasa setia (kepada parti).
Alhamdulillah, bila saya berada dalam exco kita mesyuarat setiap bulan dan dalam kalangan Wanita bahagian sangat aktif. Mereka menerima segala yang ditetapkan Pusat. Wanita hanya menjadi pelaksana dasar. Kita tidak mempersoalkan sebaliknya memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan atasan dan menghormati institusi presiden.
SUARA WANITA SUNYI
Kenapa orang anggap sunyi mungkin kita terlalu melakukan banyak perkara. Bukan bermakna Wanita tidak pandai menggunakan teknologi, media sosial dan sebagainya, cumanya kita terlalu sibuk dengan pelbagai program, mahu muat naik (kenyataan atau aktiviti di media sosial ) pun tidak terkejar sebab mereka juga banyak tanggungjawab lain sebagai ibu, isteri, mungkin ada yang bekerja. Mereka ini serba boleh dan sebenarnya sangat aktif.
TIDAK SELARI SARANAN PRESIDEN UNTUK MENGGUNAKAN PENDEKATAN KOMUNIKASI TANPA LISAN
Contoh ketua Wanita bahagian, bukan semua bekerja yang ada gaji untuk bayar orang uruskan media sosial mereka. Macam saya sendiri, saya sendiri kemas kini media sosial. Mereka tahu sahaja apa yang berlaku di media sosial. Lagipun tidak semua ekstrovert macam saya, ada yang introvert tetapi mahu menyumbang.
Sebab itu, Wanita ini seimbang. Kita saling melengkapi. Mana yang introvert akan melengkapkan ekstrovert.
Jika lihat pun, dalam Wanita itu berbeza antaranya latar belakang pendidikan dan sebagainya tetapi yang pasti titik pertemuan kami adalah untuk memperkuatkan parti.
Harus diingat, UMNO bukan milik Wanita, Pemuda atau Puteri tetapi milik semua. Kami mahu gambarkan UMNO ini milik orang Melayu. Sebab itu bila presiden keluarkan arahan untuk keluar daripada kaedah konvensional, ia adalah satu pendekatan. Kita mahu merakyatkan UMNO. Maknanya, UMNO bukan sahaja untuk ahli tetapi juga bukan ahli yang segan, mereka yang atas pagar ataupun mereka yang digantung keahlian menunggu untuk habis ‘iddah’.
MASYARAKAT TIDAK MELIHAT KEHADIRAN WANITA
Ia bukan satu isu besar, sebab Wanita buat kerja mereka. Kita tidak boleh jadi seperti Pemuda. Mereka ada cara sendiri. Dan Wanita membawa sifat-sifat keibuan, mungkin karakter Wanita itu sendiri tidak nampak sayap ini menonjol berbanding Pemuda atau Puteri.
Tetapi Wanita mempunyai peranan yang cukup besar terutama sekali menjelang PRK (pilihan raya kecil).
Dalam bab tarik undi baharu adalah peranan anak muda, kita ada Pemuda dan Puteri, kita serahkan kepada mereka. Wanita daripada dulu ada peranan untuk buat jalinan rakyat, maknanya mereka yang berumur 45 tahun ke atas.
BEZA WANITA KINI DENGAN ERA SHAHRIZAT
Dulu mungkin saya berpendapat seperti anda, tetapi bila saya di dalam Wanita, saya tidak nampak perkara itu sebab Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad sangat bekerja keras untuk memartabatkan Wanita. Bukan sahaja dia bekerja untuk Wanita, tetapi juga untuk keseluruhan rakyat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ini semua mengenai persepsi. Sejujurnya bila berada dalam organisasi Wanita itu sendiri, saya nampak Wanita sangat kuat. Tak tahulah kalau orang mahu kata saya syok sendiri beri kenyataan sebegini sebab hanya bila berada dalam institusi ini atau organisasi itu sendiri baru nampak apa yang berlaku sebenarnya.
Dan tidak perlu membandingkan kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan Noraini kerana mereka berdua ada kekuatan dan cara kepimpinan sendiri. Samalah juga contoh orang tidak boleh bandingkan kekuatan Ahmad Zahid dengan Datuk Seri Najib Tun Razak atau dengan presiden terdahulu. Bukan sahaja kekuatan, mereka juga ada kelemahan dan kita menerimanya. Yang mana kurang, kita isi menjadikan ia satu kelebihan.
Sebab itu kita jadi pelengkap kepada pemimpin. Sebab itu bila kita nampak kelemahan, kita tidak tonjolkan hal itu sebaliknya akan tambah baik. Kita tidak burukkan ketua, kita harus melengkapi kekurangan ketua. Kita tutup kelemahan itu sebab dia ketua yang dipilih bukan dilantik.
DIBAYANGI BAPA
Orang selalu tekankan saya sebagai anak presiden dan bukan exco Wanita. Kalau saya pergi mana-mana, saya tidak dipanggil sebagai exco sedangkan jawatan saya lagi tinggi daripada Wanita UMNO bahagian.
Jawatan yang saya ini dipertandingkan dan bukan dilantik. Saya bersusah payah menempatkan diri sebaris dengan exco dan kepimpinan Wanita kerana mahu suara saya didengari sebagai Nurulhidayah (exco Wanita) dan bukan sebagai anak Ahmad Zahid.
Apabila masuk dalam dunia politik, saya merasakan diri layak dan bukan kerana saya menggunakan platform sebagai anak Ahmad Zahid. Oleh itu, saya menggunakan pentas PAU ini untuk orang kenal saya sebagai Nurulhidayah.
MENUJU PRU16
Kalau bercakap mengenai ini, ia bukan peranan Wanita sahaja tetapi melibatkan semua sayap. Kami percaya kerja berkumpulanlah yang menggerakkan parti. Dalam UMNO, tiada istilah ‘saya’, yang ada cuma ‘kami’. Jatuh bangunnya parti, kekuatan parti bukan hanya bergantung pada kelompok-kelompok tertentu sahaja.
Dalam menuju PRU16, Wanita akan mendukung segala pelan yang akan ditentukan oleh kepimpinan parti.-UTUSAN