MUKADIMAH
WALAUPUN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN) melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Rizwadi Ismail menggunakan lambang Pas, dalam usaha mengekalkan kerusi milik parti itu yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun hal itu tidak sedikit pun melunturkan semangat calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, MOHD. AZMAWI FIKRI ABDUL GHANI.
Mohd. Azmawi Fikri atau Awie sebaliknya bertekad untuk menjadi yang berkhidmat jika 20,245 pengundi memberikan mandat kepadanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ikuti temubual calon BN bersama Wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH dan jurugambar KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN menjelang hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
UTUSAN: Jika menang, apa perubahan yang mahu dibawa?
PRK Nengiri adalah ruang dan peluang untuk rakyat di sini memilih serta menghantar wakil mereka untuk menyuarakan masalah, keluh kesah bagi didengar oleh kerajaan negeri di DUN.
Saya tidak mahu berjanji ‘bulan dan bintang’, sebaliknya (mahu) menjadi Yang Berkhidmat (YB) kepada seluruh rakyat Nenggiri dengan ‘membutakan’ warna politik. Pada masa sama, saya mahu menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan antara Nenggiri dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan kawasan ini lebih baik.
Ramai yang persoal kenapa BN tidak ubah Nenggiri semasa diberi mandat sebelum ini?
Sejak BN menguasai Parlimen Gua Musang, rakyat dapat lihat banyak perubahan yang telah dibawa oleh ayahanda Tengku Razaleigh Hamzah. Tidak terkecuali di Nenggiri. Perkara itu boleh dilihat dan dirasai sendiri oleh rakyat sebagai contoh pembinaan Jambatan Setelu dan sebaginya melibatkan kepentingan umum.
Cuma, bila berlaku pertukaran wakil rakyat dari BN kepada Bersatu, tiada lagi suara penduduk Nenggiri berkumandang di DUN Kelantan. Jadi, inilah masanya untuk rakyat melakukan perubahan dengan menjadikan Nenggiri sealiran dengan Kerajaan Persekutuan sebagaimana sebelum ini.
Dalam isu pembangunan, peluang kerja tidak banyak membantu sokongan penduduk terhadap BN?
Isu pembangunan dan peluang kerja di Kelantan bukan perkara retorik atau cakap kedai kopi. Perkara itu diakui sendiri oleh seluruh rakyat termasuk di DUN Nenggiri.
Bagaimanapun, Gua Musang dan Nenggiri bertuah apabila agensi kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membantu pertumbuhan ekonomi serta sosial di sini.
PRN-15, BN kalah dengan 810 undi, bagaimana peluang kali ini?
Saya akui gelombang dan suasana ketika itu memberikan kesan kepada BN sehingga berlaku tsunami di Gua Musang termasuklah Nenggiri. Namun hari ini, situasi itu sudah berubah dan politik menjadi semakin dinamik.
Oleh itu, saya yakin dengan kerja kuat seluruh jentera dan izin Allah, perubahan akan berlaku di sini pada 17 Ogos nanti, sama-sama kita doakan.
Orang Asli merupakan deposit tetap BN. Adakah mereka kekal setia?
Orang Asal ini merupakan golongan paling terkesan dengan tindak tanduk Kerajaan Kelantan. Hal ini kerana hasil hutan dikaut oleh kerajaan negeri tanpa memberikan pulangan yang setimpal kepada masyarakat Orang Asli.
Kuasa Tanah adalah kuasa Kerajaan Negeri, namun dinafikan pembelaan, hanya agensi Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menjaga mereka. Orang Asal menyokong BN kerana kita sahaja yang dengar rintihan mereka.-UTUSAN