PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan negara, Leong Jun Hao melakar sejarah dalam kariernya apabila menjejakkan kaki ke suku akhir selepas mengejutkan pemain No. 11 dunia, Chou Tien Chen pada pusingan kedua Terbuka Indonesia.
Jun Hao yang menghuni ranking ke-32 dunia menyingkirkan bekas pemain No. 2 dunia dari Taiwan itu 21-18, 13-21, 21-17 dalam masa 1 jam 7 minit.
Anak jati Setapak, Kuala Lumpur itu yang hadir sebagai pemain simpanan dan hanya berpeluang beraksi pada Terbuka Indonesia selepas ada pemain menarik diri bakal berdepan satu lagi cabaran besar menentang bintang No. 4 dunia, Li Shi Feng dari China.
Pemain yang kini mendapat jolokan ‘giant killer’ oleh peminat badminton tanah air berkata, dia berasa sedikit keletihan berdepan Tien Chen selepas bermain tiga set semalam.
“Cuma hari ini berdepan Tien Chen saya perlu bermain lebih sabar dan agresif, dalam tempoh sebulan ini, saya telah bermain sebanyak tiga kali dengan pemain ranking lebih tinggi,” kata Jun Hao kepada Spotv.
Seorang lagi pemain perseorangan Malaysia, Lee Zii Jia mengetepikan Weng Hong Yang dari China 20-22, 21-9, 21-16 dan bakal menghitung pertemuan dengan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat seterusnya.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan Rasmus Kjaer-Federik Sogaard dari Denmark 21-18, 19-21, 21-12 dan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han menanti mereka di peringkat lapan terbaik.
Rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pula menundukkan wakil tuan rumah, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 16-21, 21-16, 21-12 dan di suku akhir, mereka berdepan pilihan kedua, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.
Pearly Tan-M Thinaah juga menempah slot suku akhir selepas menumpaskan beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-19, manakala, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengalahkan Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark 15-21, 23-21, 21-14. – UTUSAN