SEPANG: “Bagi saya duit bukan masalah. Kami memang dididik dan diajar bermain untuk negara.” kata kapten skuad hoki lima sebelah (5s) negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook.
Perkara itu dibuktikan oleh skuad negara selepas berjaya melakar sejarah untuk bergelar naib juara di Piala Dunia Hoki 5s 2024 biarpun dihimpit pelbagai masalah untuk bertandang ke Oman.
Akhimullah yang dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan berkata, semua pemain meletakkan segala masalah dibelakang dan mengutamakan misi untuk mengharumkan nama negara di kejohanan itu.
“Kami bermain demi maruah negara. Dari segi elaun, dana semua bukan kami tak ambil kisah tapi kami tolak ke tepi dulu, kami fokus kepada perjuangan dalam latihan dan kejohanan,” katanya.
Ditanya tentang anugerah pemain terbaik yang diperolehnya, Akhimullah berkata, ia akan menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus mempamerkan aksi terbaik dalam sukan hoki.
Mengulas perancangannya selepas ini, atlet kelahiran Kemaman, Terengganu berkata, dia akan memberi fokus untuk membantu pasukan hoki Terengganu yang dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL).
Sebelum ini, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan skuad hoki 5s ke Oman dengan serba kekurangan termasuk dalam soal elaun dan tanpa kasut baharu
Subahan juga mendedahkan bahawa pengendali pasukan, Wallace Tan tidak mengambil sebarang gaji untuk membimbing pasukan dan hanya dibekalkan dengan elaun makan di kejohanan itu.
Dalam pada itu, Wallace berkata, beliau hanya fokus untuk membantu skuad negara tanpa memikirkan ganjaran wang ringgit demi minatnya dalam sukan hoki. – UTUSAN