Hargai diri biar apa pun rupanya

Hargai diri biar apa pun rupanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lama saya mengimpikan untuk menemubual Sonya Danita Charles, 30. Kemunculan pertamanya di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) enam tahun lalu berjaya menggamit perhatian hadirin, tidak terkecuali saya.

Bukan kerana ciri fizikal luar biasanya setinggi 183 sentimeter, tetapi tertarik untuk mengetahui cerita di sebalik keyakinan dan gaya bersahajanya di pentas peragaan berprestij itu.

Pesonanya memukau tetapi dalam sisi berbeza.

Model vitiligo pertama Malaysia ini laris menghiasi pelbagai iklan komersial dan kempen jenama kosmetik mewah seperti Mac, Lancome serta Estee Lauder.

Ketika kami berbual untuk mengatur pertemuan, beliau menawarkan diri untuk bersolek sendiri bagi memudahkan sesi fotografi Seri berlangsung.

“Saya boleh buat solekan ringkas tetapi kalau mahu menggunakan khidmat jurusolek pun tidak mengapa.

“Saya bawa bersama bedak asas jika jurusolek sukar menentukan tona yang sesuai dengan kulit saya,” katanya ramah.

Sonya tidak seperti model tipikal yang kita bayangkan.

Penghidap vitiligo atau sopak ini memberitahu penampilan dan warna kulitnya yang berbeza itu disifatkan sebagai kelebihan yang menjadikan dirinya tersendiri.

“Kalau tidak kerana keberanian untuk berubah, mungkin saya masih seperti Sonya dahulu yang penakut.

“Bayangkan, enam tahun lalu, ketika bersiap ke studio bagi sesi fotografi pertama, saya tiba-tiba
menangis. Pelbagai persoalan muncul dalam fikiran.

“Saya gemuruh dan rendah diri, hingga tidak pasti apakah sudah bersedia untuk menonjolkan diri kepada masyarakat,” katanya.

Selepas jurugambar berkongsi hasil-hasil bidikannya di pelbagai platform, barulah ada kekuatan
untuk wanita ini memuat naik gambar badan yang bertompok-tompok di Instagram.

Sonya sebelum ini hanya selesa memaparkan wajahnya dan memilih ‘menyorokkan’ bahagian-bahagian lain daripada tatapan rakan-rakan di media sosial.

Mengakui pada awalnya takut dengan penerimaan masyarakat, tetapi perbezaannya diterima ramai, sekali gus memecahkan stereotaip cantik dalam industri fesyen tanah air.

Bertitik-tolak daripada itulah wajahnya laris menghiasi pelbagai iklan komersial dan kempen jenama kosmetik antarabangsa malah turut meraih beberapa pencapaian termasuk tampil di pentas peragaan bersama barisan wanita berpengaruh dan berinspirasi di Malaysia.

DIPANGGIL LEMBU
Siapa sangka, tompokan putih kecil yang hinggap pada jelapang wajahnya, menjadi petanda dirinya menghidap penyakit sopak.

“Masa itu saya baru berusia lapan tahun dan ingatkan ia normal. Tapi rupa-rupanya tompokan itu merebak pula ke seluruh badan.

“Naik sekolah menengah, saya diejek lembu dan dalmation oleh budak-budak lelaki. Saya selalu jadi bahan untuk ditertawakan hingga rasa rendah diri. Sampai satu tahap saya rasa tertekan hingga takut setiap kali bertembung dengan kaki buli itu,” katanya mengimbau kenangan.

Bagaimanapun situasi dihadapinya itu dirahsiakan daripada pengetahuan ahli keluarga kerana tidak mahu mereka berasa gusar.

Lebih daripada itu, Sonya menjangkakan ejekan diterima hanya bersifat sementara dan akan berlalu ditelan masa.

Namun, telahan itu meleset apabila tahap buli ke atas dirinya bukannya semakin reda, sebaliknya makin teruk sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Rahsia saya dibuli akhirnya sampai juga ke pengetahuan keluarga. Ia berakhir bila abang saya yang bersekolah di sekolah sama, bersemuka dengan kumpulan pelajar lelaki berkenaan.

“Walaupun lega tidak lagi diejak dan dipersenda tetapi saya sedikit kesal kerana lambat bertindak.

“Kalau saya lebih berani untuk bela diri mungkin kes buli itu berakhir lebih awal,” katanya.

Usai sekolah menengah, Sonya memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen dan pemasaran perniagaan di Universiti Woodbury, Los Angeles di Amerika Syarikat.

Sepanjang hampir lima tahun menetap di sana, penerimaan masyarakat jauh berbeza dengan di tanah air.

“Saya tidak dibuli atau dipandang pelik oleh sesiapa dan layanan itu membuatkan saya lebih yakin untuk berdepan dengan orang ramai,” katanya yang kembali ke Malaysia pada 2015.


PIGMEN SELALU BERUBAH
Vitiligo sejenis penyakit kulit dihidapi oleh 0.5 hingga dua peratus penduduk dunia.

Disebabkan jumlah yang kecil itu, ramai dalam kalangan masyarakat tiada ilmu mengenainya terutama dalam golongan yang lebih berusia.

Selain ejekan, antara kata-kata yang lazim diterima ketika perbualan kali pertama ialah adakah kulitnya terbakar atau disimbah asid.

Menjadi harapannya agar masyarakat dapat lebih berlapik dan bersopan ketika berkomunikasi agar tidak melukakan perasaan golongan sepertinya.

“Kebanyakan generasi muda mungkin sudah ada kefahaman tentang vitiligo tetapi tidak bagi orang-orang tua.

“Hingga kini saya masih menerima teguran sama daripada pakcik dan makcik tidak dikenali yang menyangka saya adalah mangsa kebakaran dan simbahan asid,” katanya.

Walaupun pigmen kulit berubah-ubah setiap tahun tetapi, vitiligo tidak menjejaskan tahap kesihatannya.

Sudah hampir 13 tahun, beliau menghentikan sebarang pengambilan ubat-ubatan dan rawatan.

Katanya, sejak kecil, pelbagai rawatan tradisional dan moden telah dijalani termasuk turut diberikan suntikan steroid tanpa disedari.

“Selepas disuntik, pigmentasi saya pulih 90 peratus tetapi banyak kesan sampingan berlaku pada organ-organ dalaman.

“Di usia 17 tahun, saya beritahu ibu bapa tidak mahu makan ubat lagi kerana saya ‘sihat’ dan selesa dengan keadaan kulit yang bertompok-tompok,” katanya yang berkelebihan bertutur bahasa Tagalog dan Sepanyol.

CIPTA RUANG SELAMAT
Atas alasan tidak mahu golongan senasibnya dibuli, Sonya menubuhkan Persatuan Vitiligo Malaysia pada 2021, selepas enam tahun pulang ke tanah air.

Pertubuhan itu umpama ruang selamat bagi mana-mana individu yang merasakan diri mereka berbeza daripada insan lain.

“Dalam jangka masa panjang, saya harap platform ini dapat menawarkan sokongan kesihatan mental atau kursus kepada ahli.

“Walaupun keahlian melebihi 200 orang, tetapi hanya kira-kira 20 sahaja yang menghidap vitiligo tetapi kita tetap menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Aktiviti kempen turut dijalankan termasuk sesi fotografi dengan ahli-ahli penghidap vitiligo.

Sesekali, jika ada kelapangan mereka akan berjumpa dan mengadakan perbincangan tentang keadaan diri serta perancangan hidup masing-masing.

LEBAR SAYAP KE KOTA FESYEN
Mengulas kerjaya di bidang peragaan, Sonya mengimpikan untuk melebarkan sayapnya ke New York, Paris dan Milan.

Penampilan Winnie Harlow sebagai model vitiligo pertama yang memperagakan koleksi jenama Victoria’s Secret menjadi penguat semangat untuknya ke kota fesyen itu.

Selain dapat menimba pengalaman baharu, secara tidak langsung beliau mahu menjadi suara pesakit sopak yang sering dipandang sebelah mata.

“Saya turut berazam memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran baharu termasuk terlibat dalam sukan lasak seperti selam skuba dan menunggang motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

KELUARGA BERI DORONGAN
Anak kedua daripada tiga beradik ini menjelaskan, tiada dalam susur galur keluarganya menghidap sopak.

Namun, beliau bertuah kerana keluarga dan rakanrakan tidak henti-henti memberikan sokongan pada dirinya.

Malah, bapa adalah penyokong utama yang sentiasa ada di belakangnya sama ada berkaitan kerjaya atau keputusan peribadi.

Mengakui, penyakit itu memberi tempias sukar menemui pasangan hidup, tetapi itu bukan alasan untuk dirinya berduka.

“Saya ada kawan-kawan yang baik tetapi sistem sokongan ini tidak mencukupi jika dalaman kita rapuh. Tingkatkan kekuatan dalaman diri terlebih dahulu,” katanya.

Sonya turut menasihatkan wanita senasibnya untuk sentiasa sayang dan berbangga dengan pencapaian sendiri.

Ujarnya, biarpun orang sekeliling mencari kelemahan dan melemparkan kata-kata negatif, tetapi usah patah semangat.

“Sayangi dan perbaiki diri kerana kita patut gembira dengan setiap apa yang dilakukan dalam hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya