KUALA LUMPUR :Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, 27, mengakui, sanggup memperuntukkan sejumlah RM11 juta pada tahun ini bagi membalas jasa pelanggan setia yang tidak jemu memberikan sokongan kepada jenamanya sejak sembilan tahun lalu menerusi kempen The Terrrrpaling Raya Bulan Bintang.
Tiada dron atau gimik gempak menghiasi kempen raya 2024, jelas Azzim, tahun lepas sejumlah RM8 juta dibelanjakan bagi membina jenama, namun kini semuanya ‘dihabiskan’ kembali khusus buat pembeli.
“Tahun ini adalah tahun untuk saya membalas jasa kepada mereka yang selama ini menyokong Bulan Bintang. Saya belanjakan RM11 juta dan semuanya diberikan kembali kepada pembeli.
“Tahun ini kami belanjakan RM6.2 juta dengan memberikan 150,000 sampin percuma bagi setiap pembelian atau mereka boleh memilih baju batik modern fit yang berharga RM129 secara percuma. Untuk baju batik ini kami berhabis RM1.6 juta.
“Dan setiap pembeli berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM3.2 juta di mana terdapat banyak hadiah menarik antaranya dua buah kereta, motosikal, Iphone, pakej umrah dan percutian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada siding media Bulan Bintang The Terrrrpaling Raya Fashion Show 2024 yang diadakan di Sentul Depot, Kuala Lumpur, semalam.
Berkongsi perkembangan mengenai Bulan Bintang, ulas Azzim, dia mengakui kelemahan produksi tahun lalu dan mengambil tindakan proaktif dengan menukar kilang dan melakukan secara ‘overhaul’ keseluruhan bagi memberikan kualiti terbaik pada tahun ini.
“Saya akui tahun lalu kami terima respon negatif daripada pembeli dan secara jujurnya ia memberi kesan yang sangat mendalam kepada jenama dan diri saya sendiri. Saya jadi anxiety dan takut nak membaca mesej yang masuk, sehingga hari ini saya masih trauma.
“Namun saya memandangnya pada sudut yang positif dan hikmahnya Bulan Bintang lebih perketatkan isu kualiti pada baju dan ia terbukti.
“Saya tak mahu menjadi jenama syok sendiri dan baju Bulan Bintang dihantar ke makmal untuk menjalani Fabric Lab Test Report dan hasilnya kami mendapat A.
“Fabrik berangin, tak panas dan tiada lagi masalah benang tetas atau berbulu. Kami mahu menjadi pelopor kepada jenama muslim kontemporari dengan memperkenalkan pesak flexi.
“Malah untuk menjadi yang terbaik, ia bukan sekadar produk yang berkualiti, malah kami pertingkatkan lagi mutu khidmat pelanggan di mana kami bersedia 24 jam setiap hari. Call sahaja jika ada sebarang masalah dengan baju,” tambahnya.
Terdahulu, enam selebriti popular dilantik sebagai duta Bulan Bintang 2024 iaitu, Remy Ishak, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.