Rejaman Azlan bukan ‘cap ayam’

Rejaman Azlan bukan ‘cap ayam’

Mohamad Azlan Alias (tengah) gemar melakukan libasan kalih yang pada anggapannya memerlukan kemahiran tinggi untuk melakukannya. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG lapan tahun mewakili skuad negara, Mohamad Azlan Alias telah pun mengukuhkan reputasinya menjadi salah seorang perejam yang bukan sahaja digeruni di liga sepak takraw tempatan, malah antara penggempur yang digeruni di dunia.

Biarpun gagal capai sasaran membawa pulang pingat emas di Sukan Asia Hangzou 2023, Azlan tetap berpuas hati apabila dapat bertemu buku dengan ruas menentang seteru utama, Thailand dalam dua perlawanan akhir, membabitkan acara regu dan regu berpasukan.

Menariknya, Azlan yang mula mewakili negara pada Sukan SEA Singapura 2015 turut menggalas tugas dalam acara chinlone, acara yang lebih menumpukan aspek kawalan dan timangan bola dalam gelanggang yang menyaksikan dia berjaya meraih pingat perak dan kemudiannya bertukar emas ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah dua tahun kemudian.

Justeru, Azlan akui ia bukan perkara yang mudah untuk terus tajam di hadapan jaring melakukan rejaman berkualiti, ditambah para peminat tempatan pula bersikap sinis dengan keupayaan barisan perejam negara yang cenderung menggunakan libasan kalih berbanding perejam Thailand yang ampuh dengan libasan gulung.

Begitupun Azlan kekal tenang menepis persepsi segelintir peminat dengan menjelaskan libasan kalih yang diguna pakai sebilangan besar perejam Malaysia bukanlah calang-calang dan memerlukan kemahiran yang tinggi untuk melakukannya.

“Bagi saya kata-kata netizen ini sudah biasa, ini bukan kali pertama saya dilemparkan dengan kata-kata sebegitu, sudah tujuh hingga lapan tahun saya berhadapan dengan situasi sebegini.

“Tetapi saya ambil positif sahaja kata-kata mereka sebab kalau saya bersikap negatif, saya tidak rasa akan sampai ke tahap ini. Saya jadikan kata-kata sindiran mereka itu sebagai pembakar semangat. Saya letak tepi sahaja apa sahaja tohmahan yang mereka nak berikan kepada saya.

“Bagi saya, rejaman maniam yang digunakan pemain Malaysia adalah sukar untuk lawan ambil. Rejaman gulung yang biasa digunakan pemain Thailand lebih kurang sama sahaja, malah kalau disuruh pemain negara jiran itu untuk melakukan rejaman kalih belum tentu mereka dapat melakukan sebaik pemain Malaysia.

“Tetapi kita juga kena belajar juga untuk membuat rejaman gulung, sama-sama kena belajar. Bagi saya, rejaman maniam ni ada banyak variasi dan pecahan, dan rejaman pemain Malaysia bukanlah taraf-taraf cap ayam,” jelas Azlan kepada Mingguan Malaysia.

Selepas pulang dari tugasan negara di Sukan Asia Hangzhou, Azlan turut memberikan tumpuannya kepada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali November lalu.

Untuk edisi kali ini, Azlan akan kekal berkhidmat dengan pasukan Pulau Pinang, memandangkan edisi tahun lalu, Azlan memilih untuk menyarung jersi Melaka dan membawa pasukan tersebut sehingga ke babak akhir dan bergelar naib juara apabila tumpas kepada Johor.

Dalam masa yang sama, Azlan menafikan dia akan bersara dari skuad kebangsaan memandangkan Sukan Asia seterusnya di Nagoya 2026, Azlan akan menginjak ke usia 31 tahun.

“Kalau secara peribadi, selagi saya tidak dapat pingat emas Sukan Asia, selagi itu saya masih belum mahu berhenti bermain sepak takraw.

“Tetapi ia bergantung juga kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia), kalau mereka masih mahukan saya, saya akan berikan yang terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya