“Rakyat sudah memilih! Secara halus, yang menang perlu risau kerana sudah menanggung Amanah rakyat. Salah tunai akan dibenci rakyat dan dimurkai Tuhan. Oleh itu, tidak salah diucap takziah dan tahniah kepada pihak yang menang.”
Mungkin ada yang pelik dan tidak bersetuju dengan tajuk rencana ini yang mengumpulkan bersama dua lafaz yang berlainan kutub; takziah dan tahniah. Biasanya dua lafaz ini diucap dalam situasi berbeza, masakan ia mampu disatukan dalam satu dulang kehidupan.
Apa pun sudut pandang ini penulis kaitkan dengan gaya bahasa Allah dalam al-Quran. Dalam banyak keadaan Allah meletakkan nada amaran (tarhib) dan galakan (targhib) berhampiran.
Lihat firman Allah yang bermaksud: Khabarkanlah kepada hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya) (al-Hijr: 49-50).
Nada sama juga dapat kita lihat dalam firman Allah yang lain (al-Ma’idah ayat 98).
Antara hikmah nada amaran dan galakan dikumpul berhampiran dalam al-Quran adalah mengingatkan manusia jangan terlalu takut murka Allah semata kerana Dia Maha Pengasih dan harapan sentiasa terbuka untuk para hamba-Nya.
Pun begitu, jangan terlalu selesa dengan sifat lembut Allah sehingga mengabaikan amaran-Nya.
Ia perlu seimbang. Hamba sebenar perlu berada antara rasa takut dan harap kepada Allah.
Kaedah ini terpakai untuk semua Muslim terutama para pemimpin kerana mereka mampu memberi impak besar kepada orang lain dengan pembentukan polisi dan sebagainya.
Dalam konteks kepemimpinan pun sama, jangan selesa terima gaji buta sebagai wakil rakyat kerana setiap sen yang ditelan tanpa menunaikan haknya pasti diaudit adil oleh Allah. Jika ini situasinya, wakil rakyat sebegini layak diucap takziah.
Ia seiring amaran keras Nabi SAW bermaksud: Tidak ada seorang hamba pun yang diamanahkan urusan rakyatnya, lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah akan mengharamkannya masuk syurga (bahkan pasti ke neraka). (Sahih Muslim, 203).
Jika pemimpin yang dilantik sedar betapa beratnya tanggungan amanah mereka, pasti mereka risau menanggung jawatan.
Ini diberi faham oleh nabi yang penulis faham sebagai ucapan takziah tersirat.
Sabda baginda yang bermaksud: Sesungguhnya kepimpinan itu adalah amanah. Ia juga boleh menjadi kehinaan dan sesalan pada hari kiamat kecuali orang yang memegang dan menunaikan haknya dengan adil. (Sahih Muslim, 3404).
Dalam hadis lain Nabi SAW menegaskan yang bermaksud: (Di akhirat atau di alam barzakh kelak) pihak yang dilantik untuk urusan sesebuah pemerintahan lebih rela jatuh dari Bintang Thuraya daripada dilantik untuk memegang apa-apa jawatan (setelah dia tahu betapa beratnya tanggungjawab tersebut). (Musnad Ahmad, 10319)
Juga sabda baginda yang lebih meremangkan bulu roma yang bermaksud: Mahukah aku khabarkan kepada kalian tentang impak pada sebarang kepimpinan? Para sahabat bertanya: “Apakah ia?” Baginda menyambung: “Awalnya menjadi celaan (orang bawahan jika mereka berasa sipemimpin tidak adil), keduanya penyesalan (kerana sanggup menyandang jawatan tersebut), dan ketiganya azab pada hari kiamat (kerana tidak berlaku adil). Semua tiga perkara ini akan terhindar jika sesiapa berlaku adil. (Mukjam al-Kabir Imam Tabrani, 14558).
Jika seseorang yang dilantik itu faham betapa berat tanggungannya, dia pasti akan berasa kelam jiwa dan berat hati untuk menerimanya.
Apatah lagi mahu bertepuk sorai setelah diumum sebagai pemenang kerusi atau mengamuk kemarahan jika gagal menyandang kerusi yang dipertanding.
Kisah tokoh tersohor Islam, Umar bin Abdul Aziz yang digelar sebagai Khulafa’ al-Rasyidin kelima ini setelah dilantik sebagai khalifah patut menjadi pedoman.
Ia sebagaimana yang bermaksud: ‘Ata’ bin Abi Rabah menyebut bahawa Fatimah (isteri) Umar bin Abdul Aziz menceritakan padanya: “Suatu hari aku masuk bertemu dengan Umar dalam tempat solatnya sedang air mata Umar membasahi janggutnya. Aku (Fatimah) bertanya: Wahai Amirul Mu’minin ada sesuatukah yang berlaku?”
Beliau menjawab: “Wahai Fatimah aku bertanggung jawab terhadap umat Muhammad SAW baik yang berkulit hitam atau berkulit merah. Lalu aku terfikir tentang nasib orang fakir yang kelaparan, orang sakit yang kehilangan, orang yang tidak berpakaian lagi susah, orang yang dizalimi lagi ditindas, orang asing yang tertawan, orang tua, orang yang mempunyai anak ramai serta harta yang sedikit dan seumpamanya di segenap penjuru bumi dan hujung negeri. Maka aku sedar bahawa Tuhanku pasti akan menyoalku tentang mereka pada hari kiamat. Lalu aku sangat takut jika aku tidak mempunyai hujah (mempertahankan diriku), maka (itulah yang menyebabkan) aku menangis. (Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti).
Pun begitu, seperti yang disebut di atas, jika wakil rakyat yang terpilih menerimanya dengan penuh amanah serta bertindak terbaik, mereka selayaknya diucap tahniah kerana berjaya mencapai berbagai janji manis Allah.
Antaranya sabda Nabi SAW bermaksud: Ada tujuh golongan yang bakal dilindungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari (kiamat) yang tiada naungan melainkan naungan-Nya sahaja iaitu; pemimpin yang adil…(Sahih al-Bukhari, 620)
Setelah menang bertanding, bulatkan tekad memberi khidmat terbaik untuk rakyat kerana bukan semua orang berpeluang menabur jasa dengan amanah jawatan yang disandang.
Pastinya jasa baik dan legasi berguna akan dikenang orang. Jika ini situasinya, wakil rakyat sebegini layak diucap tahniah di dunia dan akhirat.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.