Usah terpedaya pakej haji ‘bulan bintang’

Usah terpedaya pakej haji ‘bulan bintang’

MOHD. IRWAN MOHD. MUBARAK dan SARINA SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TIDAK lama lagi, musim haji bakal tiba dan pastinya bakal jemaah 1444H tidak sabar untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Walaupun teruja untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, namun Pengarah MIMM Travel & Tours Sdn. Bhd. (MIMM), DATUK MOHD. IRWAN MOHD. MUBARAK dan Pengarah Urusan Tri-D Travel & Tours Sdn. Bhd., SARINA SHARIF berharap bakal jemaah prihatin soal kesihatan, bersiap sedia dari segi fizikal dan mental selain tidak ambil mudah ajakan atau pakej menarik agensi yang bukan Pengelola Jemaah Haji (PJH) di bawah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi mengelak sebarang masalah atau penipuan yang boleh mengganggu ibadah.

Ikuti pandangan dan nasihat mereka ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Apa antara isu yang kerap berlaku membabitkan jemaah menjelang musim haji?
MOHD. IRWAN: Banyak. Antaranya penipuan atau sindiket pakej haji oleh orang perseorangan, syarikat-syarikat yang kononnya dapat menguruskan haji, agensi pelancongan tidak berlesen dan agensi pelancongan bukan PJH di bawah TH yang tidak bertanggungjawab telah saban tahun terjadi walaupun informasi kini di hujung jari masyarakat.

Bakal jemaah, anak serta saudara-mara perlu cakna dan peka dengan informasi mahupun pengumuman serta peringatan khusus yang dibuat oleh kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tabung Haji sendiri. Kesedaran tinggi seseorang perlu sebelum terpedaya dengan pakej-pakej haji seperti ‘bulan bintang’ yang dijanjikan. Seperti semua sedia maklum, mengikut rekod Tabung Haji setakat ini, ada 22 PJH telah dilantik untuk musim haji 1444H/2023 seperti mana boleh didapati dalam laman sesawang Tabung Haji.

Selain isu visa yang gagal diperoleh dan tiada penerbangan untuk menunaikan haji, mereka hendaklah maklum terlebih dahulu dengan risiko apabila memilih selain 22 PJH. Ini juga kita sering dengar setiap tahun dan mereka yang memilih jalan ini haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal akan kesan mungkin terpaksa mereka hadapi akibat memilih mengikuti pakej-pakej haji selain daripada 22 PJH yang telah dilantik Tabung Haji.

Sementara ujian dan paling kerap terjadi kepada jemaah adalah kesihatan. Walaupun ketika di tanah air mereka bebas daripada sebarang penyakit berisiko, tetapi apabila di tanah suci diuji dengan sakit secara tiba-tiba atau mengejut kemungkinan berpunca daripada keracunan makanan, jangkitan virus mahupun kurangnya tenaga akibat pemakanan dan gaya hidup semasa di tanah suci.

Perkara yang perlu jemaah ambil peduli adalah mengikut nasihat doktor dan amalkan gaya hidup serta pemakanan sihat, mengambil makanan tambahan seperti vitamin atau makanan sunnah seperti kurma, madu, habbatussauda dan minyak zaitun. Jemaah perlu mengambil pendekatan bertanggungjawab, antaranya memakai pelitup muka dan isolasi kendiri jika kurang sihat selain segera ke klinik atau hospital berhampiran sekiranya sakit berlarutan.

Selain itu, sepanjang ibadah haji akan menguji kesabaran dan keimanan kita. Terkadang akan ada isu yang kecil tapi diperbesarkan. Contohnya, isu hidangan makanan di hotel. Hanya disebabkan tempoh hari yang agak panjang dan menu sama berulang kali membuatkan jemaah berasa kurang selera. Ini belum lagi mengambil kira isu makanan yang tidak sedap, tidak menepati cita rasa serta ada kalanya makanan yang tidak cukup kerana kehabisan. Nasihat saya, apa saja kekurangan yang ada bolehlah diperpanjangkan kepada urus setia dan mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk keselesaan dan kebajikan jemaah.

Lanjutan itu, jemaah juga perlu beringat agar tidak mengambil makanan berlebihan sehingga memudaratkan terutama semasa waktu wukuf, mabit di Mudzalifah dan semasa di Mina.

Sekiranya ada masa terluang, pergilah membeli atau berbelanja di restoran atau kedai makan di sekitar masjid sama ada cita rasa Arab, Timur Tengah, Asia, India, Pakistan, Kashmir, Indonesia bahkan restoran Malaysia juga sudah ada di tanah suci bagai cendawan tumbuh. Dalam masa sama, bakal jemaah boleh juga membawa bekalan sambal kering, rendang serunding, dendeng dan mi segera .

SARINA: Isu bakal jemaah haji terkandas untuk menunaikan rukun Islam kelima ini bukanlah sesuatu perkara baharu. Sejak dahulu lagi, banyak kes melibatkan jemaah haji sama ada tidak dapat ke Mekah atau dibawa pulang ke Malaysia gara-gara visa mereka tidak dapat disahkan oleh kerajaan Arab Saudi. Selain itu, banyak kes jemaah terpedaya dengan agensi tidak dilesenkan oleh Tabung Haji dan menaruh kepercayaan kepada individu yang mengendalikan pakej haji secara peribadi.

Adakah ada masalah isu penginapan (hotel) ketika mengerjakan haji? Adakah dengan tidur di Arafah dan Mina boleh atasi isu hotel yang penuh ketika musim haji?
MOHD. IRWAN: Isu penginapan sepatutnya tidak timbul kerana Tabung Haji memberikan kuota haji kepada PJH berdasarkan kepada ketersediaan dan kemampuan PJH itu sendiri untuk menguruskan JH. Setelah memenuhi kriteria dan syarat-syarat ditetapkan, barulah kuota tersebut diberikan kepada PJH termasuklah penyediaan hotel. Justeru, tidur di Arafah dan Mina itu sedikit sebanyak memberikan sedikit ruang kepada isu hotel tetapi bukan satu ketetapan bahawa ia boleh mengatasi isu hotel penuh ketika musim haji kerana memang jumlah jemaah perlu mengikut kepada jumlah yang boleh menduduki sesuatu hotel itu dan ia dipantau oleh Kementerian Haji Arab Saudi.

SARINA: Penginapan di tanah suci sama ada di Mekah dan Madinah tiada masalah dan mencukupi. Pihak Tabung Haji juga telah menetapkan syarat kepada PJH untuk menandatangani kontrak penginapan sebelum jemaah tiba di tanah suci.
Bahkan penginapan di Mina dan juga Arafah telah disediakan oleh Kementerian Haji Arab Saudi. Penginapan yang dimaksudkan adalah maktab, bukan hotel.

Setiap tahun, kita mendengar tentang penipuan visa furada. Walaupun sudah banyak artikel tentang perkara ini disiarkan di televisyen ataupun di akhbar, namun ia tetap berlaku. Apa nasihat yang boleh diberikan kepada bakal haji?
MOHD. IRWAN: Nasihat saya, bakal jemaah (termasuk keluarga) perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dan pilihan. Ya, tidak dapat dinafikan visa furada ini memang wujud yang dikeluarkan oleh pejabat Kedutaan Arab Saudi di Malaysia. Bagaimanapun, sila periksa dan teliti latar belakang syarikat yang mengendalikan, ustaz atau ustazah atau pembimbing dan sekiranya bakal jemaah masih ingin memilih jalan ini, sebaik-baiknya mereka perlu berurusan terus dengan pejabat agensi pelancongan berkenaan, bukan melalui dalam talian, WhatsApp mahupun orang tengah dan pastikan bakal jemaah ambil peduli mengenai risiko-risiko yang berkemungkinan terjadi seperti tidak dapat visa haji, tiada tiket penerbangan, visa haji palsu selain perlu memastikan sakit, kemalangan atau kematian di bawah tanggungjawab individu atau agensi pelancongan tersebut serta pastikan juga perkhidmatan masyair meliputi bayaran tambahan khemah, makanan, pengangkutan dan sebagainya.

SARINA: Sebaiknya guna visa yang dikeluarkan oleh Tabung Haji. Bukanlah kita tidak boleh menggunakan visa furada ini kerana ramai juga jemaah haji yang berjaya menunaikan ibadah, namun ada risiko perlu ditanggung sekiranya menggunakan visa ini dengan jualan pakej haji individu dan menggunakan syarikat agensi yang bukan dilesenkan oleh Tabung Haji.

Apa faktor menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tertarik dengan haji furada walaupun melibatkan kos tinggi?
MOHD. IRWAN: Menurut analisis saya, mereka tidak perlu mendaftar haji atau mendeposit simpanan dengan Tabung Haji. Mereka juga tidak perlu menunggu giliran tawaran haji dan haji furada dikatakan lebih cepat untuk mereka menunaikan haji. Malah, syarat lebih longgar dari segi pemeriksaan kesihatan, keperluan mahram dan bagi yang ingin menunaikan haji untuk kali kedua dan seterusnya selain pakej ditawarkan dikatakan lebih menarik seperti jangka masa singkat, hotel mewah dan perkhidmatan tambahan lain yang menarik. Boleh juga disimpulkan mereka tertarik dengan pakej ini kerana ia lebih mudah dan short-cut untuk menunaikan haji.

SARINA: Secara ringkasnya, visa furada ini sebenarnya sah. Jemaah haji yang menggunakan visa furada dikira jemaah haji jemputan khas dan bukannya menggunakan visa haji daripada Tabung Haji. Lokasi khemah di Arafah, Mina dan lain-lain semuanya berbeza. Tujuan jemaah yang menggunakan visa furada adalah golongan yang ingin segera menunaikan ibadah haji tanpa menggunakan kuota Tabung Haji.

Adakah kemungkinan bakal jemaah mendapat semula wang mereka selepas ditipu agensi yang menawarkan haji furada?
MOHD. IRWAN: Pada pandangan peribadi saya, memang tipis dan sekiranya ada peluang pun, kemungkinan untuk mereka dapat semula duit bergantung sejauh mana mereka cepat mengambil tindakan setelah sedar mereka ditipu. Kalau mereka bernasib baik, mungkin ada.

SARINA: Soalan berbalik kepada penipuan ia adalah sukar untuk wang dikembalikan.

Apa yang boleh dilakukan sekiranya ditipu?
MOHD. IRWAN: Sebaik sahaja mereka sedar ditipu, antara langkah-langkah boleh diambil sekiranya duit bakal jemaah gagal dipulangkan adalah kumpulkan segala maklumat, dokumen, borang, bukti rekod percakapan, tangkap layar mesej di WhatsApp atau Telegram, gambar, bukti resit pembayaran tunai dan pemindahan ke akaun syarikat atau individu hendaklah dilaporkan kepada pihak berwajib seperti PDRM, tribunal dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Dalam masa sama, tanpa prasangka, bakal jemaah boleh mengadakan perbincangan dengan individu atau syarikat yg menjanjikan tawaran haji furada tentang pemulangan wang, jumlah pulangan wang, jangka masa dan sebarang pampasan ganti rugi yang munasabah serta pastikan semuanya dalam bentuk perjanjian bertulis.

Sekiranya masih gagal untuk mereka membayar balik wang maka tindakan (sivil) undang-undang boleh diambil ke atas individu atau syarikat ini.

SARINA: Tabung Haji sering mengingatkan risiko haji furada, apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menyaksikan pelbagai syarat baharu yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Jadi, jika menyedari diri ditipu, segera buat laporan kepada pihak berkuasa dan Tabung Haji.

Akan ada penurunan bilangan haji pada tahun ini apabila kos mengerjakan ibadah itu menelan belanja tinggi?
MOHD IRWAN: Tidak, kerana mereka yang ingin menunaikan haji sebenarnya sudah lama bersedia malah wang simpanan mereka bukan saja sudah mencukupi, malah mungkin melebihi amaun yang telah ditentukan Tabung Haji. Ini kerana tempoh menunggu giliran haji rakyat Malaysia seperti kita sedia maklum memang akan mengambil masa agak lama kerana bergantung kepada tahun bila anda daftar haji dengan Tabung Haji. Ini memberikan peluang kepada bakal jemaah haji terus menabung dengan Tabung Haji.

Ini juga berdasarkan sambutan yang amat memberangsangkan bakal jemaah haji pada 2023 berdasarkan kepada sambutan semasa Karnival Haji yang diadakan oleh Tabung Haji dan Bumitra pada 25 dan 26 Mac lalu dan bakal jemaah yang menghubungi serta berminat untuk menyertai pakej haji kami pada tahun ini meningkat dari tahun lepas.

Saya juga percaya kos yang meningkat bukanlah halangan utama untuk mereka menyahut panggilan agung yang mereka nanti dan impikan seumur hidup. Sebagai contoh, kita boleh saksikan sendiri di siaran Mekah Live bagaimana ramainya jemaah umrah semasa tawaf di Baitullah yang agak luar biasa jumlahnya dibandingkan dengan sebelum wabak Covid-19. Perkara ini menunjukan antara satu tanda walaupun kos itu menelan belanja tinggi, ia tidak mengakibatkan penurunan kadar ibadah umrah dan insya-Allah, ibadah haji juga.

SARINA: Insya-Allah tidak kerana kuota yang diberikan telah ditetapkan.

Nasihat kepada jemaah yang terpilih mengerjakan haji pada tahun ini?
MOHD. IRWAN: Bersihkan hati. Tunaikan haji semata-mata kerana Allah SWT seperti mana firma-NYA di awal ayat 196 dalam surat al-Baqarah: “Dan sempurnakan ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

Persembahan kehambaan kepada-NYA dengan penuh tawaduk, sabar dan tertib melaksanakan segala wajib dan rukun haji. Memberikan fokus utama di hari Arafah kerana haji itu Arafah, bantu-membantu, bertolak ansur, bersilaturahim sesama jemaah tidak kira jemaah dari syarikat PJH mana sekali pun, muassasah, bangsa atau negara kerana kita semua umat Muhammad.

Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pengurusan Tabung Haji kerana memberikan perkhidmatan dan kerjasama yang baik kepada semua PJH dalam menyantuni jemaah haji Malaysia.

Saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada bakal jemaah haji 1444H dan semoga mendapat haji mabrur, usaha yang mashkur, dosa yang maghfur dan amalan yang maqbul. Allahuma Ameen.

SARINA: Memohon kepada semua jemaah agar merujuk kepada Tabung Haji dan pengelola jemaah haji PJH yang telah dilesenkan. Selain itu, jemaah perlu memahami kemampuan dan keinginan berada di tanah suci pada musim haji, namun kita harus akur dengan jemputan daripada Allah SWT.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya