Soalan:
Saya sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Saya mula terjebak dadah sebab stress dengan kerja. Ada seorang rakan datang ke rumah dan memperkenalkan tentang cara untuk mengatasi tekanan yang saya alami dengan mencuba dadah. Mulanya saya tidak kisah tentang kesannya. Setelah sekali mencuba saya mula menjadi ketagih dan akan mendapatkan bekalan dari rakan baik saya itu.
Setelah sekali ditangkap, saya rasa menyesal dan mula sedar, tetapi keluarga saya memandang serong dengan saya. Apa yang perlu saya buat untuk pulih?
Pemuda menyesal
Jawapan:
Seseorang yang terlibat dengan dadah, perlu sedar bahawa kepulihannya memerlukan komitmen perubahan sepanjang hayat.
Elakkan hal hal yang mencetuskan kepada jatuh semula. Tetapkan dan kekalkan kepulihan diri saudara daripada dadah, walaupun keluarga tidak menerima. Kita tidak mampu mengubah orang tapi kita mampu mengubah diri kita sendiri.
Ada beberapa teknik asas sebagai langkah pertama jika ada keinginan untuk jatuh relaps:
Pertama: Amalkan teknik pernafasan. Tarik nafas perlahan lahan dan lepaskan. Alihkan perhatian dengan melakukan aktiviti aktiviti lain dengan segera.
Kedua: Visualisasi iaitu membayangkan yang anda telah berhenti dadah. Dengan menggunakan teknik off on menggunakan suis lampu. Bayangkan anda menutup suis lampu sebagai tanda anda bebas dadah. Belajar memilih untuk menekan butang off sahaja. Kaedah ini memerlukan latihan berterusan supaya pemikiran ingin berhenti dari ketagihan terbina secara perlahan lahan.
Ketiga: Segera menghubungi orang terdekat yang boleh dipercayai untuk membantu sebelum anda jatuh semula. Jika telah terjerumus semula ia akan membuatkan proses kepulihan perlu dimulakan dari mula semula.
Keempat: Berada dalam kelompok sokong bantu yang betul, jika perlu boleh mendapatkan bantuan pusat pemulihan dadah persendirian berdaftar atau agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang berhampiran.
Ada masalah? Emelkan keraguan anda kepada kami di [email protected]