Soalan:
Saya berkahwin lebih 20 tahun dan mempunyai anak anak yang sudah dewasa. Sepanjang perkahwinan suami saya seorang yang baik. Namun saya dapat tahu suami ada hubungan dengan pelacur. Apa harus saya lakukan?
Isteri Kecewa
Jawapan
Kehidupan rumahtangga penuh ujian. Semestinya puan kecewa dan rasa dikhianati lebih-lebih lagi suami puan seorang yang bertanggungjawab dan amat disenangi.
Jika puan masih sayangkan rumahtangga, cuba berbincang dengan suami apakah status perhubungan mereka. Mohon bantuan orang ketiga dalam kalangan keluarga untuk membantu. Melihat dari sudut sejauh mana suami puan untuk berubah dan cuba jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Berdoa kepada Allah agar suami puan dibuka pintu hati untuk berubah dan diberikan kekuatan serta jalan keluar dari masalah dihadapi. Begitupun, utamakan emosi diri sendiri, bagi mengelak tekanan perasaan berpanjangan.
Terlafaz
talak 3
Soalan:
Suami ada melafazkan ayat berunsurkan talak terhadap saya. Ketika itu kami sedang bergaduh dan saya ingin keluar dari rumah. Suami mengatakan jika saya keluar rumah jatuh talak tiga. Saya keliru disebabkan ada pihak yang mengatakan jatuh, ada yang tidak jatuh. Saya masih lagi belum keluar rumah. Suami saya turut menyesal. Saya buntu apakah status lafaz talak suami saya, apa yang harus saya lakukan?.
Isteri keliru
Jawapan
Perselisihan faham tidak dapat dielakkan dan itu adalah asam garam dalam hidup berumahtangga. Betapa pentingnya setiap pasangan membekalkan diri dengan ilmu rumahtangga dalam menangani konflik, terutama suami. Ini kerana lafaz talak itu adalah amanah khas hanya pada suami sebagai ketua keluarga.
Lafaz talak bukan perkara main-main. Walauapapun keadaannya jika berlaku lafaz talak, ia perlu diambil berat oleh pasangan tentang kesahan talak tersebut. Puan dan suami perlu segera merujuk dan membuat permohonan kepada mahkamah syariah terdekat. Buat sementara waktu, perlu tinggal asingan sehingga lafaz berkenaan disahkan oleh hakim mahkamah syariah.
Soal pengesahan lafaz cerai perlu mendapat pengesahan yang tepat hanya dari mahkamah syariah bukan daripada mana mana individu. Ini kerana pengesahan yang silap akan memberikan kesan kepada kelangsungan perkahwinan puan di masa akan datang.
Puan dan suami juga perlu belajar reda dengan apapun keputusan hakim selepas pengesahan tersebut. Reda dengan ujian yang Allah berikan dan dapatkan bantuan dengan berkongsi perasaan agar puan lebih tenang dan lebih sabar.
Ada masalah? Emelkan keraguan kepada kami di [email protected]