Konsert Ungu memukau, menghiburkan - Utusan Malaysia

Konsert Ungu memukau, menghiburkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUDAH lama tak ketemu bukan? Persediaan sudah hampir tiga bulan tetapi nampaknya misi untuk kuruskan badan demi tampil lebih kecil di atas pentas tidak berjaya, malah lebih besar mungkin.”

Tirai konsert Ungu’s 26th Anniversary Live in Malaysia dibuka dengan gelak ketawa.

Rasa rindu peminat terhadap kumpulan lima anggota ini cukup besar.

Kali terakhir mereka beraksi adalah di Stadium Melawati, lima tahun yang lalu.

Menyanyi tiga lagu sebagai pembukaan, I Need You, Ciuman Pertama dan Berikan Aku Cinta, Pasha selaku vokalis ternyata punya aura sendiri. Selama 26 tahun mengemudi bahtera seni Ungu, pengalaman mematangkan mereka.

Suaranya tidak hilang sinar, masih ‘tampan’ seperti dahulu.

Itu antara bisikan yang sempat saya curi dengar dari bibir gadis-gadis yang tidak putus menjerit nama Pasha sedari awal konsert dimulakan.

Meneruskan konsert dengan Cinta Gila, Seperti Yang Dulu dan lagu malar segar, Kekasih Gelapku, peminat tidak berhenti turut serta menyanyi bersama.

Malah lampu telefon bimbit dibuka sentiasa, mewujudkan suasana galau yang cukup indah.

Ungu yang dibarisi Pasha, Enda (pemain gitar), Oncy (pemain gitar), Makki (bass) dan Rowman (drum) cukup bijak menggunakan segala kematangan dan pengalaman mereka dalam menghiburkan penonton.

Malah kehadiran Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli menyaksikan konsert mereka mewujudkan keterujaan serta rasa kagum terhadap kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 ini.

“Tidak ketinggalan, kehadiran legenda rock tempatan, Datuk Amy Serach membuatkan Ungu semakin bersemangat untuk memberikan yang terbaik bagi membayar hutang rindu perminat terhadap mereka.

“Nanti kalau sudah pulang ke Indonesia, saya mahu tanya band-band lain. Ada permaisuri datang tengok kalian? Amy Search? Pak Menteri? Tidak bukan? Saya mungkin jadi sombong,” canda Pasha di atas pentas.

Pasha juga sempat menyanyikan lagu Isabella secara spontan sebagai tanda penghargaan untuk legenda rock itu yang turut sama berdiri menyanyikkan lagu fenomena tersebut.

Susunan muzik lebih segar
Menariknya, untuk konsert kali ini, Ungu menukar susunan muzik beberapa lagu popular mereka supaya lebih segar dan ‘besar ’di atas pentas.

Mereka bijak untuk tidak mengubah struktur asal tetapi menyuntik kesegaran dalam lagu-lagu tersebut.

Keakraban mereka di atas pentas juga cukup menyenangkan. Mereka mudah ketawa, melontar lawak jenaka antara satu sama lain namun tetap beraksi dengan penuh bertenaga dan ampuh walaupun di usia masing-masing melepasi angka 40 tahun.

“Lebih 20 tahun kami di sini (Malaysia), perasaan cinta itu terlalu besar. Kami masing-masing punya kenangan sendiri. Tak begitu Makki? Ada cinta yang tertinggal di sini?” usik Pasha sebelum menyanyikan lagu Sejauh Mungkin dan Percaya Padaku.

“Ya, sudah. Jangan dikenang perkara lama,” balas Makki mengundang tawa semua.

Memasuki segmen kedua, Ungu tampil dengan busana dan gaya yang lebih tenang.

Mereka memilih seleksi lagu-lagu kerohanian yang cukup dekat dengan kita semua.

Andai Ku Tahu, Dengan Nafas-Mu dan Surga-Mu menjadi lagu pembuka untuk segmen kedua. Sambil duduk dengan bersahaja, vokal Pasha tidak perlu dipersoal. Seraknya cukup mengasyikkan telinga.

“Sejujurnya, lagu yang satu ini cukup takut untuk saya bawakan. Tetapi di sini, lagu ini katanya cukup popular. Ini adalah ingatan untuk saya dan kita semua.

“Setinggi mana pun gelaran dan darjat, setiap kita pasti ada waktunya akan kembali kepada-Nya. Semoga kita dijauhkan daripada sifat takbur dan sombong,” ucap Pasha sebelum menyanyi lagu Bila Tiba.

Beralih ke segmen penutup, Ungu menyanyikan lagu baharu Dasar Hati yang menampilkan kolaborasi suara tiga anggota kumpulan, Pasha, Oncy dan Enda.

Melabuhkan tirai konsert dengan lagu wajib, Cinta Dalam Hati, Hampa Hatiku dan Demi Waktu, peminat berdiri dan berhibur sama sebelum melambaikan tangan tanda selamat tinggal kepada kumpulan legenda Indonesia itu.

Namun rumah siap pahat berbunyi, pemilihan lokasi dan susunan kerusi bankuet diibaratkan seperti menyaksikan majlis konvokesyen.

Mengapa tidak konsert diadakan di lokasi yang lebih besar seperti Stadium Melawati atau Axiata Arena?

Satu persoalan yang terbit di fikiran setiap peminat malam itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya