‘Rapunzel’ mahu terus pegang rekod dunia - Utusan Malaysia

‘Rapunzel’ mahu terus pegang rekod dunia

Asha Mandela.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wanita Florida yang memegang Rekod Dunia Guinness untuk rambut dreadlock terpanjang berkata, panjang rambutnya kini sudah mencecah 33.5 meter. Asha Mandela, 60 tahun, pertama kali dianugerahkan rekod rambut dreadlock terpanjang pada 2009 dan ketika itu, rambutnya diukur pada 5.8 meter.

Mandela yang tinggal di Clermont berkata, dia mula menyimpan rambut ketika berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dari Trinidad dan Tobago lebih 40 tahun lalu.

“Saya tidak suka istilah rambut dreadlock kerana saya tidak fikir ada apa-apa yang menakutkan tentang rambut dreadlock saya.

“Saya memanggil rambut saya sendiri sebagai mahkota diraja,” kata Mandela kepada Guinness World Records.

Mandela berkata, dia biasanya membawa rambutnya di dalam kantung kain untuk mengelakkan rambutnya terseret di atas tanah atau membuatkan lehernya tegang dan menyakitkan.

SUAMI PENDANDAN RAMBUT
Suami Mandela, Emmanuel Chege yang merupakan seorang pendandan rambut profesional dari Nairobi, Kenya, menghabiskan waktu berjam-jam setiap minggu untuk merawat rambut Mandela.

Chege membantu mencuci rambut Mandela seminggu sekali, yang memerlukan hingga enam botol syampu dan diakhiri dengan proses pengeringan selama dua hari.

Wanita yang diberi julukan ‘Rapunzel kulit hitam’ ini sudah menginjak usia emas dan mengalami masalah tulang belakang akibat rambutnya yang berat dan panjang.

Walaupun begitu, Mandela masih tetap ingin terus menyimpan rambutnya dan tidak bercadang untuk mengubah gaya penampilannya.

“Saya tidak akan pernah terlintas atau merasa sudah tiba masanya saya ingin memotong rambut saya. Maaf itu tidak akan pernah terjadi.

“Selepas 25 tahun menyimpannya, rambut ini benar-benar menjadi sebahagian daripada diri saya dan saya merasakan jika saya memotong rambut saya, seumpama saya ingin menyerahkan nyawa saya,” katanya.

DOKTOR RISAU
Doktor sentiasa risau dengan berat rambutnya kerana dia pernah mengalami dua serangan strok dan dua serangan jantung.

“Doktor juga sering memeriksa keadaan tulang belakang saya kerana berat rambut saya boleh menyebabkan saya menjadi bongkok.

“Saya juga perlu sangat berhati-hati jika berpusing ke belakang kerana saya boleh mula mengalami kekejangan di tulang belakang dan mungkin lumpuh,” jelasnya.

12 KILOGRAM
Rambut dreadlock Mandela dilaporkan mencecah hampir 12 kilogram apabila dalam keadaan basah.

Mandela, turut memiliki perniagaan produk rambutnya sendiri yang diusahakan bersama suaminya.

Berada dalam perniagaan penggayaan rambut selama lebih daripada 15 tahun, Chege membantu Mandela dengan dandanan rambutnya dan turut melatih isterinya itu di gim untuk menguatkan otot belakangnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya